A- A A+
logoumkmerdeka2017

JAWATANKUASA TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN DAN INOVASI) UNIVERSITI AWAM MALAYSIA TINJAU PROJEK PEMBANGUNAN LEMBANGAN SUNGAI PENGKALAN DATU DI MUKIM SERING

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                     Foto : Al Azam Razi

 

DELEGASI Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia telah mengadakan lawatan ke Lembangan Sungai Pengkalan Datu yang terletak di Mukim Sering, Kota Bharu, Kelantan, bagi mendapatkan maklum balas positif untuk dimajukan sebagai hab pelancongan baharu berasaskan warisan dan alam semulajadi.

Delegasi lawatan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar telah diberi taklimat ringkas mengenai pelbagai usaha penyelidikan dan kerja lapangan yang sedang dipergiatkan oleh UMK bagi memastikan pembangunan LSPD dilaksanakan seperti yang dirancang.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, pihak UMK dengan kerjasama Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) telah memulakan usaha penyelidikan untuk mengemukakan lebih banyak bukti-bukti yang berkaitan LSPD bertujuan untuk dokumentasikan tarikan, bahan-bahan sejarah dan warisan yang terdapat di kawasan tersebut.

Katanya, tugas utama ialah dengan menempatkan pelajar UMK khususnya pelajar daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan berkaitan tarikan-tarikan yang terdapat di kawasan ini.

“LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan memandangkan kawasan ini amat strategik dan merupakan kawasan bersejarah serta pernah menjadi penempatan terawal Kesultanan Melayu Kelantan.

“Selain itu, terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal di samping mewujudkan pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber sosio ekonomi penduduk setempat,” katanya selepas lawatan River Cruise Timbalan Naib Canselor  (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia, di Cerana Villa Resort, Sering, Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Julai 2017.

Turut hadir, Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Madzlan Aziz, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan  dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof.  Dr. Hadariah Bahron dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Mashitah Mohd Yusoff

Hadir sama, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Bin Azizan dan Pengerusi WASPADA, Tn. Hj. Mohd Asri Hj. Husin.

Tambah Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, lawatan itu juga untuk melihat sejauh mana potensi untuk pihak universiti mendapatkan maklum balas, khidmat nasihat serta rujukan untuk tujuan penambahbaikan bagi projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Lokasi ini mampu memainkan banyak peranan dalam meningkatkan sosiekonomi dan memperkenalkan budaya masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Tn Hj. Mohd Asri berkata, LSPD memiliki keunikan dan sejarah serta merupakan sumber yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai produk pelancongan di sekitar LSPD seperti produk sejarah, alam semulajadi, agro pelancongan dan kesenian serta kebudayaan.

“Pihak WASPADA dengan kerjasama UMK berusaha untuk merealisasikan perancangan projek tersebut kerana LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan kerana kawasannya strategik malah terdapat industri pembuatan kuih tradisional dan perusahaan madu kelulut.

“Kita amat berharap LSPD yang dikordinasikan oleh semua agensi untuk membangunkan LSPD sebagai produk pelancongan baharu khususnya di bandar Kota Bharu untuk membantu penduduk disini dalam aspek pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Rabu, 19 Julai 2017 17:03 Read 897 times

HOT TOPIC