A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK MILIKI KEMAMPUAN HASILKAN TENAGA KERJA MAHIR, KREATIF DAN BERINOVASI

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                Foto : Unit Media dan Promosi

KOTA BHARU 11 Oktober – GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu bersedia secara lebih mandiri dalam meneroka pasaran dan menerajui dunia pekerjaan menerusi pelbagai aspek untuk mendepani cabaran merebut peluang dalam bidang pekerjaan di masa hadapan.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, bukan hanya sekadar ijazah di atas kertas atau kualiti akademik sahaja namun aspek kemahiran insaniah yang menjadi ukuran utama seperti keupayaan berkomunikasi, karektor yang ekstrinsif, atitud dan juga personaliti yang baik.

Katanya, kehidupan manusia akan berubah yang akan menyebabkan bidang pekerjaan lazimnya akan hilang dan pekerjaan baharu akan muncul dan kita perlu bersedia untuk merebut peluang tersebut.

“Tenaga buruh akan di ganti dengan robot dan automasi manakala pentadbiran, pengurusan dan perundangan akan di ambil alih oleh Artificial Intelligence (AI) serta industri, bisnes dan enterpris akan dipandu oleh Big Data.

“Oleh itu adalah amat penting bagi UMK mempersiap siagakan graduan untuk melangkah ke zaman baharu ini,” katanya pada majlis Istiadat Konvokesyen Ketujuh di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 11 Oktober 2017.

Majlis diteruskan dengan sidang ke kelima Istiadat Konvokesyen bagi penyampaian Ijazah Sarjana Muda kepada 783 graduan yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mortaza.

Daripada jumlah tersebut, seramai 265 graduan terdiri daripada penerima Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) dan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan.

Sidang ke Keenam Istiadat Konvokesyen bermula pada jam 11 pagi adalah bagi penyampaian ijazah kepada 260 graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam).

Manakala sidang ketujuh Istiadat Konvokesyen bermula jam 3 petang bagi majlis penyampaian ijazah kepada 229 Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, realiti hari ini menyaksikan kita terus berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks.

“Revolusi Industri Keempat atau Fourth Industrial Revolution (IR 4.0) memperlihatkan perkembangan dan pengaruh teknologi begitu pesat dalam mencorak kehidupan pada masa kini dan akan datang.

“Kehidupan dalam era Revolusi Industri 4.0 akan berubah yang menyaksikan ledakan pekerjaan baharu akan muncul dan kita perlu bersedia untuk merebut peluang dalam bidang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata bidang pekerjaan berkaitan dengan industri kreatif juga mencatatkan permintaan yang tinggi, sebagai contoh Graphic and Multimedia Designers menduduki tempat ke 24 daripada 48 pekerjaan yang diperlukan dalam pasaran seperti yang disenaraikan menerusi Critical Occupations List (COL) 2016/2017.

Katanya, bagi menjayakan hasrat ini, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan telah menubuhkan Creative Accelerator Centre (CAC) sebagai inkubator bagi melahirkan lebih ramai usahawan kreatif dalam kalangan graduan UMK.

Published in Latest News
Last modified on Thursday, 12 October 2017 20:26 Read 558 times

HOT TOPIC