PASUKAN TENPIN BOLING INDIVIDU WANITA UMK RAIH TEMPAT KETIGA KEJOHANAN PERSAHABATAN UNIVERSITI AWAM PANTAI TIMUR

Rabu, 17 Januari 2018 16:59

boling1

PASUKAN Tenpin Boling Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya meraih tempat ketiga untuk kategori Individu (Wanita) pada Kejohanan Persahabatan Tenpin Boling Universiti Awam (UA) Wilayah Pantai Timur anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Kompleks Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 5 Januari 2018.

boling4Pemain boling wanita UMK, Pn Siti Suhaila Mohd Nawi yang memberi saingan sengit kepada pasukan lawan dengan melakukan 739 jatuhan pin dalam acara individu wanita berjaya meraih tempat ketiga dengan membawa balik piala serta sijil penyertaan.

Kejohanan persahabatan empat penjuru itu melibatkan empat UA di Pantai Timur iaitu Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dan UMK.

Penyelaras Kejohanan Tenpin Boling UA Pantai Timur, En. Mohd Saiful Azuwan Ismail, berkata, objektif utama penganjuran kejohanan kali ini adalah berikutan kejayaan penganjuran kejohanan persahabatan pertama membabitkan USM, UMK dan Kolej Teknologi PolyTech Mara (KPTM) pada tahun 2017.

Katanya, pada kejohanan kali ini pasukan UniSZA berjaya menggungguli pertandingan apabila meraih tempat pertama secara keseluruhan dengan jatuhan pin terkumpul sebanyak 9475, tempat kedua USM Kampus Kesihatan memperolehi 8548 jatuhan pin, manakala UMK di tempat ketiga dengan jumlah jatuhan pin 8405 dan UMT tempat keempat dengan jumlah jatuhan pin 8256.

“Bagi kejohanan kali ini, pihak penganjur telah memberi kelainan kepada penentuan tempat bagi kategori individu di mana kedudukan empat tertinggi kategori individu ditentukan dengan persaingan stepladder dimana penetapan persaingan di peringkat stepladder pula ditentukan melalui pemilihan peserta yang memiliki jumlah jatuhan pin tertinggi bagi dari setiap universiti bertanding.

“Ini memberi peluang kepada semua wakil universiti merasakan debaran dan tekanan emosi bersaing pada peringkat stepladder,” katanya.

boling2Sementara itu, keputusan acara stepladder berpihak kepada pasukan UNisZA yang mempamerkan aksi cemerlang apabila Mohd Fadhil Hussein mengungguli stepladder individu lelaki dengan menewaskan Sarudin Abas daripada USM Kampus Kesihatan dengan jatuhan pin sebanyak 177.

“Manakala Noraini Md Zain daripada USM Kampus Kesihatan menang selesa dengan pemain wanita UniSZA, Nur Nabilah Ammar Mohd Nasir bagi merebut Juara Step Ladder Wanita,” katanya.

Mohd Saiful Azuwan, berharap pertandingan seumpama ini dapat menjadi acara kejohanan tahunan bagi melebarkan jaringan persahabatan di kalangan staf di dalam bidang sukan antara universiti di Pantai Timur melibatkan staf dan pelajar di masa hadapan.

“Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan ini dan ini merupakan penyatuan kepada staf UA khususnya keempat-empat untuk bersama dalam setiap program seumpama ini,” katanya.

boling3

UMK DIPILIH UNIVERSITI AWAM PERTAMA PELOPOR PROGRAM KPT-CELCOM SISWAPRENEUR@UMK

Rabu, 17 Januari 2018 11:51

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                  Foto : Al Azam Razi

celcom umk

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menempa sejarah sebagai Universiti Awam pertama di Malaysia menjadi perintis kepada program Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)-CELCOM Siswapreneur@UMK melalui kerjasama strategik UMK dengan Celcom Axiata Berhad.

Melalui kerjasama itu, Celcom Axiata Berhad menyerahkan dana berjumlah RM50,000 kepada UMK untuk dua buah 'food cart' yang lengkap dengan alatan menggoreng dan peti sejuk beku untuk kemudahan pelajar asnaf terpilih menjalankan perniagaan.

Majlis penyerahan Mockup Cek itu telah disempurnakan oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Tanggungjawab Korporat Celcom Axiata Berhad, En. Saiful Bahrin Abd Ghaffar kepada Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut En. Saiful Bahrin, pelaksanaan projek ini akan dimulakan di UMK pada Februari ini sebelum diikuti enam UA lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, menerusi pelaksanaan projek itu pihak Celcom Axiata Berhad telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk tujuh buah universiti awam dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Ini merupakan salah satu usaha Celcom Axiata Berhad dibawah kerjasama UMK-EI untuk menyumbang kepada pembangunan usahawan dengan merangka program bagi membantu pelajar dikalangan asnaf yang terpilih di setiap UA di negara ini.

“Dalam usaha membudayakan ekonomi digital dalam kampus, setiap ‘food car' juga akan sediakan kemudahan wifi dan aplikasi boos' bagi menggalakkan pembelian tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, Celcom Axiata Berhad juga telah melantik tiga buah syarikat siswa universiti sebagai agen jualan Celcom dengan membekalkan kiosk Celcom X-Pax dan kelengkapan promosi di tiga kampus UMK yang beroperasi setiap hari bekerja.

Tiga syarikat itu ialah Thinker Biz (UMK Kampus Kota), NSR Group Enterprise (UMK Bachok ) dan Starlight Enterprise (UMK Kampus Jeli).

Program pengurusan Kiosk Celcom ini memberi peluang kepada pelajar membentuk satu perniagaan yang menekankan kepada servis pelanggan dan jualan langsung disamping diberi latihan dan bimbingan tentang pengurusan acara dan program promosi jualan di bawah penyeliaan pihak Celcom.

UMK TERBIT BUKU ACTION GROUP ENTREPRENEURSHIP: MEMBERI NILAI KEPADA JALINAN KERJASAMA INDUSTRI-UMK

Selasa, 16 Januari 2018 16:33

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat             Foto : Al Azam Razi

UmkAgeCouncil

DALAM usaha mengembangkan portfolio Majlis Action Group Entrepreneurship (AGE) Council, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan buku Coffee Table berjudul Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK bagi menyokong penglibatan serta impak yang dibawa oleh pihak industri untuk menjayakan agenda keusahawanan dan bidang berkaitan di UMK.

UmkAgeCouncil4

Buku yang diterbitkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dalam Bahasa Melayu setebal 120 halaman itu menghimpunkan maklumat merentasi berbagai skop termasuk bantuan kewangan, bimbingan, khidmat komuniti, perniagaan pelajar, program akademik pelajar, pembangunan kurikulum, program sangkutan staf akademik serta penyelidikan bersama.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 15 Januari 2018.

Terdahulu, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah mempengerusikan Mesyuarat UMK AGE Council Bil. 1/2018 (Kali Ke – 6) dengan tujuan membincangkan jalinan kerjasama ahli UMK AGE Council.

Turut berlangsung ialah majlis pelancaran buku Menyelusuri Warisan Pelancongan dan Alam Semulajadi Lembangan Pengkalan Datu dan pelancaran Buku Takaful Pelindungku UMK Wealth Lab MFPC.

UmkAgeCouncil3Pada majlis sama, Tan Sri Hamad Kama Piah turut menyaksikan Majlis Pertukaran Perjanjian antara UMK dengan Creadit Guarantee Corporation dan pelancaran Program KPT-CELCOM SISWAPRENEUR @UMK.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, berkata, penerbitan buku Action Group Entrepreneurship: Memberi Nilai Kepada Jalinan Kerjasama Industri-UMK ini sebagai satu usaha merekodkan kepada umum tentang perkembangan dan pencapaian yang dilaksanakan serta jaringan kerjasama Majlis AGE-UMK menjalankan agenda keusahawanan.

Katanya, selain itu kandungan utama buku ini ialah berkenaan program dan aktiviti kerjasama akademik, penyelidikan dan inovasi, perkongsian ilmu dan pengalaman serta program tanggungjawab sosial.

“Buku tersebut memperjelaskan kerjasama antara Ahli Majlis AGE-UMK dengan pihak universiti yang dilaksanakan mengikut struktur yang mantap melibatkan perkongsian pengalaman dalam sektor korporat dan akademik.

“Selain itu, ia merangkumi pencapaian dan kejayaan program AGE Council seperti memperkasakan keusahawanan merangkumi pelancaran Outlet Avon Malaysia dan UMK - Avon Business Model, Program Endownment Pembangunan Usahawan oleh Nadicorp Holdings dan Pengurusan Kiosk Celcom Axiata Berhad,”   katanya.

UmkAgeCouncil2Tambah beliau, buku itu juga mengandungi program Pemasaran Produk UMK di Portal 11-Street, Pertandingan Business Apprentice bersama Distinct Legacy Sdn. Bhd dan Projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd.

“Kandungan buku ini juga melibatkan program penyelidikan bersama Ahli AGE-UMK iaitu projek Incinerator dan Implementasi Panel Solar oleh Majulia Sdn. Bhd., program Case Study in Retail: Challlenges, Solutions and Outcome bersama Bumiputra Retailers Organization, Projek Kerjasama Rural Transformation Program for Mambong, Singgora, Serunding bersama Khazanah Nasional dan Projek SME Innovation Index bersama Agensi Inovasi Malaysia.

“Buku ini juga mencatatkan kerjasama Projek Perundingan Bagi Rekabentuk Landskap Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dan program perkongsian ilmu dan pengalaman dalam Chairman Lecture Series UMK membabitkan Celcom Axiata Berhad, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Geo Solutions, Distinct Legacy Sdn Bhd dan Credit Guarantee Corporation,” jelas beliau.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, pada buku ini juga mencoretkan kejayaan jalinan kerjasama dalam memperkukuhkan agenda dalam insiatif AGE ini dengan pihak Universiti yang berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman dan Persetujuan sebagai membuktikan kesungguhan industri menjalinkan kerjasama.

UmkAgeCouncil1

 

Halaman 1 dari 13

Apa kata pelajar kami?

E-Community



 

Hubungi

Universiti Malaysia Kelantan
Karung Berkunci 36,
Pengkalan Chepa, 16100,
Kota Bharu, Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search