A- A A+
logoumkmerdeka2017

80 PERATUS GRADUAN UMK PENUHI PASARAN KERJA

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat            Foto : Unit Media dan Promosi

KOTA BHARU 10 Oktober 2017 – UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mencatatkan 80.8 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan sehingga satu tahun selepas mereka tamat pengajian di universiti pada tahun 2016.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, pencapaian yang memberangsangkan itu menunjukkan bahawa graduan UMK memenuhi kriteria majikan dan menjadi buruan daripada pihak industri.

Beliau berkata, selain itu graduan UMK juga mampu bersaing dengan universiti awam lain sekali gus menempatkan diri mereka dalam pasaran kerja.

“Dalam statistik The Critical Occupations List (COL) 2016 oleh Talent Corp yang diukur berdasarkan The Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) menunjukkan bahawa pada masa ini, bidang sains gunaan mencatatkan permintaan yang tinggi di kalangan industri.

“Justeru itu, UMK telah menawarkan program sains gunaan dengan penubuhan tiga fakulti iaitu Fakulti Sains Bumi (FSB), Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) dan Fakulti Bio Kejuruteraan dan Teknologi (FBKT) yang berpangkalan di UMK Kampus Jeli,” katanya pada Istiadat Konvokesyen Kali Ketujuh di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 10 Oktober 2017.

Pada majlis istiadat konvokesyen itu, UMK meraikan seramai 803 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam sidang kedua, ketiga dan keempat istiadat konvokesyen.

Daripada jumlah tersebut, seramai 269 graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Peternakan), Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Pembangunan Produk), Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bioindustri) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian) menerima ijazah masing-masing.

Sidang ketiga Istiadat Konvokesyen, seramai 269 graduan daripada Ijazah Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian), Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar, Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan), Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Kelestarian), Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Sumber Asli) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains).

Turut menerima ijazah pada sidang keempat, seramai 265 graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains), Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) dan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan).

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, graduan dari bidang sains berpotensi untuk menjana pendapatan sebagai usahawan dalam bidang agroteknologi bersifat komersil yang menjadi Bidang Potensi perniagaan berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara Pertanian (Agriculture NKEA).

Katanya, selain itu kemunculan teknologi yang lebih hebat, Artificial Inteligence (AI) juga telah mengubah landskap kehidupan yang berbeza dari norma kelaziman.

“Oleh itu, saya menyeru semua graduan perlu peka dengan perkembangan semasa dunia dan bersedia untuk beradaptasi dengan kemajuan teknologi yang sangat pesat kerana AI dijangka akan merubah landskap industri automasi pemasaran, sokongan dan perkhidmatan selain IT dan pengurusan rantaian bekalan Pengurusan permintaan, pengoptimuman rantaian bekalan, sistem pengurusan pesanan tercanggih yang lebih baik.

“Kajian menunjukan bahawa, AI akan membolehkan mereka untuk bergerak ke perniagaan dan usaha baru dan menerusinya ia akan menjadi pemangkin model perniagaan yang baru sepenuhnya dan mengubah landskap persaingan seluruh industri pada masa yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, dalam usaha memperkasakan bidang pertanian menerusi kaedah bioteknologi UMK telah mengambil tanggungjawab untuk melahirkan graduan dalam bidang tersebut.

Katanya, empat tunjang utama jaminan makanan iaitu availability, accessibility, affordability dan utilization akan diberi penekanan bagi menjamin sumber makanan mencukupi melalui bidang pertanian yang menjadi fokus utama negara.

“Oleh itu, kaedah bioteknologi dalam meningkatkan pengeluaran dan kualiti pertanian diperlukan bagi meningkatkan hasil dan kualiti melalui teknologi dalam pemprosesan makanan dan produk hiliran lainnya mampu meningkatkan nilai komersil sesuatu produk,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza juga meletak harapan tinggi kepada graduan daripada FSB yang mempunyai kemahiran teknikal dalam bidang sumber asli, geosains dan alam sekitar.

Katanya, bidang ini amat penting kerana menggabungkan kepakaran sumber asli, pengurusan dan penjagaan alam sekitar secara lestari. Maka mereka mempunyai kebertanggungjawaban dengan nilai kemanusiaan yang tinggi terhadap elemen alam sekitar dan sosial.

“Bagi graduan dari FKP pula mencatatkan permintaan yang tinggi dalam kalangan industri berdasarkan laporan Critical Occupations List (COL) 2016/2017.

“Ia melibatkan Finance Managers di tempat kedua, Business Services Managers di tempat kelima, Sales and Marketing Managers di tempat keenam, Supply, Distribution and Related Managers di tempat kesebelas,” katanya.

Tambah beliau, ini menunjukkan prospek kerjaya graduan di FKP adalah begitu meluas dan terbuka.

“Oleh itu, para graduan perlu bersedia secara lebih mandiri dalam meneroka pasaran dan menerajui dunia pekerjaan menerusi pelbagai aspek.

Keupayaan berkomunikasi, karektor yang ekstrinsif, atitud dan juga personaliti yang baik adalah penting dalam aktiviti kehidupan,” katanya.

 

Published in Latest News
Last modified on Wednesday, 11 October 2017 11:32 Read 372 times

HOT TOPIC