A- A A+
logoumk10tahun

UMK DAN DE’ VIANA HOTEL AND APARTMENT JALIN KERJASAMA BIDANG INDUSTRI HOSPITALITI

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                         Foto : Al Azam Razi

 

FAKULTI Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) dan De’ Viana Hotel and Apartment menandatangani surat hasrat (LOI) dalam usaha membentuk jaringan hubungan rakan strategik dua hala khususnya dalam bidang pengurusan pelancongan dan perhotelan di negeri ini.

LOI ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed manakala pihak De’ Viana Hotel & Apartment diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cik Norhayati Ghazali.

Majlis menandatangani LOI itu disaksikan oleh Dekan FHPK, Prof. Madya Dr. Ghazali Ahmad di Bilik Mesyuarat Eksekutif, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 19 Julai 2017.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) FHPK, Dr. Wan Mohd Nazdrol Wan Mohd Nasir dan Pegawai Akaun De’ Viana Hotel & Apartment, Siti Aini Mohd Suzami

Menurut Prof. Madya Dr. Ghazali, kerjasama antara UMK dan De’ Viana Hotel & Apartment, adalah bertujuan untuk memastikan pelajar FHPK mempunyai peluang untuk menjalani latihan amali, makmal latihan dengan fasiliti yang lengkap seperti yang diperlukan.

Katanya, pemilihan hotel tersebut adalah amat bertepatan, memandangkan kedua-dua pihak mendapat manfaat memandangkan lokasi hotel terletak di kawasan strategik iaitu di Wakaf Che Yeh dan hanya mengambil masa selama 20 minit dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“De’ Vianna Hotel & Apartment mempunyai 72 buah bilik dari pelbagai kategori seperti Superior Room, Deluxe Room, One Bed Room Apartment, Two Bed Room Apartment dan juga Executive Superior Suite malah hotel ini turut menawarkan penginapan yang selesa dengan kemudahan-kemudahan yang mewah.

“Kerjasama ini adalah satu peluang keemasan bagi merealisasikan matlamat universiti yang berteraskan keusahawanan, yang mana sentiasa meninjau dan mengadakan program-program keusahawanan yang bersesuaian dengan objektif yang termaktub dalam Piagam UMK,” katanya.

Tambah beliau dengan termeterainya surat ini sebagai satu platform perancangan dan pertukaran kepakaran yang dapat dilaksanakan dengan kadar segera dalam masa tempoh durasi program tiga tahun itu.

“Bagi pihak FHPK, ini membolehkan penerapan kemahiran pensyarah-pensyarah FHPK sebagai tenaga pengajar profesional dan berkemahiran kepada pelajar-pelajar sebagai asas memulakan kerjaya kemahiran serta membimbing mereka untuk berdikari.

“Selain itu, kerjasama ini juga dapat meningkatkan daya produktiviti pensyarah-pensyarah sedia ada dalam menyediakan kemahiran asas kepada pelajar melalui latihan berbentuk intensif dan praktikal,” jelas beliau.

Prof. Madya Dr. Ghazali berkata, FHPK adalah salah satu fakulti baru yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Ogos 2016 dimana kursus yang ditawarkan di FHPK adalah melalui penyerapan tiga program sedia ada dari Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).

Beliau berkata, selari dengan tujuan UMK yang memfokuskan kepada pendedahan ilmu keusahawanan serta pengurusan perniagaan melalui pengajaran dan perundingan, penulisan dan perkhidmatan kepada komuniti, disamping mahu melahirkan mahasiswa yang berketerampilan dan berdaya saing.

“Bagi mencapai hasrat tersebut,  pelajar harus didedahkan kepada pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan industri agar dapat membantu dalam meningkatkan fizikal, mental dan kendiri pelajar.

“Program ini memfokuskan kepada objektif untuk melahirkan graduan yang mempunyai pemahaman yang luas mengenai semua bidang pengurusan pelancongan di samping dapat mengenalpasti, meneroka dan merebut peluang dan ruang perniagaan serta berani merealisasikan peluang dalam bidang industri secara global,” katanya.

 

Published in Latest News
Last modified on Sunday, 23 July 2017 16:14 Read 486 times

HOT TOPIC