A- A A+
logoumkmerdeka2017

UMK DAN FIZO OMAR CETUS FENOMENA BAHARU DUNIA KEUSAHAWANAN DI KELANTAN

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                                      Foto : Al Azam Razi

SEMINAR Start Your Business (SYB) edisi Kelantan adalah platform terbaik jalinan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Fizo Omar Channel (FOC) dalam usaha menyerlahkan potensi para usahawan atau bakal usahawan dengan menyediakan peluang pemasaran yang lebih luas dalam dunia bisnes menerusi siri pengkongsian pengalaman Ikon Usahawan selebriti tanah air yang tersohor iaitu Fizo Omar.

Penganjuran seminar siri jelajah SYB di Kelantan dengan kerjasama UMK selaku tuan rumah ini memberi nafas baharu kepada usahawan untuk mendalami teknik-teknik perniagaan yang diformulasikan beliau  sendiri  sepanjang menceburi pelbagai bisnes dari tepi jalan sehinggalah tertubuhnya lima syarikat.

Menurut Pengasas dan Pemilik FOC, Fizo Omar,  siri jelajah SYB di Kelantan mendapat sambutan hangat dengan jumlah kehadiran di luar dugaan kerana hampir 600  peserta memenuhi dewan.

“Pihak FOC amat berpuas hati dengan penerimaan masyarakat di Kelantan khususnya berkaitan program keusahawanan dan seminar bisnes yang meliputi konsep, cabaran serta metodologi perniagaan dalam arus dunia keusahawanan melalui kaedah yang lebih segar.

"Saya berharap SYB siri jelajah Kelantan ini dapat mencipta fenomena tersendiri dengan permulaan yang sangat baik melalui kerjasama baik yang diberikan oleh pihak UMK dengan menyediakan kemudahan tempat dan penyertaan 50 pelajar UMK,” katanya pada Program Bersama Usahawan Fizo Omar: SYB di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 5 Ogos 2017.

Dalam pada itu, Fizo yang pernah dianugerahkan sebagai Ikon Belia Malaysia (2012 & 2013), Usahawan Muda Muncul (2014)  dan  Ikon Belia Keusahawanan (2015)  berkata,  pihak FOC dan UMK bercadang meneruskan program yang sama pada masa hadapan berikutan sambutan rakyat Kelantan yang mencatatkan kehadiran tertinggi pada program SYB.

Beliau berkata, misi utama SYB adalah program Tanggung Jawab Sosial (CSR) oleh pihak FOC untuk menggalakkan orang ramai menceburi bidang keusahawanan yang kemudiannya menyumbang semula kepada masyarakat dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan ilmu.

“Ini kerana pihak kami tidak ada kepentingan politik dan secara peribadinya dengan sedikit sumbangan kami ini dalam dunia keusahawanan ini dapat membawanya lebih dekat kepada Maha Pemurah dan pemberi rezeki yang luas.

“Kami juga membuka peluang perniagaan kepada mereka yang benar-benar berminat, selain latihan pengendalian sebagai persediaan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan dan harapan saya kepada  mereka ialah semangat serta minat,” katanya pada sesi seminar SYB yang dikendalikan oleh Personaliti TV dan Pakar Motivasi, En. Abu Talib Husin selaku moderator yang memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada Fizo Omar.

Dalam ceramahnya, Fizo Omar berkata ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya ialah apabila membuat sesuatu bisnes jangan takut untuk berkongsi idea dan ilmu kepada orang lain.

Katanya, seorang usahawan perlu mempunyai pemikiran yang tajam serta bijak mengolah idea dan mencari peluang di depan mata selain peniaga perlu kenalpasti bisnes yang hendak dijalankan dan siapa pembeli atau pelanggan produk yang kita jual.

“Contohnya untuk memulakan bisnes produk pakaian bayi atau kanak-kanak  mesti kena tahu siapa sasaran kita kerana kebiasaannya citarasa untuk pemilihan baju adalah bergantung kepada naluri seorang wanita atau ibu kepada bayi serta kanak-kanak itu.

“Selain itu, semangat untuk berniaga harus ada dalam diri anak-anak muda zaman kini dan apa-apa jua perniagaan yang mahu dilakukan ialah niat kita, kejujuran dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara. Insya Allah bisnes kita akan berjaya,” katanya.

SYBFizo2Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman berkata, program SYB  adalah inisiatif UMK dan FOC berkolaborasi dengan tujuan utama adalah untuk memberi pendedahan berkaitan perniagaan dan keusahawanan kepada 50 pelajar UMK yang terlibat dalam penganjuran Pesta Konvokesyen UMK (PESKO Jaya) pada bulan Oktober nanti.

Beliau berkata, seminar ini adalah satu peluang kepada mereka untuk belajar tentang  perancangan dan pengurusan dalam mengendalikan sesuatu majlis atau aktiviti yang memerlukan mereka berfikir cara seorang usahawan untuk menjana pendapatan.

“Selain itu, seperti kita maklum Fizo Omar merupakan seorang ikon usahawan seleberiti yang terkenal dan melalui kerjasama ini juga dapat membantu memperkenalkan UMK kepada pihak umum bahawa universiti ini adalah sebuah Universiti Keusahawanan,” katanya.

Manakala bagi Timbalan Presiden Sekretariat Pesko Jaya, Mohd Taufik Mohd Nazri, berkata, melalui seminar ini para peserta khususnya pelajar UMK dapat berinteraksi dengan ikon usahawan dalam satu jaringan ekosistem yang khusus.

“Selain itu, seminar ini banyak memberi impak yang positif kepada mahasiswa untuk mendapat tips dan panduan untuk mencari penajaan bagi penganjuran program PESKO Jaya 2017.

“Saya juga berbangga diberi peluang menyertai seminar SYB yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada para peserta  yang teruja untuk mendalami ilmu bisnes dan keusahawanan di peringkat awal dan seterusnya mencipta kejayaan,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Selasa, 08 Ogos 2017 14:45 Read 880 times

HOT TOPIC