A- A A+
logoumkraya

200 TEMPAT DITAWARKAN SAMBUNG PENGAJIAN DI UMK : PELUANG KEDUA SEMPENA PROGRAM JELAJAH PENDIDIKAN BUMIPUTERA 2017

Oleh : Syarimie Wosley      Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan sebanyak 200 tempat kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf secara bersyarat sebagai laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut untuk mengikuti program ijazah sarjana muda bagi sesi 2017/2018 pada September depan.

Penolong Pendaftar Kanan,  Bahagian Pentadbiran Akademik UMK, En. Mohd Zamri Ismail berkata, tawaran bersyarat ini diberikan kepada kumpulan isi rumah di bawah kategori B40 dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 (JPB).

Beliau berkata,  ini selaras dengan objektif program JPB yang bermatlamat menyediakan peluang kedua kepada golongan pelajar Melayu dan bumiputera yang miskin dan kurang berkemampuan serta tidak menerima sebarang tawaran atau tercicir ke universiti dan kolej kemahiran pada kemasukan UPU bagi sesi September 2017.

“Peluang ini masih dibuka kepada pelajar yang tergolong dalam kategori ini untuk hadir ke Bahagian Pentadbiran Akademik UMK Kampus Bachok untuk membuat semakan kelayakan masing-masing untuk mengisi kekosongan 200 tempat untuk mengikuti 24 program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Pelajar yang berminat boleh membawa kad pengenalan sendiri, ibu bapa dan salinan keputusan peperiksaan SPM, STPM, matriks/diploma, MUET serta slip pendapatan ibu bapa yang disahkan ke pejabat BPA sehingga bulan Ogos 2017,” katanya pada program JPB 2017 di Dewan Terbuka Tok Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, Kelantan.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Induk JPB 2017, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, TYT Dato’ Dr. Awang Adek Hussin,

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Pengerusi Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Dato’ Mohd Faizal Daud.

Pada majlis itu, UMK turut menyerahkan surat tawaran kepada Siti Nuramalina Amran yang berjaya menerima permohonan untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK.

Booth UMK yang dibuka seawal jam 9.00 pagi dan berakhir 2.00 petang mendapat sambutan ramai yang yang membuka permohonan untuk kesemua 24 kursus yang ditawarkan mengikut ketiga-tiga kampus UMK.

Pada program itu sebanyak 20 IPTA dan 12 kolej kemahiran menyertai JPB 2017 dengan sokongan padu dari Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Tan Sri Ir. Prof Sahol Hamid berkata, program JPB 2017 menyediakan 50,000 kekosongan untuk pelajar yang layak bagi melanjutkan pelajaran di 35 IPTA termasuk kolej kemahiran, kolej komuniti dan sebagainya yang terlibat dalam jelajah  ini .

“Keseluruhan 55 lokasi jelajah yang terpilih untuk tahun ini dan sudah separuh lokasi yang kita selesaikan sejak 11 Mac keutamaannya untuk pelajar miskin dan dari luar bandar di mana mereka boleh masuk mana-mana IPTA atau kolej kemahiran bersesuaian dengan kelayakan mereka sama ada di peringkat sijil, diploma serta ijazah," katanya.

Menurutnya, pelajar miskin yang terpilih akan menerima wang pendahuluan, namun ada juga negeri yang beri peruntukan khas untuk anak negeri mereka seperti Perlis dan Negeri Sembilan.

“Kita beri sumbangan wang pendahuluan ini sebab kita dapati ramai yang tak dapat masuk IPTA sebab tak dapat sediakan wang pendahuluan,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Tuesday, 18 April 2017 17:16 Read 605 times

HOT TOPIC