PERSARAAN PROFESOR DATO’ DR MORTAZA MOHAMED SETELAH 38 TAHUN SEBAGAI PENJAWAT AWAM

Ahad, 31 Disember 2017 08:14

persaraan nc mortaza

KOTA BHARU 31 Disember 2017 – Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dato’ Dr. Mortaza Mohamed secara rasmi bersara pada 25 Disember 2017 setelah mencurahkan bakti selama 38 tahun atau 344 bulan dalam bidang pendidikan tinggi.

Dato Dr. Mortaza Mohamed yang bersara wajib merupakan Naib Canselor ketiga UMK (bermula 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2017) akan digantikan dengan Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar (mulai 01 Januari 2018) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Prof. Dato’ Dr. Mortaza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti of Southampton United Kingdom, Ijazah Sarjana di University of Sheffied UK dalam bidang sama dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Computer Control).

Sedikit pengalaman Profesor Dato Dr. Mortaza, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di UMK pada 1 Jun 2007 sehingga 2012. Beliau juga peneraju utama di UMP sebagai Pengarah Kampus UTM Cawangan Pahang (pada 1998 sehingga 2001).

Beliau juga mempamerkan kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Profesor Pelawat di The City University London (1989 dan 1990) dan UMIST Manchester pada 1992 sehinggan 1994.

Selain itu, diatas sumbangan dan khidmat bakti yang cemerlang dalam arena pendidikan negara beliau telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato pada 24 Oktober 2006 oleh Sultan Pahang.

Kemudian pada 11 November 2015 sekali lagi beliau dianugerahkan Dato’ Paduka Mahkota Kelantan (DPMK) oleh Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Ketokohan beliau dalam bidang akademik dan berpengalaman luas dalam tadbir urus apabila berjaya mengenengahkan pelbagai program pembangunan akademik dan sahsiah pelajar dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang menggerakkan program minda keusahawanan pelajar iaitu berjaya menubuhan program keusahawanan sosial, Usahawan Niaga, Usahawan Program e-Biz di 11 Street dengan kerjasama Celcom.

Pada ucapan persaraan beliau telah menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan staf universiti dan warga UMK diatas perjuangan dan pengorbanan serta sumbangan kepada pembangunan, perkembangan dan kemajuan dalam menggerakkan UMK.

Beliau berkata, pihak universiti telah meletakkan pada landasan yang selesa untuk bergerak pada masa hadapan dan semua pentadbir di bawah Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu yang berjaya mengemudi pentadbir ke arah peningkatan sistem tadbir urus yang cekap dan baik setiap tahun.

Pihak Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Prof Dr Mortaza Mohamed, mantan Naib Canselor UMK atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UMK mulai 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2017.

 

Sebarang pertanyaan, sila hubungi alamat dan talian seperti berikut:

 

EN MOHAMAD NAIM IDRIS
Pusat Hal Ehwal Koprorat
UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

No. Tel : 09 – 771 7000
No. Faks : 09 – 771 7022        
E-mel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

TIGA ALUMNI SME@UMK 2016 DIPILIH IKUTI KURSUS LANJUTAN SME@UNIVERSITI DI JEPUN

Isnin, 18 Disember 2017 15:40

sme graduasi2017

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

PENGARAH Urusan Gahara Galore Sdn Bhd, En. Nik Mohd Faiz Nik Mohamed Amin dan dua graduan alumni SME@UMK 2016 iaitu Puan Zarini Riana Zainal (Pemilik K’rai Design Sdn Bhd) serta Mohd Nizam Mohamed (Moinizone Resources Sdn Bhd) dipilih untuk mengikuti Kursus Lanjutan SME@Universiti di Jepun pada Januari 2018.

Kursus Lanjutan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau SME@Universiti di Jepun ini mula diperkenalkan sejak 2013 dengan kerjasama Pusat Sokongan PKS Jepun dan Institut Latihan PKS Tokyo, sebagai inisiatif SME Corp Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk memastikan kesinambungan program lanjutan ke peringkat seterusnya kepada para graduan SME@University di seluruh Malaysia.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Keusahawanan SME Corp, En. Zaky Moh, program lanjutan yang dikenali sebagai Advanced Course For SME @ University in Japan dilaksanakan dengan kerjasama daripada SME Support, Japan dan Tokyo SME Trainning Institute, diadakan selama enam hari di Jepun.

Katanya, kursus jangka pendek ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk membina pengalaman dan pengetahuan dari Japanese SME Support Agencies dan juga PKS Jepun.

“Program ini dijalankan secara intensif di mana para peserta menghadiri kelas modul lanjutan dan lawatan ke syarikat PKS Jepun dan platform bagi menjalinkan rangkaian perniagaan dan juga perkongsian pengalaman antara PKS Jepun dan Malaysia.

“Sejak diperkenalkan seramai 31 peserta telah dipilih mengikuti program ini dan mereka merupakan alumni SME@University dari setiap universiti yang terlibat,” katanya pada Majlis Graduasi SME@UMK 2017 anjuran Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) dengan kerjasama SME Corp Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Disember 2017.

Seramai 23 graduan SME@UMK 2017 menerima sijil pada Majlis Graduasi SME@UMK 2017 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman.

Turut hadir, Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff, Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob dan Pengarah UMK Entrepreneurship Institute (UMKEi), Prof. Dr. Razli Che Razak.

Dalam pada itu, En. Zaky Moh, berkata program SME@UMK University mula dilaksanakan bersama dengan lima buah universiti sahaja pada tahun 2011 dan berkembang kepada 10 buah universiti terkemuka (sembilan Universiti Awam dan satu IPTS) di Malaysia.

Beliau berkata, program ini telah memberi manfaat kepada 846 CEOs syarikat PKS dengan penyertaan CEO daripada syarikat PKS daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan juga pengalaman perniagaan.

“Saya amat berharap agar para peserta telah mendapat manfaat daripada kesemua modul yang telah dikongsi sepajang program ini dijalankan termasuklah modul khusus yang diperkenalkan oleh UMK iaitu Business Succession Planning.

“Program ini pastinya telah membantu para usahawan kita memperkembangkan pemahaman perniagaan terutamanya dari sudut pemasaran kreatif , strategi pertumbuhan perniagaan, rangkain perniagaan yang inovatif serta apa yang diperlukan untuk menjadi CEO bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Hassan, berkata program SME@UMK dilaksanakan bagi menangkis persepsi negatif PKS terhadap program latihan kerana banyak kajian yang dilakukan menunjukkan usahawan terutamanya PKS tidak berminat menghadiri latihan kerana ia tidak memberi kesan kepada operasi perniagaan.

Katanya, impak program ini dalam meningkatkan kualiti pengurusan PKS mungkin tidak dapat dilihat oleh graduan yang ada disini dalam jangkamasa yang singkat atau segara.

“Program SME@Universiti telah memberi manfaat kepada para peserta dan kesannya kepada para peserta boleh dilihat dalam jangka masa empat hingga lima tahun.

“Kesannya jelas melalui kajian yang dilakukan menunjukkan PKS yang kerap menerima latihan dan khidmat nasihat memiliki prestasi dan pertumbuhan yang jauh lebih baik berbanding PKS lain yang tidak menyertai SME@Universiti,” katanya.

EMPAT RAJA SEHARI DIRAI PADA MAJLIS PERSANDINGAN PENUH ADAT ISTIADAT MELAYU

Jumaat, 15 Disember 2017 15:33

raja sehari

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat

Foto : Al Azam Razi

KEMERIAHAN Majlis Persandingan Warisan Cik Siti Wan Kembang dan Bekwoh sempena Program Merakyatkan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Kelantan 2017, menjadi kenangan yang terukir indah buat empat pasangan Raja Sehari termasuk satu pasangan pengantin mualaf yang diraikan secara serentak pada majlis yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, Kelantan, pada 15 Disember 2017.

Program anjuran Pusat Tranformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (Inspek) itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Ketua UMNO Bahagian Bachok, TYT Dato’ Dr. Hj. Awang Adek Hussin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu Mohd Nor, wakil Setiausaha Bahagian Unit National Blue Ocean Strategy (NBOS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Siti Normazlina Azam dan Pendaftar UMK, Mejar Pauzi Pak Chu

Selain pengantin, hampir 500 hadirin terdiri daripada anggota keluarga dan rakan pasangan pengantin turut diraikan pada majlis yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu.

Majlis resepsi bermula jam 3.00 petang dimulakan dengan perarakan masuk keempat-empat pengantin diiringi dengan muzik tradisional Kelantan iaitu paluan kompang, rebana ubi, kertuk serta alunan muzik silat serta Raja Berangkat.

Persembahan diteruskan pelbagai aturcara yang sarat dengan adat tradisi masyarakat Melayu seperti persembahan silat, tarian asyik, majlis menepung tawar pasangan pengantin dan kemuncaknya ialah persembahan Tarian Mengadap Rebab iaitu salah ritual pembukaan seni tari Makyong.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, penganjuran program Merakyatkan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Kelantan meliputi semua aspek seperti adat, makanan dan acara kemuncak program ini ialah majlis persandingan oleh pasangan pengantin daripada golongan asnaf yang tidak mampu untuk mengadakan majlis kenduri dan persandingan.

Katanya, turut diadakan majlis berkhatan melibatkan 26 kanak-kanak membabitkan Pusat Kesihatan UMK dengan kerjasama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) yang mendapat sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai..

“Program yang berlangsung selama empat hari ini bermula pada 13 - 16 Disember 2017 tidak membabitkan peruntukan yang banyak kerana kami mengambil pendekatan NBOS ini bagi mendokumentasikan legasi kesenian, kebudayaan dan warisan Negeri Kelantan.

“Sehubungan itu, kerjasama erat antara pihak Universiti Awam (UA) iaitu UMK bersama pemimpin masyarakat serta jabatan/agensi-agensi dibawah kerajaan amatlah penting demi memastikan segala program kebajikan yang dilaksanakan dapat dinikmati serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohd Anizu berkata, program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada kepada masyarakat luar mengenai tradisi pemakaian, makanan serta permainan tradisional yang menarik.

Beliau berkata, program ini berlangsung selama empat di sekitar Kampus Bachok dan kemuncak aturcara program ini adalah untuk meraikan pasangan pengantin yang terdiri daripada golongan asnaf yang tidak mampu untuk mengadakan kenduri kesyukuran.

"Aktiviti ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada pasangan kerana menjimatkan masa dan kos perbelanjaan perkahwinan kerana dilaksanakan serentak kerana pasangan pengantin ini adalah daripada golongan asnaf,” katanya

“Pelbagai aturcara menarik diadakan antaranya ialah pertandingan serunai/ flute, persembahan nyanyian lagu rakyat Kelantan (arwah Megat Nordin), Wayang Pacak Wayang kulit Rewang/ gotong royong memasak, perkhidmatan klinik gigi bergerak, aktiviti jualan, majlis khatam quran/ (pengantin), permainan rakyat, permainan gasing, sepaktakraw, persembahan kebudayaan, dikir barat dan gotong royong menumbuk dan membuat inai,” katanya.

Apa kata pelajar kami?

E-Community



 

Hubungi

Universiti Malaysia Kelantan
Karung Berkunci 36,
Pengkalan Chepa, 16100,
Kota Bharu, Kelantan

Tel: +609-771 7000

UMK Helpdesk
Enquiry/Suggestion

 

Search