A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK DEKATI MASYARAKAT MELALUI PROGRAM ILMU DAN KEMASYARAKATAN

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                            Foto : Ab. Halim Hafiz Ab Aziz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) perlu meningkatkan komitmen dengan berusaha untuk memastikan program-program keilmuan dan program kemasyarakatan yang dilaksanakan dapat mendekatkan masyarakat dengan universiti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Menteri Mentor UMK, YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, adalah menjadi tanggungjawab Universiti untuk sentiasa mendekati masyarakat di Jeli khususnya ibu bapa, guru-guru, ketua-ketua masyarakat dan sebagainya.

Beliau berbangga dengan usaha dan perhatian yang diambil oleh UMK dan sememangnya nama UMK sentiasa meniti di bibir dan mendapat perhatian masyarakat di Jeli.

“Saya  amat berbangga dan sentiasa mengikuti perkembangan UMK serta berharap mereka dapat meneruskan usaha murni ini.

“Melalui langkah itu,  UMK dapat bersama-sama  menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Program Tranformasi Pendidikan menerusi Jihad Pendidikan di Jeli untuk melihat ruang pendidikan parlimen ini lebih ceria dan gemilang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMK Bersama Masyarakat Jeli, di Masjid Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, UMK Kampus Jeli, Kelantan,  pada 18 Jun 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato' Azmi Mohd Ali, En. Zulkifli Mohd Zan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab.Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Dato' Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Mustapa turut menyempurnakan majlis penyampaian wang sumbangan daripada Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) menerusi program Dermasiswa Universiti BAKTI kepada 65 pelajar UMK daripada kalangan asnaf.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 24 golongan kurang bernasib baik sekitar Jeli dan dan lima penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, UMK sentiasa bertindak memasyarakatkan universiti menerusi pelbagai program dengan tujuan utama membuka mata masyarakat khususnya dalam menganjurkan program ilmu yang meningkatkan taraf pendidikan penduduk setempat.

Beliau berkata, pihak Universiti sentiasa prihatin kepada masyarakat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memastikan memastikan mahasiswa dan mahasiswi  UMK menjadi relevan dan selaras dengan hasrat kita untuk mengabadikan diri kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan, harapan saya amat besar untuk melihat UMK Kampus Jeli ini menjadi  menjadi permata UMK dan sudah banyak perkara-perkara serta aspek yang kita laksanakan untuk memajukan kampus ini.

“Program pada hari ini, merupakan salah satu cara untuk menghayati bulan Ramadan dan salah satu aktiviti universiti untuk mendekati masyarakat di Jeli ini,” jelas beliau

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 22 June 2017 09:18 Read 942 times

HOT TOPIC