A- A A+
logoumkmerdeka2017

PELAJAR UMK HASILKAN KASUT KANVAS REKA CORAK BATIK

kasutbatik

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

HASIL kreativiti dan inovasi, 300 pelajar tahun satu Ijazah Sajana Muda Teknologi Kreatif, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) memulakan bisnes kasut dengan corak lukisan tangan rekaan bermotifkan batik untuk jualan gerai sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia (MFBM) 2017  yang berlangsung pada 29 Oktober hingga 2 November 2017.

Melihat kepada hasil kejayaan pelajar itu membuktikan MFBM 2017 telah berjaya menjana kreativiti pelajar sebagai pewaris generasi muda untuk menghasilkan rekaan batik menerusi eksperimentasi visual dan menterjemahkan idea di atas kasut kanvas mengikut citarasa anak-anak muda serta trend terkini.

Menurut Siti Nur Amalia Amran atau Amma, penghasilan kasut tersebut adalah hasil kreativiti sendiri oleh kumpulan pelajar tahun satu untuk projek pertama bagi subjek lukisan oleh pensyarah yang bertemakan batik.

Katanya, kumpulan pelajar ini  melukis corak dan mewarna kasut dengan catan tangan menggunakan cat akrilik, pewarna fabrik, berus dan marker untuk menghasilkan  corak dan lukisan yang bersifat flora dan fauna, abstrak, laut dan alam semulajadi.

“Masing-masing bereksprimentasi dengan idea tersendiri tetapi masih mengekalkan motif batik yang berwarna-warni dan bercorak ringkas.

“Sebenarnya, itulah hasil tangan pertama kami dan tidak menduga mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

"Ramai pelanggan bertanya bagaimana kami boleh dapat idea untuk buat kasut-kasut bercorak sebegitu malah ada yang memuji dan marah kenapa jual kasut tersebut dengan harga murah,” katanya.

Tambah Nur Amalia, menyedari bahawa kasut-kasut yang dihasilkan itu mendapat permintaan dan sambutan ramai maka kumpulan kami telah bersetuju untuk mengkomersilkan jualan kasut ini melalui jualan di atas talian atau online.

Beliau berkata, untuk projek pertama ini kumpulannya telah berjaya menghasilkan 200 pasang kasut bercorak batik dengan harga antara RM25 sehingga RM60 sepasang.

“Untuk siapkan tempahan sepasang kasut tidak mengambil masa yang lama iaitu antara tempoh 30 minit hingga 1 jam sahaja cuma ambil masa hanyalah memikirkan rekaan atau motif yang bersesuaian dengan citarasa,” katanya.

Nur Amalia berharap supaya kasut rekaan berkosepkan batik ini dapat dikomersialkan  ke pasaran antarabangsa dan sekaligus memartabatkan lagi batik Malaysia di persada dunia.

Published in Latest News

HOT TOPIC