A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK TAWAR 2315 TEMPAT PELAJAR BAHARU SESI 2017/2018

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                Foto : Al Azam Razi & Abdul Halim Hafiz Ab Aziz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menerima seramai 1,853 pelajar baharu untuk mengikuti 23 program pengajian yang ditawarkan di lapan fakulti  bagi sesi pengambilan September 2017/2018.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, berkata,  jumlah itu membabitkan seramai 1,060 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, 449 penuntut di Kampus Bachok dan 343 penuntut  di Kampus Jeli.

Katanya, daripada jumlah itu UMK menerima sebanyak 18 ribu lebih permohonan daripada calon atau lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Sehingga hari ini lebih kurang 1853 pelajar telah mendaftar dan daripada jumlah keseluruhan yang ditawarkan iaitu sebanyak 2315 tempat dengan menyaksikan sebanyak 70 peratus adalah penuntut perempuan dan selebihnya lelaki.

“Dalam pada itu, UMK masih memberi peluang dengan menawarkan tempat kepada pelajar menerusi permohonan rayuan  untuk mengikuti pengajian prasiswazah kali ini,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu sempena Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 6 September 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Abd. Latif, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pakchu.

Pada majlis amanat itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza, berkata, UMK  komited untuk  menterjemahkan agenda keusahawanan dengan melahirkan graduan usahawan yang boleh menjana pekerjaaan bagi mengatasi isu dan masalah pengganguran di kalangan lepasan graduan Universiti Awam.

Beliau berkata, UMK memulakan operasi pada tahun 2007 dimana isu  pengganguran tinggi di kalangan lepasan graduan pada ketika itu namun ditubuhkan juga sebuah universiti seperti yang dihasratkan oleh kerajaan yang mahu sebuah universiti yang bukan sahaja melahirkan graduan tetapi menghasilkan usahawan yang boleh menjana pekerjaaan.

“Jadi,  tanggungjawab ini digalaskan  di atas bahu pelajar ini untuk menjadi usahawan bagi menjana pekerjaan kerana kita tidak mahu apabila sebut graduan UMK , mereka ini berbaris sama dengan graduan Universiti Awam lain memohon pekerjaan.

“Graduan UMK seharusnya ketika berlajar di Universiti telah menubuhkan syarikat siswa untuk menggerakan agenda keusahawanan kerana UMK sebagai Universiti Keusahawanan bukan hanya bersifat retorik semata-mata,” katanya.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, perkara paling penting pada pelajar UMK ialah mereka perlu meletakkan dalam hati, niat serta azam untuk menjadi usahawan kerana itu adalah tujuan utama universiti ini ditubuhkan.

Beliau berkata, untuk menjadi usahawan beberapa modul-modul disediakan selain meliputi khidmat nasihat, latihan, pembiayaan kewangan, inkubator dan sebagainya untuk memastikan  graduan berjaya menjadi usahawan.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 300 syarikat milik pelajar berdaftar dengan Syarikat Siswa Universiti (SSU) yang diiktiraf dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)  yang dikendalikan dibawah UMK Entrepreneurship Institute (UMKEI).

“Syarikat pelajar yang berdaftar di bawah SSU merangkumi bidang perkhidmatan, kosmetik dan pengangkutan dimana pihak universiti sentiasa memantau dan menyelia rekod jualan syarikat yang dikendalikan oleh pelajar.

“Saya yakin lebih banyak pelajar yang mengusahakan perniagaan di UMK yang belum mendaftar dan dianggarkan sebanyak 1500 pelajar terlibat dengan perniagaan online dan kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd. Hassan berkata, proses pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2017/2018 di ketiga-tiga kampus UMK iaitu UMK Kampus Bachok, Kampus Kota Pengkalan Chepa dan Kampus Jeli berjalan lancar.

Katanya, pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti 23 program yang ditawarkan di lapan fakulti iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan , Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Senibina Dan Ekistik, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Bumi, Fakulti Industri dan Asas Tani dan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi.

Menyentuh mengenai amanat Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Hassan memberitahu bahawa intipati amanat lebih menjurus kepada keusahawanan dimana pelajar tahun satu perlu diasuh dan dibimbing untuk melahirkan graduan yang memiliki minda keusahawanan dan seterusnya minat memulakan perniagaan.

"Dalam amanat yang disampaikan Dato’ Naib Canselor, beliau  mahu pelajar-pelajar baharu memahami hala tuju dan tujuan utama penubuhan UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan yang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Apa yang kita sasarkan ialah 60 peratus graduan UMK menjadi usahawan dan pendaftaran syarikat di kalangan siswa akan di tingkatkan,” jelasnya.

Published in Latest News
Last modified on Wednesday, 13 September 2017 17:34 Read 1067 times

HOT TOPIC