A- A A+
logoumkmerdeka2017

2,461 GRADUAN UMK TERIMA IJAZAH PADA ISTIADAT KONVOKESYEN KE-7 2017

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat       Foto : Unit Media dan Promosi

KOTA BHARU 9 OKTOBER 2017 – Seramai 2,461 graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Ke-7 yang berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan bermula 9 sehingga 12 Oktober 2017.

Daripada  jumlah  tersebut, seramai 10 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 21 graduan Ijazah Sarjana, 125 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 2,305 graduan Ijazah Sarjana Muda.

Pemangku Raja Kelantan selaku Tuanku Canselor UMK, Yang Maha Mulia (YMM) Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli bagi menganugerahkan ijazah pada sesi sidang pertama hari ini.

Turut berangkat, Yang Berhormat Mulia (YBM) Dato’ Hajah Tengku Salwani Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YB Dato’ Hj. Mohd Fauzi Hj. Che Mamat, YBhg. Pn Norina Jamaludin, YB Senator Dato’ Hj. Hanafi Mamat Hj. Mamat , YBhg. Dato’ Azmi Mohd Ali, YBhg. Dato’ Ab. Rahman Mat dan YBhg. En. Zulkifli Mohd Zan.

Hadir sama,  Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu.

Pada titah ucapan Tuanku Canselor, Yang Maha Mulia (YMM) Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra telah bertitah supaya Kerajaan Negeri dapat meningkatkan kerjasama dengan UMK dalam mengoptimumkan segala kepakaran yang terdapat di universiti itu bagi memperkukuhkan perancangan dan pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri.

Titah baginda, selepas lebih 10 tahun beroperasi di UMK sewajarnya memikirkan strategi baharu yang lebih berfokus, berstruktur dan berimpak, bagi membantu membangunkan negeri ini dalam pelbagai sektor.

“Pembangunan  itu merangkumi aspek ekonomi, pelancongan, perhutanan, pemuliharaan alam sekitar, pelaburan, kesejahteraan bandar dan pembasmian kemiskinan terutama di luar bandar.

“Kemajuan dan kepakaran yang dicapai dalam tempoh itu dapat dikembangkan untuk manfaat kepada pembangunan negeri Kelantan,” titah baginda.

Dalam pada itu, YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra turut bertitah dengan menyarankan UMK menubuhkan sebuah badan khas (task force) yang bertanggungjawab mengenalpasti perancangan dan strategi, bagi menentukan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam pelbagai aspek.

Titah baginda, aspek itu termasuklah pendidikan, penyelidikan, tadbir urus, hal ehwal akademik dan kurikulum pembangunan pelajar, keusahawanan dan lain-lain.

“Pada masa ini negara kita sedang melangkah ke zaman dan era industri 4.0. kita memasuki ke satu zaman yang di penuhi dengan teknologi baharu, teknologi yang destructive yang mengubah norma lazim, mencabar kebijaksanaan ilmu tradisi dan yang akan menukar lanskap kehidupan secara derastik.

“Kita berdepan dengan teknologi baharu dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, internet of things, kenderaan elektrik tanpa pemandu, pencetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum,” titah baginda.

Baginda bertitah, kehidupan manusia akan berubah yang akan menyebabkan bidang pekerjaan lazim hilang diganti dengan pekerjaan baharu yang akan wujud dan kita perlu bersedia untuk merebut peluang dalam bidang pekerjaan masa depan ini.

Titah Tuanku, tenaga buruh akan di ganti dengan robot dan automasi. pentadbiran, pengurusan dan perundangan akan di ambil alih oleh artificial intelligence (AI).

Baginda yang juga Pemangku Raja Kelantan turut menyempurnakan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kelestarian kepada Pengerusi Landskap Malaysia, YABhg. Tun Jeanne Abdullah dan menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Naib Canselor Pertama UMK, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Zainai Mohamed.

Pada majlis istiadat itu, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Keusahawanan, Hadiah Alumni, Anugerah Dekan dan Hadiah Akademik kepada penerima.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, dalam usaha meningkatkan kualiti pengajian, Universiti telah  menjalankan  program 2U2E dengan kumpulan pertama  pelajar seramai  48  orang  pada semester lalu.

Katanya, pendekatan 2U2E yang memberi pendedahan pembelajaran selama 2 tahun di Universiti dan 2 tahun di industri menjadikan pelajar lebih berkeupayaan dan mempunyai kelebihan apabila bergraduat kelak. 

“Program ini turut mendapat sokongan dari pihak industri dan terkini satu MOU telah ditandatangani dengan QSR Brands (M) Holding Berhad, di mana QSR akan menyediakan tempat latihan termasuk elaun-elaun yang agak lumayan bagi siswa terlibat,” katanya.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, sebagai Universiti berteraskan keusahawanan, penglibatan pelajar dalam syarikat perniagaan di kampus sentiasa ditekankan dan telah menunjukkan peningkatan.

“Sehingga kini, berdasarkan pangkalan data E-SSU sehingga Ogos 2017, seramai 565 orang    pelajar telah terlibat dengan perniagaan semasa dalam pengajian dengan pendaftaran sebanyak 278 buah syarikat (berbanding 328          pelajar dan  152 syarikat pada tahun 2016).

“Usaha ini diharap akan dapat meningkatkan bilangan usahawan pelajar yang akan dihasilkan selepas menamatkan pengajian,” katanya.

Tambah beliau, UMK juga telah pun membangun ekosistem keusahawanan yang merangkumi pendidikan keusahawanan,   penyelidikan  dalam keusahawanan dan pembangunan inovasi, pembangunan Industri Kecil dan Sederhana, keusahawanan sosial dan strategi penjanaan pendapatan melalui aktiviti perniagaan dalam kampus.        

Beliau berkata, matlamat Universiti adalah untuk melahirkan graduan UMK yang merupakan usahawan pada tahap sehingga 60%  menjelang 2020.            

“Dalam aspek itu, UMK perlu terus berusaha untuk membawa transformasi dalam semua pendekatan bagi menyokong agenda keusahawanan termasuklah mengukuhkan semua entiti di Universiti yang bertanggungjawab mendokong eko-sistem keusahawanan, melengkapi sistem sokongan dan prasarana dan memperkasakan peranan fakulti dan PTJ berkaitan,” katanya.

KonvoKe791

Published in Latest News
Last modified on Rabu, 11 Oktober 2017 14:40 Read 618 times

HOT TOPIC