A- A A+
logoumk10tahun

ISME RAI 30 ANAK-ANAK YATIM TUNAS HARAPAN PAKAT KASIH DAN PUSAT JAGAAN MUMTAHANAH

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                          Foto : Al- Azam Razi

PRIHATIN dengan nasib golongan kurang bernasib baik, Institut  Perusahaan Kecil Dan Sederhana (ISME), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Alumni SME@University menganjurkan Majlis Ifftar Ramadhan Bersama-Sama Anak Yatim Tunas Harapan Pakatan Kasih dan Pusat Jagaan Mumtahanah dalam usaha menceriakan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah ISME. Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim berkata, seramai 30 anak-anak yatim telah terpilih untuk menerima sumbangan berupa duit raya serta diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama-sama dengan pihak pengurusan ISME, persatuan Alumni SME@University dan para penyumbang.

Beliau berkata, menerusi program ini adalah bertujuan untuk memberikan sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada anak-anak penghuni rumah Tunas Harapan serta Pusat Jagaan Mumtahanah supaya mereka sentiasa diingati dan disayangi setiap masa.

“Saban tahun, pihak ISME berusaha menjadikan majlis berbuka puasa sebagai program amal bakti dengan kerjasama pelbagai pihak ini dalam usaha untuk membela nasib anak-anak yatim secara giliran dengan mengadakan aktiviti seperti ini.

“Persatuan Alumni SME@University sentiasa aktif melaksanakan pelbagai program kepada ahlinya.Daripada maklumat yang saya terima  bahawa persatuan alumni SME@University-UMK adalah salah satu daripada persatuan alumni yang paling aktif berbanding universiti lain,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan, di Hotel Crown Garden, Kota Bharu, Kelantan, pada .

Turut hadir, Timbalan Pengarah ISME, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff dan Timbalan Presiden Alumni SME@University, En. Mohd. Fazlan Ghazali.

Menurut Prof. Mohamed Dahlan, program ini adalah  aktiviti  tahunan yang dianjurkan dan merupakan tradisi yang diadakan bagi membantu mengurangkan penderitaan anak-anak yang tidak bernasib dan berharap sumbangan itu dapat menggembirakan mereka.

Sebelum ini, program ini telah diadakan di pusat jagaan warga emas di Rumah Sri Kenangan Taman Kemumin, Pengkalan Chepa dan Penghuni Rumah Anak Yatim Salimah (RAYS), Bachok, Kelantan.

Sementara itu, En. Mohd. Fazlan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak ISME yang menjayakan program ini dengan kerjasama persatuan Alumni SME@University yang sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi membantu setiap majlis dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti.

Katanya, sempena mengambil keberkatan Ramadan Al Kareem adalah sewajarnya kita berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Objektif majlis ini untuk menggalakkan kehadiran dan penyertaan ahli persatuan yang terdiri daripada usahawan-usahawan dengan cara memberikan sokongan menerusi sumbangan zakat kepada anak-anak yatim.

“Program ini tidak berhenti pada hari ini sahaja kerana aktiviti seperti ini adalah sebahagian daripada proses kepada masyarakat yang lebih prihatin dan saling sayang menyayangi,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Khamis, 22 Jun 2017 08:58 Read 445 times

HOT TOPIC