A- A A+
logoumkmerdeka2017

PENYELIDIKAN TERPERINCI PEMBANGUNAN LEMBANGAN SUNGAI PENGKALAN DATU DISERAHKAN KEPADA KERAJAAN PUSAT

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat              Foto : Al Azam Razi

PENASIHAT Sosio-Budaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, berhasrat untuk membawa hasil kajian dan penyelidikan oleh Kluster Warisan dan Peradaban UMK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  berkaitan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD) kepada Kerajaan Pusat memandangkan kawasan itu kaya dengan khazanah warisan dan nilai sejarah.

Beliau berkata, keunikan dan kewujudan sejarah yang tersendiri di LSPD termasuk warisan alam semulajadi yang menarik mampu menjana pendapatan sampingan kepada penduduk di kawasan itu terutamanya dalam sektor pelancongan.

Justeru itu, beliau mencadangkan UMK mewujudkan sebuah jawatankuasa kecil bersama bagi membuat penyelidikan terperinci bagi melihat LSPD yang terletak di Mukim Sering sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

“Dengan adanya jawatankuasa seumpama itu akan memudahkan perancangan dan keutamaan yang perlu diberikan untuk membangunkan projek tersebut khususnya dari aspek mewujudkan pemerhatian terhadap pembudayaan warisan dan sektor pelancongan yang terdapat di kawasan ini.

"Saya percaya keunikan dan sejarah pembangunan Sungai Pengkalan Datu di negeri ini merupakan sumber pelancongan yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku Jejak Warisan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu, di Restoran Cerana, Kota Bharu, Kelantan, 22 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’. Dr. Mortaza Mohamed, Prof Adjung FTKW, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Dekan FTKW,  Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FTKW, Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Pengerusi Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), En. Mohd Asri Husin.

BukuCeritaKelantan4

Sebelum itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim  menghadiri Program Pidato Warisan dan Peradaban Melayu yang telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Wira Abdul Latif yang bertajuk Perjuangan dan Cabaran Memartabatkan Warisan dan Peradaban Melayu.

Beliau turut merasmikan majlis pelancaran dua buah buku bertajuk Cerita Rakyat Kelantan dan Perjuangan Tok Janggut Menentang Inggeris di UMK Kampus Bachok.

Penerbitan buku Warisan Cerita Rakyat Kelantan memuatkan sebahagian kisah yang dikumpulkan oleh 230 pelajar Kursus Tradisi Lisan FTKW 2016 bawah penyeliaan Tan Sri Dato’ Wira Abdul Latiff manakala buku Perjuang Tok Janggut Menentang Inggeris pula mengisahkan perjuangan tokoh itu menentang Inggeris hasil hasil pembentangan sarjana dalam seminar perjuangan Tok Janggut pada September 2016 sempena memperingati 100 tahun perjuangan Tok Janggut di Kelantan (1915-2015).

Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais, berkata, projek LSPD perlu dilihat sebagai sumber sejarah dan bagaimana harus dijadikan sebagai inspirasi kepada perancangan pelancongan dan warisan negara.

Beliau percaya bahawa Resolusi Kongres yang diadakan baru-baru ini dapat diterjemahkan di negeri Kelantan dan UMK sebagai peneraju program Hal Ehwal Warisan dilihat sebagai penyumbang nilai serta penyokong kepada usaha ini.

“Setiap pembangunan dan warisan yang ada akan membawa pelbagai kepentingan kepada seluruh masyarakat kerana kedua-duanya mempunyai manfaat dan penambahbaikan untuk masyarakat.

“Ini memandangkan terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal, di samping pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber ekonomi negara. Oleh itu,  sudah tiba masanya Kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap pembangunan sungai berkenaan dan melihat warisan itu lebih dekat memandangkan ia menghasilkan satu perkembangan yang produktif,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais berkata kedudukan bahasa Melayu perlu ditegakkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan dan yakin bahawa Bahasa Melayu mampu cemerlang seperti bahasa antarabangsa lain.

"Kita perlu memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan bahasa lain malah kita mahu Bahasa Melayu sama penting dengan Bahasa Inggeris.

“Bahasa adalah identiti sesuatu bangsa yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah peradaban. Kita tidak mahu warisan bangsa ini dibunuh oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Khamis, 01 Jun 2017 10:24 Read 760 times

HOT TOPIC