A- A A+
logoumkmerdeka2017

PIJAN MAHASISWA OKU TERUJA HADIR HARI PERTAMA KULIAH DI UMK

pijan

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat      Foto  : Al Azam Razi.

MAHASISWA Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhamad Rafizan Amran, 20, yang menghidap masalah ketumbuhan dalam hidung atau psammomatoid fibrous dysplasia, cukup teruja untuk memulakan kuliah pertamanya selepas impian untuk bergelar mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tercapai.

Lebih mesra dengan panggilan Pijan, beliau yang berasal daripada Pontian, Johor, mula mendaftar sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan dan Perbankan Islam), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 5 September 2017.

Menurut Pijan, peluang belajar di UMK akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membalas jasa kedua  ibu bapa yang selama ini bersusah payah memandangkan ibu hanya suri rumah manakala bapanya hanya berniaga menjual pisang goreng.

Katanya, melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah impian sejak kecil untuk berjaya mendapatkan segulung ijazah sebelum melangkah jauh dengan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Sebaik sahaja lulus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan keputusan CGPA 2.9, saya terus memohon UPU dan Alhamdullilah diterima ke UMK dengan mengambil program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang diminati.

“Walaupun berjauhan dengan keluarga namun dengan semangat baharu untuk meneruskan pelajaran dan demi mengejar cita-cita untuk bekerja dalam industri perbankan saya mengetepikan kekurangan dan penyakit yang dihadapi bagi mencipta kejayaan,” katanya.

Tambah Pijan, kedua ibu bapanya adalah orang paling gembira walaupun sedih untuk meninggalkan  berjauhan namun beliau perlu lebih berdikari dan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan keluarga untuk membiasakan diri dengan tempat baharu.

“Pada semester pertama ini, saya mengambil sebanyak tujuh subjek termasuk subjek ko-kurikulum dan sungguh teruja untuk memulakan kuliah pertama pada minggu ini.

“Seperti pelajar lain, saya datang dengan semangat baru untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Kini, Pijan juga dapat berbangga kerana impiannya untuk mengikuti jejak penceramah dan pakar motivasi terkenal seperti Raja Shamri Raja Hussin atau dikenali sebagai Abang Raja yang mengalami kecacatan kaki semenjak lahir yang berjaya dalam pendidikan memberikan inspirasi besar kepadanya.

Pijan merupakan bekas peserta program motivasi Raja Shamri mendapat semangat luar biasa selepas menyertai ceramah motivasi pada tingkatan tiga di SMK Ayer Baloi Pontian, Johor.

“Saya amat kagum dengan perjuangan Raja Shamri dan selepas mendapat suntikan pembakar semangat ketika itu daya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh mengikuti jejaknya yang berjaya dengan cemerlang disebalik segala kesukaran dan keperitan,” katanya yang meluahkan perasaan untuk bersua dengan Raja Shamri suatu hari nanti.

Sementara itu, Puan Rozaiti Samuri, ibu kepada Muhamad Rafizan berkata, Pijan adalah anak keempat daripada enam beradik sudah 22 kali menjalani pembedahan untuk rawatan penyakit yang dihadapinya dan kali terakhir ialah pada bulan Mei lalu.

Beliau menyifatkan Pijan seorang anak yang tabah dan rajin dalam pelajaran walaupun terpaksa menanggung penyakit yang dihidapinya.

“Pijan sewaktu dilahirkan normal seperti anak-anak yang lain namun pada usia tiga tahun penyakitnya mula dikesan apabila darah keluar daripada  hidung dan sebaik umur empat tahun Pijan kesihatannya semakin serius dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana pada masa itu Hospital Sultanah Amanah di Johor Bharu tidak mempunyai pakar.

“Pembedahan pertama ialah pada usia empat tahun dan diikuti pembedahan kedua pada usia yang sama, kemudian sejak itu Pijan terpaksa berulang-alik dari Pontian ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan sehinggalah  pembedahankali ke 22  pada bulan Mei lepas sebelum puasa,” jelasnya.

Menurut Puan Roziati, hanya Allah SWT sahaja tahun betapa sedihnya kami sekeluarga kerana setiap kali Pijan hendak mengambil peperiksaan  beliau terpaksa menjalani rawatan dan pembedahan pada masa yang sama.

“Bayangkan, ibu mana tidak sedih melihat kesakitan yang dialami ananknya kerana takut dia tidak lulus peperiksaan yang diambil namun ALLAH SWT itu berkuasa kerana Allah selalu beri Pijan yang terbaik.

“Pernah saya menangis melihat darah yang menitis diatas kertas jawapan peperiksaan akhir tahun pada tingkatan lima. Pada masa itu, Pijan kena buat dirumah kerana tidak dapat hadir ke sekolah tetapi Pijan adalah seorang anak yang kuat danberjaya menjawabnya dengan baik,” katanya.

Tambahnya, beliau amat bersukur kerana cita-cita Pijan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti tercapai dan berharap Pijan dapat belajar bersungguh-sungguh kerana fizikal sepertinya sukar untuk mendapatkan pekerjaan berbanding orang lain.

“Sebagai ibu, makcik pesan kepada Pijan supaya belajar rajin-rajin kerana Pijan tidak boleh kerja berat jadi kena berusaha lebih berbanding orang biasa dan cuba belajar sebaik-baiknya,” katanya.

Published in Latest News

HOT TOPIC