A- A A+
logoumkmerdeka2017

PEMANGKU RAJA KELANTAN DIMASYHURKAN SEBAGAI CANSELOR BAHARU UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat         Foto : Al Azam Razi dan Abd. Halim Hafiz

PEMANGKU Raja Kelantan, Yang Maha Mulia, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baharu dalam satu Majlis Pemasyhuran Tuanku Canselor UMK yang berlangsung penuh istiadat dan gemilang di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota , Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 25 September 2017.

Pemasyhuran dan pelantikan baginda sebagai Canselor UMK telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM), Sultan Muhammad V, untuk tempoh lima tahun bermula 16 Februari lalu sehingga tahun 2022.

Keberangkatan tiba YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada jam 11.45 pagi diiringi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob  dan Naib Canselor UMK, Dato’ Dr Mortaza Mohamed.

Pengisytiharan pemasyhuran telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh.

Dalam Titah YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, UMK telah memberi impak terhadap perkembangan ilmu, minda dan kesejahteraan masyarakat dengan kewujudan tiga kampus pengajian iaitu di Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli.

Titah baginda,  UMK  telah pun menjangkau usia 10 tahun dan dalam tempoh tersebut, Beta percaya UMK  telah memberi sumbangan yang amat besar bukan hanya kepada dunia pendidikan tinggi negara, tetapi juga kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, khususnya di Negeri Kelantan.

“Beta melihat, UMK telah pun berjaya meletakkan batu asas dan berjaya menjamin peningkatan keupayaan dalam Hal Ehwal Akademik, pembangunan graduan yang seimbang dan holistik bercirikan keusahawanan, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan wilayah.

IptcUMK6

“Namun begitu, perjalanan UMK masih jauh untuk meletakkan kedudukannya sebaris dengan universiti-universiti tersohor di dalam dan di luar negara,” titah baginda.

Baginda bertitah,  pada dekad kedua, UMK sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha untuk menjamin kualiti dan kecemerlangan dalam semua aspek yang menentukan kekuatan serta penjenamaan UMK.

Titah Tuanku, negara ini dalam era revolusi industri keempat dengan perkembangan teknologi sangat pesat dan berharap UMK tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan sedia menyesuaikan diri dengan perubahan global.

"Sebagai sebuah universiti keusahawanan, UMK perlu melipat ganda usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utama bagi universiti.

"UMK perlu mempertingkatkan ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar," titah baginda.

YMM Dr. Tengku Muhammad Fai-iz Petra bertitah, dalam konteks di Negeri Kelantan bahawa UMK bukan hanya dilihat sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi turut memainkan peranan sebagai agen dan nadi perubahan kepada pembangunan komuniti dan wilayah.

“Peranan UMK adalah untuk membantu pihak kerajaan memperkasakan aspek ekonomi dan sosial masyarakat terutamanya di luar bandar adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

“Antara inisiatif kemasyarakatan yang telah dilakukan adalah seperti pelan tindakan pengurusan kemiskinan oleh UMK melibatkan jajahan Bachok, Pasir Puteh dan masyarakat orang asli di jajahan Jeli. Beta berharap usaha ini akan terus memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat yang memerlukan perhatian,” titah baginda.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, pemasyhuran YMM Tuanku sebagai Canselor merupakan satu detik bersejarah dan bermakna buat UMK, untuk meneruskan kembara memartabatkan agenda pendidikan tinggi negara di negeri Kelantan khasnya, dan di Malaysia amnya

Beliau berkata, pemasyhuran ini turut memberi perangsang dan inspirasi kepada seluruh warga UMK untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin, bagi menjayakan hasrat dan visi Universiti, dan demi menjayakan halatuju Pendidikan Tinggi negara agar terus cemerlang dan berada di landasan yang tepat.

Published in Latest News
Last modified on Tuesday, 26 September 2017 17:25 Read 595 times

HOT TOPIC