A- A A+
logoumkmerdeka2017

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan   Foto : Al Azam Razi

soaring1

BERTEMAKAN Soaring Upwards atau Peningkatan Beterusan, menjadi inspirasi kepada usaha program Siri Jelajah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan golongan sasar mengenai pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) dan kejayaan serta pencapaian sistem Pendidikan Tinggi di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Program jelajah KPT yang berlangsung di Dewan Puteri Sa’adong Ballroom, Hotel Grand Riverview (GRV), Kota Bharu, Kelantan, pada 17 Oktober 2015, mendapat sambutan hebat daripada orang ramai apabila lebih 2,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) daripada seluruh negeri ini hadir ke program tersebut.

soaring2Dewan Puteri Saadong, sebelum itu agak suram bertukar riuh dan gamat sebaik sahaja kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB. Dato’ Seri Idris Jusoh tepat jam 9.00 pagi sambil melaungkan sorakan keramat Soaring Upwards menggegarkan seluruh dewan serta diiringi muzik daripada paluan gendang yang dipersembahkan oleh warga Kolej Komuniti Rompin dan Kuantan.

Dalam sesi taklimat hampir dua jam itu, Dato’ Seri Idris berjaya menguasai pentas dan mencuri perhatian penonton kerana setiap ucapan yang disampaikan dalam bentuk santai, mudah difahami serta diselitkan dengan sorakan Soaring Upward yang tidak putus-putus.

Siri Kelima Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Soaring Upward edisi Kelantan adalah program kerjasama KPT dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku hos.

Program ini menampilkan lima ahli panel yang terdiri daripada Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Mortaza bin Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), YBhg. Prof. Dato' Dr. Omar Osman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Dr. Asma Binti Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik KPT, YBhg. Dato’ Mohlis Jaafar dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, YBhg. Prof. Madya Dato’ Hilmi Ab. Rahman.

Menurut Dato’ Seri Idris, program ini adalah satu inisiatif ke arah merealisasi aspirasi PPPM (T) bagi merealisasikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi menjelang tahun 2020.

Katanya, pihak KPT sedang menjelajah ke seluruh negara dan ini adalah siri kelima untuk memberi kesedaran kepada rakyat berhubung usaha meningkatkan taraf pendidikan tinggi di negara ini.

“Apa yang hendak disampaikan kepada rakyat ialah sistem pendidikan tinggi Malaysia sudah setanding dengan mutu universiti di luar negara dan telah mengatasi universiti di negara jiran dan universiti kita juga tersenarai antara 50 yang terbaik dalam bidang Sains Persekitaran serta tempat ke-54 di dunia dalam bidang Teknologi Kejuruteraan.

“Contohnya Universiti Malaya (UM) kini berada di ranking ke-150 teratas dunia dengan menduduki tempat ke-146 dalam Ranking Dunia QS. Peningkatan ini berterusan dari kedudukan ke-151 pada tahun 2014 dan 167 pada tahun 2013,” katanya.

Tambah Dato’ Seri Idris, adalah menjadi harapan dan sasaran bahawa UM dapat memasuki senarai 100 dunia menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, lebih membanggakan universiti di Malaysia mempunyai penyelidik berpengaruh, yang berjaya menerbitkan beribu-ribu penerbitan yang diindekskan oleh Thompson Reuters Web Of Science.

“Seramai 14 penyelidik Malaysia diiktiraf dan dihormati apabila Thompson Reuters mengiktiraf mereka ini di kedudukan satu peratus mercu tertinggi bagi penerbitan artikel berpengaruh di dunia iaitu artikel paling kerap digunakan sebagai rujukan oleh penyelidik di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza, berkata UMK telah mengambil seramai 40 graduan sulung untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Dengan Kepujian) 2+2 ini yang telah ditawarkan oleh UMK pada September lalu.

Katanya, program ini adalah selaras dengan PPPM (PT) dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini.

“Program ini menyediakan modul untuk tempoh dua tahun kepada pelajar bagi mengikuti pembelajaran teori diikuti latihan industri dan dua tahun untuk membuka perniagaan sendiri,” jelas beliau.

soaring4

 

Published in Latest News

PERANAN Pembimbing Rakan Siswa (PRS) dalam kalangan mahasiswa Universiti Awam (UA) perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar mereka dapat membantu rakan sebaya dan masyarakat setempat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abd. Aziz bin Ab. Latif, berkata, program yang dilaksanakan PRS UMK telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan sahsiah pelajar dan masyarakat.

Beliau berkata, antara yang membanggakan  ialah kejayaan membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar luar bandar melalui  program Latihan Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang,

“Program anjuran Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) dengan kerjasama Unit Kaunseling, Kerjaya dan Alumni, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan PRSUMK nyata memberi sinar baharu kepada peserta untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya pada Majlis Malam Permata Gemilang 2015, di sebuat hotel, di Kota Bharu, pada 8 Oktober.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti), YBhg. Prof. Dr. Rosdi bin Abdul Rahman dan Mantan Ketua Unit Kaunseling, Tn. Hj. Wan Supian Sori bin Wan Abdullah.

Majlis Makan Malam Permata Gemilang  bertujuan merai dan menghargai sumbangan ahli Kelab PRS UMK sesi 2014/2015.

Menurut Prof. Abd. Aziz, program Agropolitan telah berjaya melahirkan pelajar cemerlang  khususnya pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tambah beliau, menerusi program itu PRSUMK diberi tanggungjawab menerapkan proses pembelajaran secara berkesan dan meningkatkan semangat mereka untuk cemerlang dalam akademik.

“PRSUMK diberi peranan untuk membantu meningkatkan kemahiran mengurus diri, berfikir secara kreatif dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Sementara itu, Prof. Rosdi berkata, usaha murni yang dilaksanakan oleh UMK telah banyak memberi manfaat kepada mahasiswa dalam melahirkan golongan yang cemerlang dalam setiap bidang yang diceburinya.

Katanya, peranan PRS UMK perlu diteruskan bagi melahirkan mahasiswa yang proaktif dalam bidang yang diceburi.

 

Published in Latest News

MENTERI Mentor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, mahukan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK bagi sesi 2015/2016 berjalan dengan lancar dan terkawal.

Beliau difahamkan bahawa pengurusan universiti telah menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 18 Oktober ini manakala proses pengundian pada 21 Oktober 2015.

“Mahasiswa seharusnya bijak dalam membuat pilihan.

“Untuk menjadi sebuah universiti yang hebat dan ternama setiap mahasiswa sewajarnya mestilah membuat suatu perancangan yang terbaik dan mengikut peraturan,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Menteri Mentor UMK Bersama Mahasiswa UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 11 Oktober 2015.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed.

Secara keseluruhan, sebanyak 15 kerusi bakal dipertandingkan iaitu 10 bagi kerusi fakulti dan 5 kerusi bagi calon umum.

Sementara itu, Dato’ Sri Mustapa selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) oleh Malaysia perlu difahami secara mendalam oleh semua pihak.

Katanya, perjanjian itu adalah dasar terbuka untuk Malaysia berinteraksi dengan negara luar dan TPP memberi peluang untuk akses pasaran kepada yang lebih baik serta pelaburan yang lebih telus dan boleh dijangkakan.

“Kita tidak mahu Malaysia seperti katak di bawah tempurung  contohnya yang berlaku oleh beberapa negara di dunia yang tidak mahu berkawan dan berinteraksi serta menjalinkan hubungan dengan negara luar,” jelas beliau lagi.

Published in Latest News

Oleh: Aiman Syazwan   Foto : Al Azam Razi

hrpz1

TENGKU Temenggong Kelantan, YBM. Tengku Dato’ Mohammad Rizam Tengku Aziz dan isteri, YM. Tunku Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, berkenan mencemar duli berangkat ke majlis perasmian Ruang Permainan Kanak-Kanak Wad Pediatrik di Kompleks Rawatan Harian (ACC)  Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, pada 12 Oktober 2015.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu pada pukul 10.00 disambut Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti), YBhg. Prof. Dr. Rosdi bin Abdul Rahman.

Turut hadir,  Pengarah HRPZ II, YBhg. Dr. Wan Hazimah Wan Muhamed, Pengarah Global Entrepreneurship Research Centre (GERIC), YBhg. Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan, YB. Mumtaz Md. Nawi.

Pada majlis itu, YBM. Tengku Dato’ Mohammad Rizam dan YM. Tunku Dato’ Noor Hayati turut berkenan menyampaikan sumbangan dan beramah mesra dengan dua kanak-kanak Orang Asli daripada Pos Tohoi, Gua Musang, iaitu adik Noreen Yaacob, 10 dan Missudiar Aluj, 11.

Kanak-kanak tersebut menerima rawatan selepas ditemui selamat dalam misteri  kehilangan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi (SK Tohoi) sejak 23 Ogos lalu.

Baginda dan Tengku Puan Temenggong  seterusnya berkenan melawat Wad Pediatrik 4 dan 5 serta menyampaikan cenderamata kepada pesakit kanak-kanak  serta meluangkan masa beramah-mesra dan bertanya khabar ibu dan bapa yang menemani anak-anak mereka.

Program menaik taraf ruang permainan Wad Pediatrik adalah program perintis Projek Ihsaniah: Program Motivasi dan Pemulihan Pesakit Kanak-Kanak Wad Pediatrik HRPZ II anjuran UMK melalui kerjasama Yayasan Nur Al-Syakur (YANAS), HRPZ II dan JOTUN Malaysia.

Menurut Dato’ Tunku Noor Hayati, program menaiktaraf ruang permainan itu telah dimulakan pada September lalu dengan menyediakan beberapa kemudahan dan kelengkapan berupa permainan serta bahan bacaan.

 “Projek ini bertujuan mewujudkan suasana ceria di wad dengan tujuan menambahkan kegembiraan dalam kalangan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Nik Maheran berkata selain menyediakan prasarana yang lebih kondusif kepada pesakit kanak-kanak program itu merupakan sebahagian usaha memperkasakan hubungan UMK dengan masyarakat. 

hrpz6

Published in Latest News

Oleh: Aiman Syazwan   Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) meneruskan usaha mewujudkan jaringan persefahaman di peringkat antarabangsa dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Pendidikan Shafiyyatul Amaliyyah (YPSA) daripada Medan, Indonesia.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed dan Pengerusi Umum YPSA, YBrs. Pn. Hj. Rahmawaty Sofyan Raz di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 6 Oktober 2015.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, kepakaran dan pengalaman UMK dalam pendidikan keusahawanan telah mendapat pengiktirafan daripada institusi tempatan dan antarabangsa khususnya dalam menyediakan latihan serta membangunkan penyelidikan keusahawanan.

 “YPSA ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan dengan misi untuk menggalakkan modal insan dan kepimpinan dengan peningkatan peluang pendidikan kepada pelajar-pelajarnya.

“Ini merupakan sumbangan positif kepada perkembangan dan pembangunan masyarakat dan kita bersedia menerima pelajar YPSA untuk meneruskan pengajian di UMK,” katanya pada majlis tersebut.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Mohd. Hassan Bin Mohd. Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abd. Aziz bin Ab. Latif, Pendaftar UMK, YBrs. En. Pauzi bin Pak Chu dan Pemangku Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat, YBrs. Pn. Hjh. Thana binti Abdullah.

Sementara itu, Pn. Hj. Rahmawaty berkata, kerjasama ini adalah satu pengalaman yang membanggakan kerana ia merupakan usahasama pendidikan serumpun yang perlu ditingkatkan secara lebih meluas antara kedua-dua buah negara.

 “YPSA berusaha untuk meluaskan kerjasama akademik dengan institusi pendidikan lain dan berharap kerjasama dengan UMK ini membuka peluang pertukaran pelajar dan membolehkan tenaga pengajar YPSA menjalankan penyelidikan.

“Kerjasama ini membuka peluang ke arah usaha sama yang lebih luas khususnya program pengajian 2 + 2 yang ditawarkan UMK,” katanya.

Beliau menyifatkan UMK tidak ubah seperti sebuah taman tema Disneyland kerana reka bentuk bangunan dan seni binanya yang unik.

“Ini adalah kali pertama pihak YPSA menjejak kaki ke UMK dan kami terpegun dengan keunikan seni bina bangunan dan persekitaran universiti yang unik dan istimewa,” katanya yang mengetuai rombongan seramai lima orang.

Rombongan tersebut turut dibawa melawat kampus Bachok.

 

Published in Latest News

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) mahu semua Universiti Awam (UA)  mempunyai kaedah perancangan yang baik dalam menguruskan projek pembangunan supaya rekabentuknya lebih praktikal dan ikonik serta disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Setiausaha (KSU) KPT, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, berkata, setiap projek binaan di universiti perlu lebih pratikal dan mengikut kriteria yang boleh menjadi ikon kepada institusi masing-masing.

Katanya, rekabentuk bangunan itu tidak semestinya melibatkan kos yang tinggi.

“Setiap projek pembangunan juga perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat, keadaan sempurna dan dapat digunakan sebaik-baiknya.

“Terdapat banyak projek pembangunan di UA tetapi sebahagian reka bentuk bangunan tidak menepati kriteria atau ikonik yang boleh diiktiraf sebagai The Best Building of The Year,” katanya ketika sesi pembentangan laporan kemajuan Projek Pembangunan RMK-10 UMK sempena lawatan beliau ke UMK Kampus Kota dan Bachok, minggu lepas.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, YBhg. Dato’ Mahamed bin Hussain, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ibrahim bin Che Omar dan Pengarah Pusat Pembangunan Infra Dan Perkhidmatan, YBrs. Tn. Hj. Mohd. Nor bin Jaafar.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan terkini kemajuan 14 projek pembangunan fizikal bernilai RM180 juta di UMK Kampus Bachok, Jeli dan Pengkalan Chepa.

Antara projek pembangunan dibawah RMK10 itu adalah Bangunan Pejabat Canselori, Kompleks Akademik dan Dewan Utama, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Bangunan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, Pusat Islam dan Fakulti Perubatan Veterinar.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini, berharap segala projek RMK10 yang telah dicadangkan oleh UMK dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. 

Sementara itu, menurut beliau pihak KPT telah menyediakan playbook atau garis panduan yang lengkap mengenai pemantapan tadbir urus universiti yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Ogos lalu.

Menurut Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini, playbook tersebut menggariskan tindakan, peranan lembaga pengurusan universiti, peranan naib canselor dan kerajaan.

Playbook yang dilancarkan itu membentangkan governance untuk universiti dan bagaimana untuk dilaksanakan,” katanya.  

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada UMK bagi pembelian buku-buku dan sumber rujukan ilmiah untuk keperluan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI).

Peruntukan ini adalah bagi membantu dan memulihkan semula PPI yang terlibat dengan banjir pada Disember 2014.

PPI juga telah diiktiraf melaksanakan sistem pengurusan kualiti dan menerima pensijilan ISO 9001:2008 Asset Management Systems – Requirements (Skop Pensijilan – Pengurusan Perpustakaan) pada Julai 2015.

Published in Latest News

HOT TOPIC