KEJOHANAN DAM HAJI ANTARABANGSA 2018 CATAT MALAYSIA BOOK OF RECORD PENYERTAAN TERAMAI DENGAN 2, 626 PESERTA

Khamis, 05 April 2018 16:23

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli             Foto : Al Azam Razi

DamAji4

KOTA BHARU 5 APRIL 2018 I Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini mengiktiraf Kejohanan Dam Aji Antarabangsa 2018 anjuran Yayasan Generasi Malaysia dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rekod Penyertaan Terbesar dengan penyertaan lebih 2,626 peserta.

DamAji1Timbalan Pengurus MBOR, En. Mohammad Alex Edward yang mengumumkan rekod itu tepat jam 12.10 tengahari di Dewan Institut Pendidikan Guru Kota Bharu, Pengkalan Chepa, pada 5 April 2018.

Sijil pengiktirafan MBOR itu diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dato’ Zaluzi Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YGM, Dr. Roslan Basaruddin dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UMK, Prof. Madya Dr Mohad Anizu.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, kejohanan hari ini mencatat satu sejarah baharu dimana kejohanan Dam Haji peringkat antarabangsa menerima penyertaan teramai dengan 2,626 peserta pada kejohanan julung kali diadakan ini.

DamAji3Beliau berkata, ini merupakan satu rekod baharu telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai satu kejohanan dam aji peserta paling ramai dan berlangsung Parlimen Pengkalan Chepa.

“Peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

“Kejohanan ini menawarkan hadiah utama sebanyak RM3,000 bagi setiap kategori selain cabutan bertuah berupa motosikal,” katanya.

Tambah Prof. Dr. Zaliman, kejohanan seumpama ini akan terus diperkasakan dimana dam aji ini merupakan satu permainan tradisional yang menguji kebijaksanaan akal dan memupuk minat kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah.

“Kejohahanan ini bukan sahaja menerima penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah dan persatuan-persatuan dan kelab tetapi peserta daripada luar negara seperti Jepun,London,Thailand,Indonesia dan lain-lain negara,” katanya.

DamAjiSementara itu, Dato’ Zaluzi berkata, kejohanan ini merupakan kejayaan yang cemerlang kepada rakyat di kawasan Pengkalan Chepa dan rekod ini boleh menjadi contoh kepada kejayaan yang lebih cemerlang lagi selepas ini.

“Saya berharap pelbagai kejayaan cemerlang lagi boleh ditempa untuk masa akan datang dan harap juga kejohanan seumpama ini akan terus diperkasakan memandangkan dam aji ini adalah permainan yang amat bagus untuk menguji minda dan matematik.

“Permainan dam aji adalah permainan tradisional bukan sahaja popular di Kelantan, tapi semua tempat,” katanya.

DamAji2Tambah beliau, pembabitan dari sekolah yang memberangsangkan ini amat penting kerana ia memberi pendedahan kepada pelajar sekolah untuk berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah,” katanya.

Prof. Dr. Anizu berkata, kejohanan ini juga mendapat sokongan dan kerjasama yang erat dari pelbagai jabatan kerajaan termasuklah Pejabat Perdana Menteri, agensi kerajaan dan NGO di seluruh negara.

Katanya, kejohanan ini berjaya memperkenalkan budaya Malaysia kepada negara luar kerana dam aji adalah satu permainan seperti catur namun ia agak istimewa kerana dam aji ini dimainkan sejak dulu lain sejak nenek moyang lagi.

DamAji5

BANGUNAN PUSAT MAHASISWA DI BAWAH SATU BUMBUNG BERI MANFAAT KEPADA PELAJAR

Rabu, 04 April 2018 16:50

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli          Foto : Al Azam Razi & Ab Halim Hafiz Ab Aziz

BangunanSiswa1

BangunanSiswa2

BANGUNAN Pusat Mahasiswa yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Idris Jusoh memainkan peranan penting sebagai pusat sehenti atau one stop centre yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Pusat Kesihatan Universiti di bawah satu bumbung.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kolonel Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata, Pusat Mahasiswa yang memulakan pembinaan bangunan pada 21 Mei 2015 dan mula diduduki secara keseluruhan pada Jun 2017.

Beliau berkata, bangunan berkonsepkan tradisional Kelantan itu menempatkan Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Bahagian Tatatertib dan Kebajikan Pelajar, Bahagian Kaunseling, Kerjaya dan Alumni, Bahagian Kebudayaan dan Pusat Kesihatan Universiti.

BangunanSiswa3

“Kemudahan di bawah satu bumbung itu adalah salah satu usaha dan inisiatif pihak UMK bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada mahasiswa di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan.

“Mahasiswa boleh membuat pelbagai urusan dengan Pejabat Hal Ehwal dan Alumni dalam satu bangunan yang memberi kemudahan secara teratur dan menjimatkan masa tanpa perlu pergi berulang-alik ke bangunan-bangunan lain,” katanya selepas Majlis Perasmian Bangunan Pusat Mahasiswa di UMK Bachok, pada 1 April 2018.

BangunanSiswa4

Turut hadir, Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar.

Menurut Prof. Dr. Zaliman, bangunan dua tingkat yang terletak di lokasi yang paling strategik berhampiran dengan pelbagai kemudahan lain seperti kafeteria, kolej kediaman, Masjid Universiti, Pusat Islam dan Kompleks Sukan Universiti.

Katanya, pihak HEPA juga turut menyediakan ruang khas untuk Majlis Perwakilan Pelajar UMK (MPPUMK) yang dilengkapi dengan bilik mesyuarat dan bilik aktiviti untuk kemudahan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan universiti.

BangunanSiswa7

UMK BERPERANAN UBAH SOSIO EKONOMI KELANTAN

Rabu, 04 April 2018 16:09

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat UMK & Nor Suzila Ramli                Foto : Al Azam Razi

TokpaMPP1

TokpaMPP2

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata kewujudan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam tempoh yang singkat telah mencipta banyak sejarah dan kejayaan melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang hebat setanding dengan universiti-universiti lain.

Beliau berkata, walaupun usia UMK masih setahun jagung tetapi universiti ini telah mampu melahirkan pelajar-pelajar yang boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat, politik,ekonomi dan pentadbiran yang dapat membantu dalam pembangunan negara.

Katanya, kebanyakkan graduan-graduan UMK turut mendapat permintaan tinggi daripada pihak-pihak majikan dan industri.

“Saya berharap UMK menjadi satu institusi pembinaan tamadun ilmu dan pendorong kepada kemajuan anak-anak Kelantan yang dapat mencipta kemajuan ekonomi yang baharu dan berada di barisan hadapan atau pentas utama di dalam Malaysia mahupun di luar negara.

“UMK juga boleh menjadi pemimpin dalam pentadbiran dan keilmuan dimana profesornya yang hebat dan sentiasa tampil kehadapan di pentas forum atau persidangan di dalam negara atau peringkat antarabangsa,” katanya pada pertemuan dengan 300 mahasiswa UMK sempena Majlis Ramah Mesra Pelajar UMK Bersama Menteri Mentor UMK anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UMK (MPP), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 29 Mac 2018.

TokpaMPP

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Presiden HIMSAK, Dato’ Faizal Daud.

Menurut Dato’ Seri Mustapa yang juga Menteri Mentor UMK adalah antara pemimpin Kelantan yang terlibat secara tidak langsung dalam pembangunan UMK di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa yang kini dikenali sebagai UMK Kampus Kota.

Taman Bendahara suatu ketika dulu mendapat jolokan ‘kawasan bankrap’ namun situasi itu kini berbeza apabila kawasan ini menjadi pusat komersial utama di Pengkalan Chepa.

TokpaMPP3Katanya, kedudukannya yang strategik terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang dihubungkan melalui utama ke bandar Kota Bharu pada hari ini berubah 100 peratus dengan kewujudan UMK di Taman Bendahara yang dikenali UMK Kampus Kota.

“Dengan adanya universiti ini, wujudlah pelbagai kemudahan seperti restoran dan kopitiam yang penuh dengan pelajar UMK yang menjadikan Taman Bendahara sebagai salah satu revolusi yang menjadi pemangkin masa depan negara dalam sudut keilmuan,ekonomi dan budaya,” katanya.

Dato’ Seri Mustapa menyifatkan dengan ciri-ciri itu sesebuah universiti menjadi sebuah institusi pengajian yang tersohor yang memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat setempat.

Katanya, itulah antara matlamat beliau untuk mewujudkan sebuah revolusi di Taman Bendara dan bukan hanya memberi impak yang besar kepada masyarakat Kelantan tetapi melahirkan pelajar yang holistik dan pensyarahnya yang berwawasan tinggi.

“Pelajar-pelajar juga banyak menyumbang kepada kegiatan dan aktviti yang memberi impak yang besar kepada kerajaan dan ini secara tidak langsung pelajar terbabit akan mendapat peluang dan sumbangan dari pihak lain,” katanya.

Apa kata pelajar kami?

Kemaskini Terakhir: 17 April 2018

E-Community



 

Hubungi

Universiti Malaysia Kelantan
Beg Berkunci No 01,
16300 Bachok,
Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search