A- A A+
logoumk10tahun

KAJIAN GEOSAINS UMK DI GUA MUSANG KENALPASTI LOKASI HIDUPAN ZAMAN JURASSIC

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat               Foto : Fakulti Sains Bumi

KUMPULAN penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mengenalpasti 30,000 hektar hutan membabitkan dua lokasi di Gua Musang termasuk Taman Negara untuk membuktikan kewujudan hidupan haiwan pra sejarah berikutan penemuan beberapa kesan fosil purba dipercayai berusia lebih 500 juta tahun.

Lokasi kesan populasi haiwan pra-sejarah yang ditemui  itu membabitkan Hutan Simpan Bukit Hantu seluas 23,400 hektar dan sekitar lokasi lain seperti Pancur Tikam, Pancur Peneram serta Panchur Chelah seluas 8,000 hektar.

Ketua Jabatan GeoSains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Encik Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, sebahagian kesan fosil itu tersebut didapati dalam kawasan perlindungan contohnya di Taman Negara dan hutan simpan berhampiran yang dikaitkan dengan hidupan zaman Jurassic.

Beliau berkata, hasil penemuan itu adalah susulan  daripada tinjauan dan kajian geosains program Geo Mapping International 2016 yang diadakan selama 12 hari di kawasan hutan Gua Musang, pada 28 Mac hingga 8 April 2017.

“Pada program kajian itu, para penyelidik turut berjaya mengenal pasti dengan lebih tepat bahawa struktur batuan di kawasan penemuan objek berusia 400 sehingga 500 juta tahun itu mempunyai bentuk muka bumi sama di kawasan penemuan fosil dinosaur di Wilayah Khon Khen, Thailand beberapa bulan lalu.

Katanya, selama beberapa hari menjalankan kajian kumpulan kami berjaya menemui fosil yang baharu iaitu  fossil moluska dari spesies Posidonia Kedahensis pada batuan batu lumpur karbonat daripada formasi Rabong di Kampung Pulai dalam skala tempoh usianya sekitar 241 sehingga 237 juta tahun yang lampau.

“Selain itu, pihak kami juga menemui fosil pada batu Kapur formasi Gua Musang yang merupakan fosil Ekinodermata dari spesies Crinoid yang hidup kira-kira 250 juta tahun yang lampau.

“Menerusi penemuan ini para peserta juga menjelajah kawasan lain yang berpotensi  kemungkinan untuk menjumpai sebahagian fosil yang membuktikan bahawa Kelantan turut menjadi tempat hidupan prasejarah,” katanya.

Program Geo Mapping International 2017 membabitkan penyertaan seramai  80 pelajar yang dibahagikan kepada 12 kumpulan untuk menjalankan kajian di kawasan lapangan seperti Kampung Renok, Subong, Bandar lama Gua Musang, Kundur, Lepan Jaya, Mentara Jaya, Pulai, Batu Puteh dan sebagainya.

Katanya, peserta adalah terdiri daripada  kalangan pelajar yang mengambil jurusan Geosains Tahun Dua dan pelajar jurusan geologi daripada universiti tempatan dan luar negara di sekitar Asia Tenggara iaitu daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Padjajaran (UNPAD) Indonesia dan Universiti Teknologi Bandung (ITB) Indonesia.

“Objektif penganjuran aktiviti ini adalah untuk pertukaran ilmu pengetahuan  atau kefahaman akademik yang berjaya  diwujudkan antara mahasiswa-mahasiswi UMK dengan universiti luar kerana setiap peserta akan diberi tugasan yang berkaitan subjek asas pemetaan untuk dipelajari.

“Selain itu, sepanjang  kajian tentang batuan dijalankan para peserta turut menemui  mineral dan fosil yang baru termasuklah penemuan penting seperti deposit mineral logam besi dan manganese, indikasi deposit emas, morfologi dolina, gua-gua batu kapur, tanda-tanda lubang tinggalan purba dan fosil,” jelas beliau.

Tambah En. Arham Muctar, pada hari terakhir, para peserta turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan erat antara pelajar dengan penduduk sekitar Gua Musang.

Antara aktiviti yang diadakan seperti sukaneka, pertandingan mewarna, senamrobik dan aktiviti gotong-royong bersama-sama penduduk Kampung Batu Papan,” katanya.

Program International Geomapping Gua Musang (IGGM) merupakan program tahunan di bawah kelolaan Jabatan Geosains sebagai salah satu kerja lapangan untuk subjek Asas Pemetaan Geologi.  

Menurut En. Arham Muctar, program ini adalah untuk pelajar yang mengambil jurusan Geosains untuk memenuhi keperluan enam puluh hari kerja lapangan dan justeru program ini pad masa sama  untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa/wi terhadap pemetaan geologi serta mengaplikasikan di dalam kerja lapangan ini.

Program ini juga bertujuan mengkaji morfologi kawasan Gua Musang dan mengemaskini peta geologi kawasan Gua Musang memlalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.

Published in Latest News
Last modified on Khamis, 01 Jun 2017 11:19 Read 568 times

HOT TOPIC