A- A A+
logoumkmerdeka2017

Oleh : Syarimie Wosley & Nor Alizam Shafie Foto : Mohd Al Azam Razi & Mohd Hafriez Aiman bin Ibrahim

SITUASI banjir yang melanda beberapa jajahan di Kelantan turut mengakibatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, turut dinaiki air hampir sedalam 0.6 meter berikutan hujan lebat dan keadaan cuaca yang buruk di negeri ini.


Tinjauan di sekitar kawasan UMK Kampus Kota mendapati kawasan paling terjejas teruk ialah di bangunan utama kampus dan kediaman pelajar.


Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat, UMK, YBhg. Prof. Madya Dr. Mokhtarrudin bin Ahmad, berkata, kedudukan UMK Kampus Kota yang terletak di kawasan rendah menyebabkan kawasan ini mudah banjir dan dinaiki air setiap kali hujan lebat.


Beliau berkata, namun begitu, sebagai persiapan menghadapi banjir, pihak UMK telah bersiap sedia dengan memindahkan barang-barang penting dan mempastikan keselamatan semua warganya terpelihara.


Jelas beliau, berikutan keadaan cuaca semakin buruk dan situasi air yang semakin naik pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar telah mengambil langkah proaktif dengan memindahkan pelajar diaras bawah kediaman ke aras atas dengan bantuan JPIP.


“Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga telah menyediakan sumber bekalan makanannya untuk pelajar khususnya mereka yang mendiami asrama di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa,” katanya selepas meninjau keadaan banjir yang berlaku di sekitar UMK Kampus Kota.


Menurut Prof. Madya Dr. Mokhtarrudin, sebagai langkah keselamatan, JPIP dan Bahagian Keselamatan juga telah bersedia sepanjang waktu untuk menghadapi ancaman sekiranya banjir berterusan.


Manakala, bagi menjamin keselamatan semua warga UMK terutamanya pelajar, peperiksaan akhir yang akan bermula pada 28 Disember 2014 telah ditangguhkan sehingga 31 Disember 2014.


Bahagian Keselamatan, Pejabat Pendaftar, memaklumkan bahawa, keadaan banjir semasa di UMK Kampus Kota sehingga jam 4.00 petang paras air yang dicatatkan ialah 0.6 meter.


Paras air dijalan luar untuk masuk ke pintu utama kampus tidak boleh dimasuki oleh semua jenis kenderaan. Anggota Keselamatan dan dibantu oleh staf PTj lain yang terbabit dalam operasi banjir sedang melaksanakan permantauan dan memindahkan harta universiti ditempat yang sepatutnya.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK (MPPUMK), Muhammad Fadzil bin Abidin, berkata, keadaan pelajar UMK Kampus Kota dalam keadaan selamat dan terkawal berikutan tindakan pantas pihak pengurusan HEP dan kolej kediaman memindahkan pelajar sejak awal lagi.


Jelasnya, pihak pengurusan UMK telah memaklumkan semua pelajar untuk bersiap-sedia sejak awal pagi berikutan kawasan kampus mula dilimpahi air sejak semalam.


“Alhamdullilah, keadaan pelajar semuanya selamat sebaik sahaja mereka yang mendiami aras bawah asrama mula dipindahkan selepas keadaan bertambah buruk dan air mula memasuki kampus sedalam 0.5 meter pada awal pagi tadi,” katanya.


Bilik Gerakan Operasi Banjir UMK Kampus Kota sedia untuk dibuka apabila keadaan semakin buruk dan mendapat arahan daripada Y.Bhg. TNC HEPA. Sebarang pertanyaan info banjir UMK bolehlah menghubungi talian 09-7717038 (Bilik Gerakan) atau 09-7717083 (Pos Utama).

 

Published in Latest News

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, siapa sangka beliau bukan sahaja berjaya menerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kali Ke 4, malah muncul sebagai pelajar Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) yang pertama memenangi anugerah Kijang Emas dan tiga lagi anugerah khas yang membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Begitulah nasib dan tuah, Dr. Nur Hazlizan binti Sulaiman yang bukan sahaja memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.76, malah turut memperolehi pelbagai anugerah khas sempena Majlis Penganugerahan Akademik Graduan Kedoktoran Perubatan Veterinar dan Makan malam Fraternity yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada 29 November 2014.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Dato’ Dr Halim bin Hamat, YBhg.Dato’ Ahmad Pardas Senin, dan penerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Doktor Veterinar Perubatan) YBhg.Prof Emiritus Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim

Hadir sama, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Che Rose, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), YBhg. Dr. Roselina binti Ahmad Saufi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) YBhg. Prof. Dr. Mohamad Kamal bin Hj. Harun, Pengarah Kampus Jeli,YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Bin Che Omar dan Pendaftar UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli bin Che Razak.

Pada majlis itu, beliau memperolehi anugerah Best in Ruminant Production Medicine dengan hadiah wang tunai RM2,000.00, anugerah Best in Non-Ruminat Production Medicine dan wang tunai RM1,500.00 dan anugerah Best in Preclinical Sciences (RM1,500.00).

Menurut Dr. Nur Hazlizan berkata, keputusan cemerlang tersebut merupakan hadiah kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa mendoakan kejayaannya untuk cemerlang dalam pelajaran.

Keputusan beliau memilih program Perubatan Doktor Veterinar ialah bermula selepas kematian seekor arnab kesayangannya yang mati selepas diberi makan coklat.

Dr. Nur Hazlizan berkata, sejak itu beliau tanam pada cita-citanya untuk menjadi seorang doktor perubatan veterinar untuk mendalami ilmu perubatan veterinar bagi mengkaji punca sebenar kematian arnabnya.

“Selepas mengikuti pengajian barulah saya dapat tahu coklat adalah makanan yang berbahaya dan menjadi racun kepada arnab,” katanya.

Beliau yang turut mendapat jolokan Lady Gagah kerana keberaniannya dalam mengendalikan haiwan ketika membuat kerja-kerja penyelidikan dan kajian ketika di lapangan.

Mengulas kejayaan beliau itu, Dr. Nur Hazlizan berkata, sememangnya seorang yang sentiasa melekat dengan buku tidak kira apa jenis buku bacaaan kerana beliau amat cintakan ilmu dan pengetahuan.

Tabiat itu membantunya kerana setiap hari beliau akan membaca sama ada dua hingga tiga buah buku dalam sehari.

Selain itu, beliau juga rajin melakukan kerja-kerja pratikal dan turun ke kawasan penternakan bersama pensyarah untuk membuat kajian kes-kes perubatan haiwan yang berkaitan dengan pelajarannya.

Sementara itu, Prof. Emiretus Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim berkata, graduan kedoktoran perubatan veterinar UMK haruslah berdaya saing dalam dunia pekerjaan sebenar kerana banyak cabaran yang menanti dan mengucapkan tahniah kepada semua graduan UMK.

Beliau berkata, pihak universiti akan terus menyokong dan melakukan inovasi dalam pembelajaran di fakulti dan berharap dapat terus memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar dengan keghairahan untuk belajar, membentuk pemikiran kritis,kemahiran dan kreativiti untuk menjadi keusahawanan dan menambah nilai kepada kehidupan.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Mohd Azam Khan berkata, majlis pada malam ini diadakan bertujuan untuk meraikan kejayaan graduan FPV yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya.

“Majlis malam ini adalah untuk majlis meraikan graduan dan ahli keluarga serta pihak industri dari bidang veterinar dalam satu majlis yang penuh dengan kecemerlangan.

“Anugerah ini diberikan kepada pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam program doktor perubatan veterinar dan yang menjadi teladan dalam kemahiran sosial mereka selama lima tahun menjalani kehidupan di kampus,” tambah beliau lagi.

Pada majlis itu, terdapat sebelas kategori yang bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada graduan FPV kerana penat lelah dan usaha mereka dalam menimba ilmu kedoktoran veterinary.

Bagi anugerah, Best in Clinical Sciences, anugerah ini telah dimenangi oleh Mohd Farhan Hanif Bin Reduan dan wang tunai sebanyak RM1500. Untuk kategori Best Final Year Project, anugerah ini dimenangi oleh Nur Asma Bt Mohamad Munshi dan mendapat wang tunai sebanyak RM2000.00.

Manakala kategori Best in Avian Medicine, dimenangi oleh Chia Kim Sing dan mendapat wang tunai sebanyak RM2000.00 dan kategori Best in Surgery, di menangi oleh Mohd Farhan Hanif Bin Reduan dan mendapat wang tunai sebanyak RM2000.00.

Sementara itu, kategori Leadership Award, diraih oleh Siti Shakinnachu Binti Rizal Chu dan mendapat wang tunai sebanyak RM2500.00, kategori Best in Entreprenuership Attributes, di menangi oleh Nur Atiqah Binti Mohd Radhi dan mendapat wang tunai sebanyak RM3000.00.

Published in Latest News
Oleh : Syarimie Wosley  
Foto : Wan Mohd Arizuddin bin Wan Mohd Nor

PERSEMBAHAN istimewa Tarian Zapin Ghalit oleh Kumpulan Le’ Waris, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya dinobatkan sebagai johan bagi kategori Tarian Tradisional pada Festival Tari Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2014, bertempat di Auditorium Kompleks Kebudayaan Negeri, Kota Bharu, Kelantan, pada 5 November 2014.

Geraktari yang penuh dramatik tu berjaya memukau para juri dan penonton itu membawa tuah kepada kumpulan Le’ Waris dan berjaya memenangi hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan disamping memenangi Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik.

Hadiah telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, YB. Datuk Nozula Bin Mat Diah serta diiringi oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan, (JKKN), YBrs. Tuan Haji Che Kassim bin Mahmud.

Menurut Pegawai Kebudayaan, Bahagian Kebudayaan, Pusat Ko-Kurikulum, En. Wan Mohd Arizuddin bin Wan Mohd Nor, tarian zapin ghalit itu amat istimewa kerana tarian zapin ini berbeza dengan tarian zapin-zapin lain kerana gerakannya banyak menunggu muzik.

Jelasnya, tarian zapin ini berasal dari negeri Kedah dan muzik untuk tarian ini berasaskan muzik Arab dan kebiasaannya tarian ini ditarikan oleh lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, tarian menerusi gerak lelaki itu lebih menampakkan kegagahan manakala gerak perempuan mencerminkan kesopanan dan kesantunan seorang perempuan.

“Pada pertandingan itu, sebanyak tujuh kumpulan dari seluruh Kelantan telah menyertai pertandingan ini sempena Festival Tari Malaysia Peringkat Negeri Kelantan.

“Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Tarian Tradisional dan Street Dance. Manakala UMK hanya mengambil bahagian dalam kategori Tarian Tradisional sahaja,” katanya. 

Published in Latest News

DUTA Besar Malaysia di Amerika Syarikat, TYT Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussein, memberi nasihat kepada penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) supaya memberi fokus kepada pengajian masing-masing dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat kecemerlangan demi membalas jasa baik keluarga.

Beliau yang juga mantan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, menasihatkan para pelajar supaya memanfaatkan masa mereka di universiti dengan belajar bersungguh-sungguh dengan tidak membabitkan diri dengan perkara negatif yang boleh menganggu dan menjejaskan pengajian mereka di universiti.

Beliau berkata, faktor kemiskinan bukan alasan untuk tidak mahu belajar kerana beliau juga dilahirkan dalam keluarga susah dan miskin tetapi berjaya dalam pendidikan sehingga dapat melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah doktor falsafah (Phd) di luar negara.

“Saya orang miskin bapa jadi nelayan dan ibu buat keropok serta ikan kering untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Kakak saya pernah terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja semata-mata bagi membolehkan saya bersekolah.

“Masih terbayang pada ketika itu, kakak saya menangis kerana terpaksa berhenti sekolah kerana keluarga tiada duit untuk hantar kakak saya kerana untuk ke sekolah menengah terpaksa naik bas setiap hari. Melihat kesusahan itu saya lebih bersemangat untuk belajar demi membantu keluarga,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan Bersama lebih 300 pelajar UMK, Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 2 Disember 2014.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Hj. Che Rose, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Roselina binti Mohd Saufi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abdul Aziz bin Ab. Latif dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Mohamad Kamal bin Harun.

TYT Dato’ Dr. Awang Adek dilahirkan di Bachok, Kelantan, dengan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perupok, Bachok Kelantan sebelum melanjutkan ke peringkat menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak.

Beliau kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda ke Drew University, New Jersey, Amerika Syarikat dan terus melanjutkan pengajian bagi peringkat sarjana dan doktor falsafah di Wharton School, University of Pennsylvania Philadelphia.

Dalam pada itu, TYT Dato’ Dr. Awang Adek, menasihatkan supaya pelajar berusaha mendapat kelulusan cemerlang dengan memperolehi CGPA 3.00 ke atas supaya dengan keputusan cemerlang mereka dapat bersaing dalam pasaran kerja pada hari ini.

“Dalam dunia teknologi hari ini tiada alasan untuk tidak mahu belajar kerana untuk mendapatkan maklumat atau pengetahuan baharu boleh dapat daripada internet kerana pada zaman ini dunia serba pantas.

Pada masa saya belajar tiada internet dan untuk mendapatkan maklumat atau pengetahuan hanya daripada buku di perpustakaan sahaja, “ jelas beliau.

Selain itu, beliau juga sentiasa memberi nasihat kepada pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat semasa sesi perjumpaan di AS supaya sentiasa mengutamakan pelajaran dan jangan terlibat dengan aktiviti yang boleh menggangu pelajaran mereka di universiti.

“Pelajar-pelajar di sama perlu belajar bersungguh-sungguh dan jangan terpengaruh dengan aktiviti sosial dan politi serta sentiasa ingat tanggungjawab kepada keluarga meletakkan harapan yang tinggi kepada kita untuk mendapatkan pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian nanti,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, golongan peniaga dan usahawan di negara ini perlu merebut peluang untuk untuk memasarkan produk mereka di pasaran terbuka di Amerika Syarikat (AS).

Beliau percaya banyak peluang yang terdapat di khususnya untuk melakukan perniagaan dengan syarat pedagang luar harus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan negara berkenaan khususnya berkaitan mutu dan kesihatan.

“Produk makanan adalah antara peluang ekonomi yang berpotensi untuk ditembusi kerana dengan kepadatan penduduk negara itu seramai 300 juta orang boleh memastikan pasaran itu terjamin.

“Saya ada terlibat dalam usaha mengkaji peluang eksport Malaysia ke AS, peluang sebenarnya luas cuma masalah jarak yang jauh dan tambang yang mahal membuatkan peniaga kira rasa susah berniaga di sana.

Sementara itu, TYT Dato’ Dr. Awang Adek adalah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu dilantik juga memberitahu bahawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sentiasa memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ketika bercerita tentang pengalamannya melawat Malaysia pada April 2014.

Lawatan tiga hari Obama ke Malaysia adalah lawatan pertama presiden Amerika Syarikat ke Malaysia selepas tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Published in Latest News
Oleh : Syarimie Wosley
Foto : Affendi Mat Yacob, Tukiman Bahari Mohamed Noor, Mohd Hafis Mohd Fauzi, Khairul Anuar Mat Hussin

KUMPULAN Sri Kayangan Sukma, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkul tempat ketiga Pertandingan Akhir Dikir Barat Mega, anjuran Badan-Badan Berkanun Malaysia 2014 dengan kerjasama UMK, yang berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 29 November 2014.

Dalam pertandingan itu, kumpulan Sri Kayangan Sukma membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000, piala dan sijil serta berjaya meraih hadiah khas iaitu Busana Terbaik.

Johan bagi pertandingan akhir itu dimenangi oleh Kumpulan Sri Hulubalang Hasil, pasukan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 berserta piala, hamper dan sijil pertandingan.

Kumpulan Sri Hulubalang Hasil turut memenangi hadiah persembahan terbaik dan Tok Jogho Terbaik.

Manakala tempat ketiga diraih oleh Kumpulan Suara Kesedar (KESEDAR) yang turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, piala, hamper dan sijil penyertaan serta hadiah Tukang Karut Terbaik.

Pertandingan Dikir Barat Mega adalah kali kedua dianjurkan oleh Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia yang bertemakan 1Malaysia dan GST telah disertai oleh 10 kumpulan yang terdiri daripada Badan-badan Berkanun seluruh Malaysia.

Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), LHDN, YBhg. Dato’ Abd. Aziz bin Hashim yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dan selaku Yang Dipertua Badan-badan Berkanun Malaysia, YBhg. Tan Sri Kolonel (K) Datuk Wira Dr. Mohd Shukor bin Hj. Maftar.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abd. Aziz bin Ab.Latif, Dekan HEP, YBhg. Prof. Dr. Nik Maheran binti Nik Muhammad, Penolong Setiausaha Persatuan Badan Berkanun Malaysia, YBrs. En. Supa’at bin Othman dan Pengerusi KESEDAR, YBhg. Datuk Haji Abd. Aziz bin Derashid.

Menurut Dato’ Abdul Aziz, pemilihan seni dikir barat untuk dipertandingkan oleh Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia adalah kerana untuk turut bersama memartabatkan seni warisan dan budaya negara melalui pertandingan sebegini.

Beliau berkata, dalam konteks warisan negara, dikir barat digolongkan di bawah warisan tidak ketara sama seperti permainan tradisi, pertahanan diri, bahasa persuratan, kraf dan lain-lain.

“Selain dapat mencungkil bakat seni dikir barat yang bermutu tinggi, melalui dikir barat juga mesej mampu disampaikan dengan cara langsung, spontan dan mudah.

“Ciri-ciri ini amat penting dalam usaha membina masyarakat dan negara, kerana pada masa kini, hanya melalui komunikasi sesuatu maklumat dapat disebarkan dengan berkesan dan difahami oleh rakyat,” katanya.

Tambah beliau, dikir barat juga mempunyai peminatnya tersendiri terutamanya di kalangan para belia dan berharap usaha memartabatkan seni dikir barat dapat menggalakkan penyertaan golongan muda dalam aktiviti yang berfaedah.

Dalam cabaran sosio-politik, setiap pihak termasuklah kita yang berada di dalam dewan ini perlulah memainkan peranan secara bersama bagi memastikan seni budaya warisan negara ini terus mekar mewarnai persada tanah air kita.

“Ini kerana, keinginan untuk melihat seni budaya terus kekal sangat berkait dengan semangat cintakan negara, menyemat jati diri bangsa di samping mewujudkan peluang menempatkan diri dalam industri pelancongan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berharap hasrat untuk mempertahankan warisan budaya ini dapat direalisasikan seperti apa yang dilakukan oleh negara Jepun, Thailand dan Korea Selatan yang menjadikan rakyatnya mempunyai jati diri yang kuat dan semangat cintakan bangsa sehingga negara mereka terkenal di seluruh dunia.

Published in Latest News

GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu menyemai sikap positif dalam menghayati pendidikan sepanjang hayat khususnya dengan meneroka pelbagai bidang ilmu dan pendidikan seperti mahfum hadis Rasulullah SAW iaitu tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Roselina binti Ahmad Saufi, berkata, pembudayaan ilmu sangat penting dalam proses pembangunan diri, organisasi, negara dan agama.

Justeru itu, pendidikan dan penghayatan budaya ilmu perlu diteruskan sepanjang hayat kehidupan untuk graduan memainkan peranannya sebagai generasi muda berilmu dan berketrampilan.

“Dengan bekalan ilmu dan pengalaman yang diperolehi, terokailah dunia ini sebagai seorang graduan yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan, insaniah dan jati diri yang tinggi dalam apa jua sektor dan bidang kerjaya yang dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang ketiga Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-4, di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan, pada 30 Novembver 2014.

Pada sidang itu, menyaksikan seramai 200 orang pelajar graduan daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Fakulti Sains Bumi (FSB) telah menerima ijazah masing-masing.

Sebelum itu, pada sidang kedua seramai 179 graduan daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) turut menerima ijazah.

Menurut Prof. Dr. Roselina, proses pengajaran dan pembelajaran di universiti merupakan antara core business di institusi pengajian tinggi.

Sehubungan itu, bagi memastikan UMK mampu bersaing dan bergerak pantas dalam perkara ini, universiti telah mengorak langkah pro-aktif dengan menyediakan persekitaran e-learning menggunakan teknologi iPad bagi pelajar-pelajar baharu pada sesi kemasukan September 2014/2015.

Jelas beliau, ini adalah selaras dengan Dasar ePembelajaran negara (DEPAN) agar universiti mempunyai persekitaran e-Learning yang dinamik.

“Selain itu, pihak universiti telah menaik taraf bilik kuliah sedia ada kepada bilik kuliah pintar atau smart classroom dengan kemudahan teknologi pembelajaran terkini bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif, interaktif dan fleksibel,”ujarnya.

Sementara itu, dalam aspek pemantapan agenda keusahawanan universiti, UMK telah menubuhkan Institut Keusahawanan UMK atau UMK-EI sebagai satu usaha terkini untuk membudayakan pendidikan keusahawanan dalam kalangan pelajar merentasi semua bidang pengajian.

Prof. Dr. Roselina berkata, UMK juga telah mewujudkan dasar Entrepreneurship Buddy dan Rakan Bersekutu Usahawan dan Industri di peringkat pelajar, staf dan program. Komponen keusahawanan sebanyak 30 peratus dalam penilaian kursus juga telah menjadi amalan dalam pengajaran di UMK.

“Pada tahun 2014, UMK secara pro-aktifnya telah menubuhkan ASEAN Student Entrepreneurship Circle (ASEC) dengan sokongan penuh Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia yang menjadi platform untuk menanggani isu-isu berkaitan ASEAN khususnya dalam pendidikan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

“UMK sentiasa bersedia untuk menerajui bidang keusahawanan sosial antaranya pelaksanaan program Social Enterprise for Economic Development (SEED) dan Program Pembangunan Ekonomi Komuniti (PROSPEK),” jelasnya.

Manakala, dari segi kebolehpasaran graduan sehingga September 2014, seramai 81.4 peratus graduan tahun 2013 telah mendapat pekerjaan dengan pecahan sebanyak 71.6 peratus di sektor awam dan swasta, manakala 9.8 peratus telah menjalankan perniagaan sendiri.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Roselina, berkata, dalam aspek penyelidikan sejak 2013 UMK telah melonjakkan aktiviti penyelidikan dengan jumlah geran melebihi RM21 juta.

Beliau berkata, dalam aspek inovasi, pada tahun 2014 UMK telah memenagi 7 pingat emas, 10 pingat perak dan 11 pingat gangsa dalam empat pameran inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX), Malaysia Technology Expo (MTE), BioMalaysia & Bioeconomy Asia Pacific dan terkini National University Carnival In e-Learning.

 

Published in Latest News

HOT TOPIC