A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK METERAI KERJASAMA DENGAN DISTINCT LEGACY SDN BHD UNTUK SINERGI KEUSAHAWANAN

distinctlegacy

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                                Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah tersendiri menjadi Universiti Awam (UA) pertama menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan Distinct Legacy Sdn. Bhd. (DLSB), sebuah syarikat makanan dan minuman terkemuka yang berteraskan gaya oriental ‘kopitiam’ bagi melaksanakan pelbagai program kerjasama melibatkan pelbagai bidang akademik dan keusahawanan.

Majlis memeterai MoA itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK,  Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar manakala Distinct Legacy Sd. Bhd., diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan DLSB, Dato’ Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang UMK, En. Nor Azli Ahamed, Ketua Unit Khas Perniagaan UMK, En. Rooshihan Merican Abdul Rahim Merican, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK, Dr. Mohd Nazri Zakaria dan Pengarah DLSB, En. Muhamad Zaki Muhamad Nor.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, dengan kerjasama ini membolehkan FKP memainkan peranan strategiknya dalam konteks menjayakan agenda keusahawanan universiti dalam konteks kerjasama dengan pihak industri.

distinctlegacy2Beliau berkata, syarikat DLSB selaku pemegang francais induk Killiney Kopitiam di Malaysia dan memiliki outlet di sembilan buah negara  akan memberi peluang kepada program penempatan pelajar untuk mengikuti program latihan industri (Internship Programme) selama satu semester untuk memberi pendedahan mengenai suasana sebenar alam pekerjaan.

“Selain itu, kerjasama ini turut melibatkan program 2u2i dan 3+1 untuk membimbing pelajar supaya lebih kompetitif, berdaya saing dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Kerjasama dua hala ini bukan sahaja melibatkan latihan kepada pelajar malah turut memberi peluang kepada peningkatan staf FKP khususnya dalam pembangunan pembelajaran, penyelidikan dan bidang perundingan dalam perkara-perkara berkaitan industri,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian MoA tersebut di Galeri Pembangunan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 24 Julai 2017.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, syarikat DLSB adalah sebuah syarikat pelaburan yang berpengalaman serta mempunyai kemahiran serta berkepakaran dalam pengoperasian restoran makanan dan minuman di peringkat global telah dipilih sebagai ahli Majlis Action Group for Entrepreneurship (AGE) di peringkat  FKP berkuatkuasa 1 Mei 2016 sehingga 30 April 2019.

Katanya, kerjasama ini juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada pelajar untuk memiliki syarikat sendiri melalui peniagaan Harumi Chiken yang dimiliki oleh Distinct Legacy Sdn Bhd, melalui bantuan kewangan daripada agensi kerajaan yang berpotensi.

“Kiosk Harumi adalah jenama produk ayam goreng tempatan yang telah dilancarkan pada bulan April lepas dengan 100 kiosk di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

“Dalam pada itu,  pihak DLSB  telah bersetuju menyediakan peruntukan untuk pertandingan pelan perniagaan pelajar (Student Business Plan) dimana  pemenang untuk pertandingan ini akan menerima pembiayaan kewangan berjumlah RM 50,000 bagi dijadikan modal permulaan perniagaan kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Dr. Ahmad Ramzi berkata tujuan kerjasama ini  adalah untuk membantu bagi melahirkan lebih ramai pemberi kerja (job creator) berbanding pencari kerja (job seekers) terutamanya graduan universiti yang terpaksa berdepan dengan cabaran utama mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Beliau berkata, pihaknya juga berhasrat untuk menjayakan jihad ekonomi dengan penglibatan ramai  usahawan muslim menerusi pengembangan bisnes yang bukan sahaja di peringkat Negara malah di peringkat antarabangsa.

“Ini selaras dengan konsep dalam Islam itu sendiri bahawa perniagaan merupakan satu bidang yang mempunyai 9/10 daripada sumber rezeki. Oleh itu, kerjasama ini amat mengalu-alukan pelajar menyertai bidang perniagaan bagi memberi lebih banyak kesedaran bahawa cabaran utama graduan tidak bergantung kepada pekerjaan di sektor awam pada masa hadapan,” katanya.

Published in Latest News

HOT TOPIC