A- A A+
logoumkmerdeka2017

200 PENGGIAT DAN AKTIVITIS SENI KELANTAN BERHIMPUN DI UMK KAMPUS KOTA

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat & Tuty Jusoh             Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) disarankan memainkan peranan penting dalam membantu membangkitkan semula warisan, budaya dan kesenian yang berakar umbi di negeri ini menerusi pemuafakatan antara penggiat dan aktivis seni serta masyarakat sejajar dengan slogan Soaring Upward.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, universiti sewajarnya menjadi pemangkin dalam menyuarakan pandangan dan ilmu berkaitan kebudayaan kerana warisan serta budaya itu bermula daripada negeri Kelantan sendiri.

Beliau berkata, Kelantan memiliki keistimewaan tersendiri sehingga dikenali sebagai The Malay Interland of Culture dimana disinilah asalnya budaya yang unik seperti dikir barat, seni lukis, wayang kulit, silat dan banyak lagi.

“Pembudayaan warisan adalah tanggungjawab kita bersama kerana budaya bermaksud cara hidup yang mempunyai sifat kelestarian yang memberi penekanan kepada silibus dan kebudayaan yang perlu dipupuk bukan sahaja secara praktikal malah secara insaniah di kalangan masyarakat.

“Selain itu, pembudayaan adat tradisi dan budaya Melayu juga seharusnya dinaskahkan semula melalui kerjasama antara universiti demi menaikkan semula tradisi Melayu asal usul budaya bangsa,” katanya pada Program Ramah Mesra Pengiat Seni Budaya Kelantan Bersama Penasihat Sosio Budaya Malaysia di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 20 November 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif dan Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Dato’ Sayuti Mukhtar.

Pada majlis itu, lebih 200 penggiat dan aktivitis seni yang bergiat aktif dalam memartabatkan seni, budaya dan warisan hadir untuk menyuarakan pandangan serta pengalaman dalam lapangan seni.

Antara barisan yang hadir ialah Majlis Seni Rakyat Kelantan, Persatuan Seni Lukis (PESENI), Persatuan Layang Layang Kelantan (PELAYANG), Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Dan Warisan Kelantan, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung , Persatuan Seni Fotografi dan Persatuan Dikir Barat Kelantan (PENDIKIR).

Turut hadir Persatuan Penulis-Penulis Tumpat (PESISIR), Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA), Majlis Teater Kelantan (TEMA) dan Penyair Kelantan.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Seri Rais Yatim menggesa masyarakat mendalami asal usul bangsa dan bahasa Melayu kerana kita sebagai masyarakat Melayu perlu bangkit dalam mempertahankan bangsa Melayu.

Katanya, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai bahasa perantaraan ASEAN sekiranya negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu seperti di Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand dan Malaysia bekerjasama.

“Malangnya, tidak ada satu pihak pun yang berani menyuarakan pendapat untuk menaikkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asean sedangkan bahasa ini dituturkan lebih daripada 300 juta orang di serata dunia dan Malaysia adalah negara majoriti menggunakannya.

Pada majlis sama, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Rais Yatim turut mengumumkan dana sebanyak RM100,000 kepada UMK sebagai suntikan awal dalam usaha memperkasakan budaya dan warisan negeri.

Sementara itu, Prof. Abd. Aziz berkata, pemberian dana permulaan sebanyak RM100,000 menunjukkan sokongan kerajaan untuk melihat UMK menjadi pemangkin kepada pemulihan dan kebangkitan semula pengembangan budaya dan warisan di negeri Kelantan.

Katanya, kerjasama ini juga untuk memperjuangkan topik serta ilmu pembudayaan sosio dan warisan yang menjadi tunjang kepada penubuhan khususnya subjek pengajian di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

“Pada masa yang sama, himpunan bersama penggiat seni dapat seperti ini sangat penting supaya budaya dan kesenian di negeri ini terus hidup dan berkembang.

“Selain itu, penggiat seni ini juga boleh membantu memberi input kepada pelajar dan pensyarah untuk membuat penyelidikan dan kajian untuk proses pembelajaran,” katanya.

Published in Latest News
Last modified on Khamis, 23 November 2017 14:56 Read 294 times

HOT TOPIC