A- A A+
logoumkraya

PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN INDUSTRI PROJEK MEGA ERCL BERI MANFAAT KEPADA 3,600 PELAJAR

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                                Foto : Al Azam Razi

SERAMAI 3,600 anak tempatan bakal menjalani program latihan industri yang memfokuskan kepada keperluan kerja dalam pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ERCL) terutamanya dalam bidang pembinaan rel dan kereta api.

Program latihan industri Negaraku ini dibiayai sepenuhnya sebagai inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) oleh China Communications  Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama projek ECRL dan Malaysia Rail Link Sendirian Berhad (MRL), anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan selaku pemilik projek.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, program latihan ini memberi isyarat yang jelas bahawa projek ini mendatangkan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia di samping mengeratkan hubungan bilateral Malaysia dan China menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara MRL, CCCC dan Institusi Pengajian Awam (IPTA) di negara ini.

Beliau berkata, seramai 3,600 pelajar bakal menjalani latihan industri bersama projek ECRL tersebut seterusnya boleh diserapkan terus dalam projek ECRL kelak.

“Dengan kita menyediakan peluang latihan ini, maka salah satu komponen penting ialah peluang pekerjaan menjadi realiti. Apabila anak-anak kita ini yang kita latih dalam latihan, kita boleh serap masuk ke lapangan terus,” katanya ketika merasmikan Latihan Industri Projek ECRL Negaraku di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada 14 Jun 2017.

Dato’ Seri Mohd Najib  turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian sebanyak 13 memorandum MoU membabitkan kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif  MRL Sdn Bhd, Darwis Abdul Razak dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, Duta Besar China ke Malaysia Huang Hui Kang dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

MoU itu adalah untuk merealisasikan kerjasama industri dan pihak akademik untuk program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang akan mencetus perubahan serta membuka minda para penduduk di Pantai Timur tentang ketibaan era moden di kawasan mereka.

Kerjasama  itu termasuklah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM),Universiti Teknologi Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Kuala Lumpur (UNIKL), GIATMARA & IKBN dan juga CIDB sebagai rakan usaha sama dan rakan-rakan strategik program Latihan Kemahiran Industri ECRL.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, projek raksasa ini sebagai game changer (pencetus perubahan) yang akan membuka minda masyarakat di Pantai Timur khususnya masyarakat di Kelantan bahawa era moden telah tiba bagi rantau ini.

Katanya, masyarakat tidak dapat membayangkan bagaimana manfaat yang boleh dibawa pada projek ECRL ini dan sebagai contoh kita didepankan dengan teknologi  moden dan canggih ini yang boleh membawa manusia, barangan, dan kemudahan daripada Bachok ke  Kuala Lumpur dalam masa yang singkat.

“Dalam pembinaan projek ERCL ini, UMK akan lebih lihat kepada perkara-perkara logistik dalam pembinaan projek  ini terutamanya impak kepada masyarakat dan kesan terhadap pemikiran serta cara masyarakat akan melihat dunia.

“Ini juga akan mewujudkan kemudahan dan perkhidmatan baharu serta peluang-peluang pekerjaan terutamanya untuk masyarakat kita yang menjadi impian dan kemahuan kita selama ini. Ini secara tidak langsung akan merubah cara kita kita bekerja dan berfikir,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Ahad, 18 Jun 2017 16:08 Read 483 times

HOT TOPIC