PIJAN MAHASISWA OKU TERUJA HADIR HARI PERTAMA KULIAH DI UMK

Selasa, 12 September 2017 10:27

pijan

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat      Foto  : Al Azam Razi.

MAHASISWA Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhamad Rafizan Amran, 20, yang menghidap masalah ketumbuhan dalam hidung atau psammomatoid fibrous dysplasia, cukup teruja untuk memulakan kuliah pertamanya selepas impian untuk bergelar mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tercapai.

Lebih mesra dengan panggilan Pijan, beliau yang berasal daripada Pontian, Johor, mula mendaftar sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan dan Perbankan Islam), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 5 September 2017.

Menurut Pijan, peluang belajar di UMK akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membalas jasa kedua  ibu bapa yang selama ini bersusah payah memandangkan ibu hanya suri rumah manakala bapanya hanya berniaga menjual pisang goreng.

Katanya, melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah impian sejak kecil untuk berjaya mendapatkan segulung ijazah sebelum melangkah jauh dengan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Sebaik sahaja lulus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan keputusan CGPA 2.9, saya terus memohon UPU dan Alhamdullilah diterima ke UMK dengan mengambil program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang diminati.

“Walaupun berjauhan dengan keluarga namun dengan semangat baharu untuk meneruskan pelajaran dan demi mengejar cita-cita untuk bekerja dalam industri perbankan saya mengetepikan kekurangan dan penyakit yang dihadapi bagi mencipta kejayaan,” katanya.

Tambah Pijan, kedua ibu bapanya adalah orang paling gembira walaupun sedih untuk meninggalkan  berjauhan namun beliau perlu lebih berdikari dan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan keluarga untuk membiasakan diri dengan tempat baharu.

“Pada semester pertama ini, saya mengambil sebanyak tujuh subjek termasuk subjek ko-kurikulum dan sungguh teruja untuk memulakan kuliah pertama pada minggu ini.

“Seperti pelajar lain, saya datang dengan semangat baru untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Kini, Pijan juga dapat berbangga kerana impiannya untuk mengikuti jejak penceramah dan pakar motivasi terkenal seperti Raja Shamri Raja Hussin atau dikenali sebagai Abang Raja yang mengalami kecacatan kaki semenjak lahir yang berjaya dalam pendidikan memberikan inspirasi besar kepadanya.

Pijan merupakan bekas peserta program motivasi Raja Shamri mendapat semangat luar biasa selepas menyertai ceramah motivasi pada tingkatan tiga di SMK Ayer Baloi Pontian, Johor.

“Saya amat kagum dengan perjuangan Raja Shamri dan selepas mendapat suntikan pembakar semangat ketika itu daya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh mengikuti jejaknya yang berjaya dengan cemerlang disebalik segala kesukaran dan keperitan,” katanya yang meluahkan perasaan untuk bersua dengan Raja Shamri suatu hari nanti.

Sementara itu, Puan Rozaiti Samuri, ibu kepada Muhamad Rafizan berkata, Pijan adalah anak keempat daripada enam beradik sudah 22 kali menjalani pembedahan untuk rawatan penyakit yang dihadapinya dan kali terakhir ialah pada bulan Mei lalu.

Beliau menyifatkan Pijan seorang anak yang tabah dan rajin dalam pelajaran walaupun terpaksa menanggung penyakit yang dihidapinya.

“Pijan sewaktu dilahirkan normal seperti anak-anak yang lain namun pada usia tiga tahun penyakitnya mula dikesan apabila darah keluar daripada  hidung dan sebaik umur empat tahun Pijan kesihatannya semakin serius dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana pada masa itu Hospital Sultanah Amanah di Johor Bharu tidak mempunyai pakar.

“Pembedahan pertama ialah pada usia empat tahun dan diikuti pembedahan kedua pada usia yang sama, kemudian sejak itu Pijan terpaksa berulang-alik dari Pontian ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan sehinggalah  pembedahankali ke 22  pada bulan Mei lepas sebelum puasa,” jelasnya.

Menurut Puan Roziati, hanya Allah SWT sahaja tahun betapa sedihnya kami sekeluarga kerana setiap kali Pijan hendak mengambil peperiksaan  beliau terpaksa menjalani rawatan dan pembedahan pada masa yang sama.

“Bayangkan, ibu mana tidak sedih melihat kesakitan yang dialami ananknya kerana takut dia tidak lulus peperiksaan yang diambil namun ALLAH SWT itu berkuasa kerana Allah selalu beri Pijan yang terbaik.

“Pernah saya menangis melihat darah yang menitis diatas kertas jawapan peperiksaan akhir tahun pada tingkatan lima. Pada masa itu, Pijan kena buat dirumah kerana tidak dapat hadir ke sekolah tetapi Pijan adalah seorang anak yang kuat danberjaya menjawabnya dengan baik,” katanya.

Tambahnya, beliau amat bersukur kerana cita-cita Pijan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti tercapai dan berharap Pijan dapat belajar bersungguh-sungguh kerana fizikal sepertinya sukar untuk mendapatkan pekerjaan berbanding orang lain.

“Sebagai ibu, makcik pesan kepada Pijan supaya belajar rajin-rajin kerana Pijan tidak boleh kerja berat jadi kena berusaha lebih berbanding orang biasa dan cuba belajar sebaik-baiknya,” katanya.

UMK-QSR BRANDS TANDATANGANI MOU LAKSANA PROGRAM 2U2i

Isnin, 25 September 2017 11:58

MouUmkQsr

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd bagi penawaran program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Restoran, Fakulti Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan di UMK yang akan bermula pada tahun hadapan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed dan Pengarah Urusan QSR Brands, Dato’ Mohamed Azahari Kamil.

Turut diadakan ialah majlis menandatangani MoU antara QSR Brands dan SEGi Universiti & College yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Penjagaan Kualiti) SEGI University, Brigerd General Prof. Dato’ Dr. Shohaimi Abdullah (B).

MoU itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M), Holdings Bhd, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

MouUmkQsr4Menurut YB Dato’ Seri Idris, menerusi MoU itu program baharu berteraskan Dua Universiti Dua Industri (2U2i) yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi itu bakal ditawarkan di Universiti UMK dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, program 2U2i adalah program pembelajaran bersasaskan pekerjaan yang memberi pendedahan industri kepada pelajar sepanjang pengajian mereka.

“Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan ditempatkan di UMK selama dua (2) tahun sebelum ditempatkan dua (2) tahun dalam industri (QSR Brands) untuk menyempurnakan pengajian mereka.

“KPT dalam menjadikan graduan tempatan yang berkualiti dan holistik selain berciri keusahawanan dan seimbang, selaras dengan lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” katanya katanya pada majlis menandatangani MoU itu di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 25 September 2017.

Tambah YB Dato’ Seri Idris,  dalam memastikan program 2U2i ini berkesan dan memberi impak positif terhadap tahap kesediaan mahasiswa di Universiti untuk menempuh alam pekerjaan mahupun keusahawanan, KPT percaya program yang berasaskan work based learning seperti ini adalah platform terbaik dan tepat yang perlu diperluaskan.

Program 2U2i telah diperkenalkan oleh KPT pada tahun 2016 dan tujuh Universiti Awam (UA) telah menyertai program ini dengan menawarkan 16 program pengajian untuk sesi akademik 2017/2018.

Menerusi sokongan syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia adalah penting dalam memastikan kejayaan program 2U2i penting dalam memastikan kejayaan program tersebut dalam mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang dinamik dan fleksibel.

MouUmkQsr3

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, kerjasama UMK dan QSR ini amat bertepatan dengan beberapa agenda tranformasi nasional khususnya bagi merealisasikan hasrat TN50 yang memerlukan pendekatan untuk menyediakan modal insan yang berbakat dan berdaya saing.

MouUmkQsr5Katanya, program pengajian yang berasaskan kepada Program 2U2i yang diperkenalkan KPT ini adalah kaedah pembelajaran berkonsepkan Work-Based Learningdimana ia dilihat sebagai mampu memberi nilai tambah kepada pelajar.

“Selain itu, ini juga dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan graduate employbility (GE) di kalangan pelajar UMK.

“Kerjasama ini juga selari dengan inisiatif dalam majlis action Group of Entrepreneurship (AGE Council) yang menjadi penghubung antara industri dan akademik.,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Kamaruzzaman berkata, QSR Brands komited dalam menyediakan pembelajaran berterusan, khususnya kepada anggota pekerja di seluruh rangkaian restoran-restoran kami di Malaysia.

Katanya, Pekerja kami diberi latihan yang merangkumi pembelajaran di dalam kelas, latihan amali dan pembelajaran secara talian (E-learning).

“Pelajar di bawah program 2U2i di UMK dan SEGi University & College akan menjalani latihan yang serupa sepertimana apa kami sediakan kepada pekerja kami,” katanya.

Menurut  Dato’ Kamaruzzaman, QSR mempunyai 1,120 rangkaian restoran di seluruh negara dan di bawah MoU ini iaitu minimum untuk lima tahun dimana sebahagian pelajar yang mengikuti kursus ini akan mendapat pengalaman belajar di universiti dan pengalaman bekerja dalam industri.

Beliau berkata, program ini adalah perkara baharu, pelajar yang menjalani latihan ini .bukan untuk kerja dengan QSR tetapi dilatih untuk menjadi usahawan," katanya.

QSR Brands (M) Holdings (QSR Brands), merupakan operator restoran makanan segera terbesar di rantau ini menguruskan jenama seperti KFC, Pizza Hut dan Ayamas.

MouUmkQsr2

KONVOI JELAJAH KAMPUS DISAMBUT MERIAH 700 WARGA UMK KAMPUS KOTA

Isnin, 25 September 2017 11:50

JelajahUMK1

KONVOI Program Jelajah Kampus Universiti Malaysia kelantan (UMK)  disambut meriah dengan sorakan semangat  700 warga UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, tepat jam 4.10 petang, pada 25 September 2017.

JelajahUMK7Konvoi  yang diketuai oleh diketuai Pengarah Pusat Ko-Kurikulum, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mohd Nazri Muhaiyidin membabitkan 200 peserta Fun Walk, 30 buah pasukan Konvoi Bermotor dan 30 peserta Pasukan Berbasikal  itu disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, En. Zulkifli Mohd Zan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi PakChu.

JelajahUMK6Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, program Jelajah Kampus UMK ini adalah simbolik warga UMK dan masyarakat di atas pemasyhuran Tuanku Canselor UMK, Yang Maha Mulia (YMM) Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang diadakan pada hari ini.

Beliau berkata, program ini merupakan salah satu pendekatan UMK bersama masyarakat disamping menanamkan semangat kecintaan kepada Negara dengan membawa mesej sehati sejiwa.

“Program ini akan memberi hebahan mengenai Istiadat Konvokesyen UMK yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 Oktober 2017,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK, Puan Alifah Adnan berkata, program ini diadakan bertujuan untuk mempromosi dan menghebahkan berkaitan Pesta Konvokesyen dan Kerjaya (PESKOJAYA) sempena dengan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7.

JelajahUMK2Katanya, program ini juga mengambil kira sambutan 10 tahun UMK pada tahun 2017.

“Program Jelajah UMK ini telah bermula seawal pagi dari UMK Kampus Jeli membabitkan konvoi 30 buah motosikal manakala seramai 40 buah pasukan berbasikal memulakan kayuhan sejauh 30 kilometer daripada UMK Kampus Bachok ke UMK Kampus Kota.

“Selain itu, seramai 200 peserta berjalan kaki bermula di Sekolah Maahad Sains Tok Guru,” katanya.

Tambah Puan Alifah, PESKOJAYA 2017 akan menyediakan pelbagai aktiviti dan program menarik membabitkan aspek hiburan, ilmiah, kerohanian, keusahawaanan, sukan dan kesihatan

“Selain itu, seperti lazimnya program ini diselaraskan oleh Sekretariat PeskoJaya Pelajar 2017 dengan kekuatan 50 orang yang telah memulakan operasi sejak Julai lepas,” jelasnya.

jelajahumk

Apa kata pelajar kami?

E-Community



 

Hubungi

Universiti Malaysia Kelantan
Karung Berkunci 36,
Pengkalan Chepa, 16100,
Kota Bharu, Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search