A- A A+
logoumk10tahun

UMK TUAN RUMAH SEMINAR PENGURUSAN ASRAMA KEBANGSAAN (SPARK) 2017

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat      Foto : Al Azam Razi & Pejabat HEP

Platform Pentadbir Dan Pengurusan Asrama Cari Mekanisme Terbaik 

UNIVERSITI Awam (UA) perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mempertingkatkan pengurusan asrama dan pembangunan pembelajaran di kolej kediaman untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dalam akademik serta sosial.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, berkata, pihak pentadbir dan pengurusan asrama dibawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bertanggungjawab dalam membentuk pelajar yang berdaya saing dan progresif selari dengan aspirasi universiti dan Negara.

Katanya, pengurusan kolej kediaman dan asrama di IPT pada masa kini amat penting sekali kerana kebanyakan masa mahasiswa dihabiskan di asrama.

“Justeru itu, pihak kolej hendaklah merancang dan menyediakan aktiviti serta program yang bersesuaian bagi memastikan masa di asrama dapat diisi dengan sebaik mungkin seperti program kesukarelawanan, kepimpinan, sukan, kebudayaan dan lain-lain program yang bertujuan untuk mengasah bakat mahasiswa di peringkat kolej kediaman.

SPARK172“Pengurusan asrama menjadi semakin penting dan mencabar bagi melahirkan graduan yang cemerlang dan terbilang dan penganjuran seminar seperti ini amat bertepatan bagi menjadi platform perkongsian maklumat dalam menguruskan asrama di IPT masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian padamajlis perasmian Seminar Pengurusan Asrama Kebangsaan (SPARK) 2017 anjuran UMK dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 16 Mei 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab Latif, Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Mahasiswa Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Madya Dr. Supian Bujang, Pendaftar UMK, Mej. (K) Pauzi  Pak Chu dan Pengerusi SPARK,  En. Mohd Firdaus Mohd Nasir.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, SPARK 2017 adalah platform terbaik untuk membincangkan dan perkongsian maklumat-maklumat penting dalam memastikan kebajikan mahasiswa-mahasiswa yang tinggal di asrama terjaga.

Beliau berkata, kolej kediaman merupakan satu kemudahan yang seharusnya digunakan oleh mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan akademik mereka kerana kemudahan dan perantauan yang ada dapat menyemai bibit keilmuan dalam jiwa mahasiswa di asrama.

“Dengan adanya kemudahan asrama dapat menghasilkan pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang berkualiti disamping mempunyai ciri-ciri peribadi yang positif.

“Peranan pihak pentadbiran asrama amatlah penting dalam membentuk pembangunan diri pelajar seterusnya menghasilkan mahasiswa yang cemerlang dalam akademik dan sosial,” jelas beliau.

Tambah Prof. Dato’ Mortaza, secara umumnya kolej kediaman universiti berfungsi menyediakan prasarana penginapan bagi meningkatkan kebajikan dan perkembangan pelajar ini memandangkan proses pendidikan berlaku secara menyeluruh dan bersepadu, maka kolej kediaman pelajar harus diletakkan statusnya setaraf dengan universiti.

“Ia merupakan tempat yang strategik untuk membentuk perkembangan atau pembangunan pelajar seiring dengan fungsi universiti yang menyediakan pendidikan formal kepada para pelajar.

“Dalam teori Vektor Pembangunan Pelajar, pembangunan pelajar adalah dipengaruhi oleh persekitaran universiti iaitu objektif universiti yang jelas dan konsisten dari aspek saiz, kurikulum, pengajaran dan penilaian, susunatur asrama, fakulti dan pentadbiran dan akhir sekali budaya pelajar,” katanya.

Prof. Dato’ Mortaza memberitahu, sewajarnya  pentadbiran kolej menggunakan peluang yang ada melalui perancangan beberapa bentuk aktiviti pendidikan dalam mempertingkatkan akademik para pelajar di kolej kediaman.  

Justeru itu pentadbir asrama bukan sahaja berperanan untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat, tetapi sebagai pusat pengembangan ilmu serta pembinaan sahsiah yang baik.

“Ini membuktikan bahawa proses pembangunan pelajar perlu seiring berganding bahu dengan pengurusan pihak pentadbiran sesebuah kolej kediaman,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz berkata, penganjuran SPARK 2017 ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecemerlangan pengurusan kolej kediaman di IPT kerana melalui platform ini semua peserta yang datangnya dari semua UA dapat berkongsi idea dan inovasi bagi menangani masalah – masalah pelajar di kolej kediaman serta di kampus.

Katanya, terdapat 24 kertas kerja dibentangkan daripada 20 UA dan swasta yang bertujuan berkongsi pengalaman dan  mengupas pelbagai isu selaras dengan tema seminar Memperkasakan Pengurusan Asrama Dan Pembangunan Pelajar Ke Arah Kelestarian Negara.

“Selain itu, pelbagai isu turut dikupas seperti pengurusan penginapan pelajar antarabangsa di kolej kediaman, pengurusan penginapan pelajar di dalam kampus dan di luar kampus, peranan pengurusan kolej kediaman dan institusi kefeloan dalam membentuk ciri-ciri kepimpinan serta sahsiah di kalangan pelajar, penjanaan pendapatan melalui fasiliti dan perkhidmatan kolej kediaman

“Turut mendapat perhatian dalam seminar ini ialah pemerkasaan kemudahan dan prasarana di kolej kediaman berasaskan yuran penginapan, isu dan cabaran keselamatan di kolej kediaman dan pelaksanaan pembaikan kecil di kolej kediaman,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz berkata, fungsi kolej kediaman ialah untuk menjaga kebajikan mahasiswa, memberi perkhidmatan, menyediakan kemudahan dan keperluan untuk mencapai matlamat kolej.

Katanya, kolej kediaman juga berfungsi sebagai tempat menyediakan perkhidmatan dan kemudahan penginapan, menjaga kualiti dan perkhidmatan pemakanan yang disediakan serta akhir sekali menyediakan kemudahan pelajaran yang kondusif.

“Proses pendidikan berlaku secara menyeluruh dan bersepadu, maka kolej kediaman pelajar harus diletakkan statusnya setaraf dengan fakulti. Ini membuktikan bahawa pembangunan pembelajaran tidak hanya berlangsung di fakulti sahaja tetapi akan diteruskan lagi oleh pihak pentadbiran supaya pengurusan akademik pelajar menjadi lebih baik dan maju.

“Justeru, sudah sewajarnya program pendidikan kolej kediaman mengambil tanggungjawab dan peranannya dan sekaligus menjadi pelengkap kepada pendidikan formal di fakulti bagi menjayakan sistem pendidikan yang bersepadu di universiti ini,” jelas beliau.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 01 June 2017 12:20 Read 488 times

HOT TOPIC