A- A A+
logoumkmerdeka2017

EMPAT KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF UMK LAKAR KECEMERLANGAN DI KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM 2017 DI UNIMAP

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                            Foto  : Pejabat Pendaftar

KUMPULAN Medixin Pejabat Pendaftar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mempamerkan kecemerlangan apabila berjaya merangkul penarafan emas bagi kategori Pengurusan pada Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam (UA) Kali Ke 13 bertempat di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau , Perlis, pada 3 Ogos 2017.

Pada pertandingan itu kumpulan Medixin mempertaruhkan projek inovasi  sistem E-Medical yang dibangunkan untuk memberi kemudahan kepada staf mendapatkan akses rawatan perubatan di mana-mana klinik panel UMK yang berdaftar dibawah universiti telah berjaya menarik perhatian pihak juri.

Turut mencipta kemenangan ialah Kumpulan Adhoc yang mewakili Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang berjaya mendapat anugerah penarafan perak untuk kategori Teknikal manakala Kumpulan Legasi 19  dan Adrenalin masing-masing mendapat penarafan gangsa.

Menurut Penolong Pendaftar Pejabat Pendaftar UMK, En. Mohd Zulfadli Mohd Hussin, pencapaian UMK pada konvensyen KIK  kali ini amat memberangsangkan kerana buat  pertama kalinya UMK menghantar empat kumpulan yang telah berjaya memberi reputasi yang membanggakan biarpun kali pertama menyertainya.

Beliau berkata, pihak universiti telah menghantar dua kumpulan bagi kategori pengurusan dan dua kumpulan bagi kategori teknikal.

“UMK telah berjaya membuktikan melalui penyertaan konvensyen ini bahawa komitmen dan perancangan ke arah menjadikan kumpulan staf kreatif dan berinovasi mencapat matlamat serta menyumbangkan hasil kreatif mereka dengan menerapkan idea dalam sistem yang berfungsi atau produk untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

“Pihak UMK, amat berbangga dapat menyertai Konvenyen KIK ini yang diadakan setiap tahun secara giliran dengan objektif utamanya untuk mencungkil idea rekabentuk dan inovasi di kalangan kakitangan UA selain menjadi platform percambahan idea dan segala ilmu pengetahuan serta letusan idea baharu di atas platform inovasi daya cipta unggul dengan memupuk nilai pengurusan yang berkesan,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup KIK UA 2017 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat.

Pada pertandingan KIK 2017 itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berjaya dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan menewaskan 39 pasukan yangn mempertandingkan projek KIK mereka pada konvensyen kali ini.

Antara UA yang terbabit ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, UMK, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Islam Antarabangsa, UniSZA, dan tuan rumah UniMAP.

 Johan, naib johan dan tempat ketiga akan membawa pulang hadiah masing-masing berupa wang tunai RM6,000, RM4,000, RM2,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Published in Latest News
Last modified on Wednesday, 16 August 2017 11:01 Read 972 times

HOT TOPIC