A- A A+
logoumkmerdeka2017

KAJIAN UMK KOMERSIALKAN PRODUK SENI WARISAN DAN MAKANAN TRADISIONAL

raya1

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                   Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) disaran memainkan peranannya sebagai pusat ilmu, pemikiran dan penyelidikan dengan menjalankan kajian terhadap produk seni warisan serta makanan tradisional yang terdapat di negeri ini untuk diketengahkan dan dikomersialkan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, melalui kepakaran UMK yang ada maka lebih banyak kajian bersifat pengkomersialan terhadap warisan budaya masyarakat Melayu dan makanan tradisi boleh memberi sumber baharu untuk menambah pendapatan masyarakat setempat.

raya2

Beliau berkata, antara warisan yang boleh dikomersialkan ialah makanan tradisional seperti nasi kerabu, nasi dagang dan pelbagai kuih-muih yang unik dan menarik terdapat di negeri Kelantan.

"Justeru, kajian yang dihasilkan itu boleh dikomersialkan supaya lebih menarik dan tahan lebih lama serta mampu bersaing di pasaran sekurang-kurangnya di dalam negara.

“UMK memiliki pelbagai kepakaran termasuklah penubuhan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan serta Fakulti Hospitaliti,  Pelancongan dan Kesejahteraan yang membolehkan pelbagai kajian dijalankan untuk memberi nilai tambah kepada peningkatan pendapatan penduduk tempatan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMK 2017 anjuran Kelab Kebajikan Staf Universiti (KKSU) dengan kerjasama semua PTj, bertempat di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Kelantan, pada 20 Julai 2017.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Azmi Mohd Ali, En Zulkifli Mohd Zan, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu, Penyelaras Parlimen Bachok, Dato’ Dr. Ilias Husain dan Presiden KKSU, Mohd Adzwan Kamaruzaman.

raya3

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat universiti itu  membabitkan kerjasama jabatan dan fakulti dengan menghidangkan juadah yang berbeza bagi menyemarakkan kemeriahan Syawal.

“Penganjuran majlis ini  dapat mengukuhkan hubungan warga kampus, agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta masyarakat setempat yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada UMK selama ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Adzwan berkata, seramai 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis Aidilfitri UMK 2017 yang menyajikan 15 menu juadah termasuklah hidangan 'Rusa Golek' oleh Fakulti Perubatan Veterinar (FPV).

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin setempat dan pelbagai agensi kerajaan di sekitar daerah Bachok.

Published in Latest News
Last modified on Selasa, 01 Ogos 2017 15:06 Read 603 times

HOT TOPIC