A- A A+
logoumkmerdeka2017

AHLI MAJLIS AGE COUNCIL UMK SERAH SUMBANGAN ZAKAT KEPADA 100 PELAJAR ASNAF DAN 52 ASNAF KARIAH MASJID MUKIM KAMIL HASSAN

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat               Foto : Al Azam Razi

PRESIDEN  Kumpulan SEGI University & College selaku ahli Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE Council) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Mohamed Azahari Mohamed Kamil, menyerahkan sumbangan zakat peribadi kepada 100 pelajar asnaf UMK dan 52 asnaf kariah Masjid Mukim Kamil Hassan.

Beliau ketika ditemui memberitahu pengagihan sumbangan zakat peribadinya itu sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu khususnya kepada Masjid Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama melibatkan penuntut universiti iaitu daripada UMK.

Katanya, sumbangan dan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar bagi tujuan pembelajaran dan persediaan menyambut kehadiran bulan Ramadan al Mubarak tidak lama lagi.

“Masyarakat atau sesiapa sahaja yang berkemampuan sewajarnya mengeluarkan zakat kepada pelajar yang memerlukan dan golongan yang kurang berkemampuan agar dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya selepas majlis penyampaian zakat kepada mahasiswa UMK dan asnaf kariah Mukim Kamil Hassan, Kampung Cabang Tiga Pendek , Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Mei 2017.

Turut hadir,  Dekan Fakulti Seni Bina dan Ekistik, Prof. Madya Ab Aziz Bin Shuaib serta Pengarah Pusat Islam UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Bin Mubarak.

Menurut Dato’ Mohamed Azahari,  mengambil peluang untuk menjemput mahasiswa/i asnaf untuk bersama-sama mengimarahkan Masjid Kamil Hassan dengan meraikan pemberian zakat bagi membantu mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, setiap tahun pemberian zakat dilakukan di Mukim Kamil Hassan dan ini adalah kali pertama yang melibatkan ketiga-tiga kampus dengan kerjasama UMK.

“Selain itu, melalui sumbangan itu pihak Masjid Kamil Hassan dapat menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan seperti ceramah dan majlis berbuka puasa bersama-sama pelajar UMK dan ahli kariah.

“Ini adalah tanggungjawab sosial kami sekeluarga bagi membantu golongan yang memerlukan dan melalui program ini dapat memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja untuk sentiasa saling membantu antara satu sama lain, jelasnya.

Sementara itu, Dato’ Mohamed Azahari berkata, pihaknya kini sedang berusaha keras untuk membangunkan sebuah pusat tahfiz di masjid tersebut.

“Pusat tahfiz yang didirikan di hadapan masjid ini sudah hampir 30 peratus siap dan masih memerlukan suntikan dana.

“Kos anggaran bagi penubuhannya mencecah RM500,000 dan setakat ini, kami berjaya mengutip RM150,000 daripada orang ramai," katanya.

Tambahnya, beliau akan berusaha mencari lagi dana daripada golongan berkemampuan serta syarikat korporat untuk mendapatkan jumlah yang cukup bagi menyiapkan pusat tahfiz tersebut.

Published in Latest News
Last modified on Khamis, 01 Jun 2017 10:52 Read 742 times

HOT TOPIC