A- A A+
logoumkmerdeka2017

NUR SHAMILATUL AKHMA AZIZAN DIAMBIL SEBAGAI ANAK ANGKAT UMK

OLEH : PUSAT HAL EHWAL KORPORAT                             FOTO : AL AZAM RAZI

NUR SHAMILATUL AKHMA AZIZAN, 20, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan), Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK Kampus Jeli akan dijadikan sebagai anak angkat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membantu meringankan bebannya selepas kehilangan kedua ibu bapa yang meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal pada 11 Ogos 2017.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif, berkata, sebagai penuntut UMK, sudah pasti beliau memerlukan sokongan daripada Universiti untuk menguruskan keluarga dan pada masa yang sama melanjutkan pengajian.

“Pihak UMK  amat bersimpati dengan nasib pelajar tersebut dan akan mengusahakan bantuan yang selayaknya untuk membantu beliau meneruskan pengajian disamping memberi motivasi serta suntikan semangat yang dibimbing oleh pihak kaunseling universiti.

“Nur Shamilatul Akma akan diberikan kemudahan serta bimbingan sewajarnya oleh pihak pengurusan universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK,” katanya ketika ditanya pihak media berhubung langkah UMK membantu Nur Shamilatul Akma memulakan penghidupan baharu pada program Ziarah Prihatin di kediaman keluarganya di Taman Putera, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 17 Ogos 2017.

Turut hadir, Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat UMK, Prof. Madya Dr. Mokhtarrudin Ahmad, Ketua Pentadbir Hal Ehwal Pelajar UMK, Puan Alifah Adnan dan Ketua Hal Ehwal Akademik dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Najwa Ahmad Nawawi.

Pada majlis itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz turut menyampaikan wang sumbangan berjumlah RM2000.00 daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar dan RM1800.00 hasil kutipan oleh  Sekretariat PeskoJaya dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UMK.

Pejabat HEPA akan berusaha untuk meringankan beban pelajar itu dengan mendapatkan bantuan kewangan menerusi Tabung Amanah Kebajikan Pelajar dan pembiayaan pengajian daripada badan-badan yayasan seperti Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR).

Sementara itu, Prof. Dato’ Abdul Aziz, menasihati Nur Shamilatul Akhma supaya meneruskan pengajiannya hingga tamat walaupun menerima tawaran pekerjaan daripada beberapa pihak yang bersimpati terhadap nasib yang menimpa keluarganya.

Katanya,  faktor kewangan bukan penghalang untuk meneruskan pengajiannya kerana banyak biasiswa dan bantuan kewangan ditawarkan oleh universiti dan badan-badan yayasan pendidikan di negara ini seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman.

“Keperluan pendidikan menjadi keutamaan dan menjadi perkara nombor satu dan pihak UMK bersedia memberi bantuan sewajarnya dalam keadaan yang memerlukan.

"Kita bersimpati dengan kejadian tersebut yang berlaku ketika pelajar sedang bercuti sempena cuti semester dan berharap kejadian ini tidak mematahkan semangat Nur Shamilatul Akhma untuk meneruskan pengajian untuk tahun kedua," katanya.

ZiarahPrihatin6

Dalam pada itu, bapa saudara Nur Shamilatul Akhma iaitu En. Abdul Aziz Mohd Jiwa, 48, bersyukur dengan keperihatinan serta kesudian pihak universiti yang sudi menjadikan anak saudaranya sebagai anak angkat seperti yang dihasratkan oleh Prof. Dato’ Abdul Aziz.

Beliau yang mewakili keluarga Nur Shamilatul Akma berharap pihak UMK dapat memberi perhatian sewajarnya kepada anak saudaranya yang kehilangan tempat bergantung sebaik sahaja beliau kembali ke kampus pada 8 September 2017 nanti.

“Saya harap pihak universiti mengambil kira keadaan dan situasi mereka ini kerana empat adik-beradiknya masih belajar iaitu Mohd Aqmarul Hisham, 19, di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat Johor dan Mohd Amirul Aiman, 17 (SPM), Mohd Aidil Adli, 15 (PT3) dan Nur Fazlul Ain, 12,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Monday, 21 August 2017 15:57 Read 1135 times

HOT TOPIC