A- A A+
logoumkmerdeka2017

Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Bahagian Islam dan Pembangunan Nilai (BIPeN) dan Masjid Ar-Rahman, Mukim Guntong, Limbat Pasir Tumbuh, Kelantan, telah menganjurkan ”Kursus Pembangunan Keusahawanan Modal Insan dan Pengurusan Jenazah’.

Menurut Pensyarah Kanan PBI, Dr. Mohd Nawi Ismail, penganjuran program ini adalah bertujuan bagi mewujudkan sebuah medium tarbiah untuk pembangunan keusahawan modal insan berkaitan pembinaan akhlak, sahsiah dan moral.

Katanya, dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran masa kini umat Islam peril diberi pendedahan awal kepada peserta mengenai fardhu kifayah khususnya berkaitan pengurusan jenazah yang sepatutnya di ketahui oleh semua umat Islam.

“Selain itu para peserta yang menyertai kursus ini berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan lain-lain hal yang berkaitan.

“Seramai lebih 200 peserta dari kalangan pelajar UMK dan komuniti masyarakat setempat hadir mengikuti kursus ini untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada umat Islam tentang cara pengurusan jenazah yang betul jika berlaku kematian,” katanya.

Kursus sehari itu  telah dirasmikan oleh Pengarah PBI, Dr. Mohd Zain Bin Mubarak.

Dalam pada itu, sebanyak tiga slot diadakan iaitu slot pertama ceramah berkaitan ’Ambang Kematian’ yang disampaikan oleh Dr. Burhan Che Daud, Pensyarah kanan UMK, slot kedua ceramah berkaitan ”Pembangunan Keusahawan Modal Insan” oleh Dr. Mohd. Nawi.

Manakala slot pengurusan jenazah kendalikan oleh Pegawai Agama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan selaku -Imam 1 Masjid Teliput Kota Bharu tentang urusan praktikal memandi, menkafan serta mengebumikan jenazah.

Tambah Dr. Mohd Nawi, program ini juga dapat membantu komuniti setempat dari sudut pemerkasaan keusahawanan modal insan dapat diteruskan daripada semasa ke semasa.

Published in Latest News

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menjadi tuan rumah bagi penerangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah bertujuan untuk maklum balas daripada sesi penerangan mengenai TPPA yang dijalankan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kefahaman mengenai perjanjian itu.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, kerajaan Pusat sedang memperbanyakkan siri penerangan mengenai TPPA mulai Januari tahun depan yang bertujuan untuk memberi gambaran jelas kepada masyarakat.

Katanya, sesi penerangan secara berterusan perlu bagi memastikan semua pihak khususnya penduduk kampung memahami kepentingan perjanjian itu.

"Kita menerima pelbagai kritikan dan kebimbangan mengenai TPPA, terutamanya penduduk kampung. Justeru, kita akan mendapatkan lebih ramai tokoh akademik dan pemimpin masyarakat untuk memberi penerangan kepada mereka.

 "Tidak dinafikan masih ada yang menentang TPPA kerana mereka tidak mendapat maklumat secukupnya, sekali gus mudah mempercayai dakwaan yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

 "Bagaimanapun, selepas kita menjalankan siri penerangan, penentangan semakin berkurangan. Ini kerana apa yang mereka bimbangkan mengenai TPPA bukan seperti disangkakan yang jelas membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini," katanya pada  sesi  taklimat mengenai TPPA di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada Disember baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Dato’ Makhtar Mustapha,  Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Abdul Aziz Abdullah Mustapa, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr.  Mohd. Hassan  Mohd. Osman  dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Abdul Aziz Ab Latif.

Katanya, pada masa sama, pihaknya menggandakan sesi penerangan TPPA kepada golongan akademik, profesional, pelajar institusi pengajian tinggi, usahawan dan penjawat awam.

Tambah Dato’ Sri Mustapa, sesi penerangan mengenai TPPA yang dijalankan dari semasa ke semasa mendapati semakin ramai memahami mengenai perjanjian itu dan bantahan terhadap pelaksanaan TPPA juga semakin berkurangan.

Katanya, tokoh akademik dan tokoh industri juga akan diminta membantu kerajaan memberi penerangan mengenai perjanjian itu kepada rakyat.

“Pihaknya juga sudah berjumpa dengan Majlis Profesor Negara untuk memohon bantuan mereka dalam memberi penerangan kepada masyarakat, khususnya golongan elit dan akademik,” ujar beliau lagi.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syawan   Foto : Al Azam Razi

UMAT Islam seharusnya perlu bersatu padu berpandukan kepada ajaran agama selain berusaha mengekalkan penyatuan supaya tidak berlaku perpecahan.

Sultan Kelantan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V, bertitah, dasar pendidikan ilmu berasaskan al-Quran dan sunnah berupaya membangunkan masyarakat seterusnya negara tanpa sebarang perbalahan dan persengketaan.

Titah baginda, Allah SWT telah meletakkan al-Quran sebagai asas penyatuan dan perpaduan, sekiranya berlaku segala permasalahan dan perselisihan antara masyarakat dalam mencari jalan penyelesaiannya melalui al-Quran.

“Beta berharap semua pihak agar bersatu dan meningkatkan usaha untuk memperkasakan budaya ilmu yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kehidupan umat Islam.

“Islam terbentuk dengan asas ilmu yang berteraskan wahyu dan pencernaan akal yang didasari al-Quran dan sunnah,” titah baginda ketika majlis perasmian Wacana Keputeraan Sultan Muhammad V bertajuk Ilman (ilmu) Tonggak Perpaduan Ummah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 28 November 2015.

Turut berangkat mencemar duli, Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM), Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hadir sama, Menteri Besar, YAB. Dato’ Ahmad Yakob, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Abdullah Ya’kub, Pengarah JAHEIK, YB. Dato’ Ce Mohd Rahim Jusoh dan Naib Canselor UMK, YBhg. Dato’ Mortaza Mohamed.

Wacana3Pada program wacana itu, sebanyak lima pembentangan kertas kerja dibentangkan yang bertajuk ilman sebagai teras pendidikan ummah, kepentingan ilman dari sudut pembangunan ekonomi ummah, ilman dan kesan kepada pencegahan jenayah, ilman :panduan ke arah kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan jati diri ummah dan ilman: pemacu ke arah usahawan Da’ie.

Sementara itu, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, bertitah, pendidikan ilmu yang berteraskan Al Quran dan Sunnah perlu diperkukuhkan semula untuk peyatuan dan perpaduan umat Islam pada hari ini bagi mengembalikan semula reputasi dan kegemilangan yang tercalar.

Titah baginda, seluruh umat Islam juga perlu mempelajari, menyelidiki, serta mengupas segala bentuk ilmu yang berkaitan dengan kehidupan berasaskan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Umat Islam amat berhajat kepada tradisi ilman dalam kehidupan mereka sebagaimana ilman menjadi tradisi generasi Islam yang gemilang pada suatu ketika dahulu.

“Budaya ilman  yang membawa kepada penyatuan akidah berpaksikan atas satu syariat serta disatuni dengan keindahan akhlak Islam. Walaupun umat terdahulu pernah berselisih pendapat dalam banyak perkara namun mereka masih tetap utuh sebagai umat yang satu atas dasar ilmu dan kefahaman yang jelas terhadap Islam,” titah baginda.

Selain itu, Tengku Mahkota Kelantan juga berharap dengan umat Islam menyedari kepentingan ilmu dan kedudukannya dalam perpaduan dan pembangunan masyarakat.

Titah baginda, sifat ilman seharusnya mendasari sifat Islam dalam pelbagai sektor sama ada dalam bidang-bidang politik, pemerintahan, pentadbiran, pendidikan, budaya atau ekonomi.

“Dalam pada itu, pemuliaan kepada ilmu dan ulama serta para intelektual merupakan budaya ilman yang perlu disemarakkan dalam masyarakat dan organisasi,” titah baginda.

.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan  Foto : Al Azam Razi

TENGKU Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM), Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra menzahirkan rasa dukacita mengenai budaya di dalam masyarakat di Kelantan yang membiarkan kaum wanita iaitu isteri bekerja dan memikul tanggungjawab  mencari nafkah.

Baginda bertitah, budaya tersebut adalah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat di negeri ini dan diharapkan perkara seperti itu tidak menjadi kebiasaan dan ikutan oleh rakyat.

Titah baginda, keengganan suami memikul tanggungjawab keluar mencari nafkah dan tidak berusaha membantu meningkatkan ekonomi di dalam sesebuah keluarga adalah satu penyebab kepada masalah kemiskinan di negeri ini.

“Beta amat dukacita bahawa penyebab ini sedikit sebanyak berlaku dalam masyarakat kita satu ketika dahulu dan mudah-mudahan ia tidak berlaku lagi pada masa sekarang,” titah baginda ketika menyampaikan Titah DiRaja Isu Kemiskinan Di Negeri Kelantan di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 3 Disember 2015.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, YAB. Dato Ahmad Yakob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed.

Pada majlis tersebut, YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang juga Pro-Canselor UMK menerima sumbangan RM1 juta dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang diwakili oleh Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah selaku Presiden dan Ketua Eksekutif PNB bagi Dana Projek Penyelididkan dan Pengurusan Kemiskinan.

Tengku Mahkota Kelantan juga turut merasmikan Pesta Konvokesyen (PESKO) Ke-5 UMK 2015 berlangsung selama lima hari bermula pada 3 hingga 7 Disember 2015.

Dalam pada itu, baginda bertitah, hasil kajian menunjukkan kemiskinan di negeri ini juga berkait rapat dengan tahap pendidikan dan sektor pekerjaan yang diceburi.

Titah baginda, meskipun kadar penduduk dalam kategori miskin di negeri ini turun dari 17.8 peratus pada 2002 kepada 10.6 peratus (2004) hingga menjadi 2.7 peratus (2012) tetapi semua pihak tidak boleh berpuas hati kerana kemiskinan yang tidak diurus dengan baik akan menjurus masalah yang lebih parah.

“Sehingga tahun 2012 data merekodkan seramai 58,000 orang di Kelantan bertaraf miskin, daripada jumlah ini antara 1,800 hingga 2,500 adalah gologan miskin tegar iaitu pendapatan isi rumah adalah kurang daripada separuh (kadar) paras garis kemiskinan (PGK).

“Tahap pendidikan yang rendah serta kekurangan kemahiran menyebabkan mereka hanya mampu membuat pekerjaan yang upahnya juga rendah dan menjurus kepada kemiskinan,” titah baginda.

Justeru itu, baginda Tuanku selaku Yang Dipertua Majlis  Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)  bertitah bahawa MAIK telah menggariskan lima teras utama untuk diberi fokus dalam usaha pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di negeri ini yang merangkumi  pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan dan latihan kemahiran.

“Dalam aspek pendidikan, biasiswa khas telah disediakan untuk menghantar pelajar yang cemerlang daripada kalangan keluarga yang miskin melanjutkan pengajian di tiga buah universiti terbaik di United Kingdom (UK).

“Pada tahun lepas,dibawah skim biasiswa MAIK telah menghantar beberapa orang pelajar yang terpilih untuk dihantar ke London School of Economic, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di UK untuk melanjutkan pengajian,” titah baginda.

Baginda bertitah, menghantar pelajar-pelajar ini untuk menyambung pengajian tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan dengan cepat tetapi memberi peluang untuk mereka mencari pendapatan sendiri mengakibatkan mereka tidak miskin lagi.

Dalam pada itu, titah baginda, biasiswa juga disediakan untuk golongan yang cenderung kepada aspek kemahiran seperti penyajian makanan (F&B), teknologi maklumat dan perkhidmatan pelancongan.

“Beta difahamkan pada tahun ini tumpuan akan diberikan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada golongan miskin,” titah Tuanku.

Baginda berharap, usaha dan program pembasmian kemiskinan memerlukan paradigma baharu yang lebih komprehensif, bersepadu dan terancang untuk merawat punca sebenar serta tidak boleh lagi berorientasikan aspek ekonomi (kewangan) semata-mata.

Titah baginda, program pembasmian kemiskinan perlu menumpukan kepada dua kumpulan sasaran sekaligus iaitu golongan miskin dan golongan kaya.

“Golongan miskin perlu dibantu dari pelbagai aspek khususnya kejiwaan dan keilmuaan. Sebagai contoh, hindari budaya meminta di kalangan mereka yang pasif (hanya mengharap bantuan) atau pesimis perlu diubah hingga ke akar umbi,” titah baginda.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, berkata, UMK sentiasa berusaha dan berazam untuk membantu pihak kerajaan dan agensi berkaitan dalam menanggani isu kemiskinan di negeri Kelantan melalui sokongan daripada YTM Tengku Mahkota Kelantan.

Katanya, pihak universiti telah menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan yang dikenali sebagai Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan atau InsPEK.

“Institut ini berperanan untuk membangunkan dan formulasikan pembentukan dasar dan polisi yang berkaitan dengan panduan atau garis panduan dalam mengatasi atau membasmi kemiskinan.

“Menerusi InsPEK, pelbagai program telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti program Empower Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) di Rantau Manis, Gua Musang, yang bermatlamat untuk pembangunan sahsiah dan akademik,” katanya.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah,  UMK telah membuktikan kewujudannya dengan memberi impak positif terhadap program komuniti khususnya program Profiling, Agropolitan 3M, Empower ECER dan Sains On Wheel.

Tambah beliau, selain itu program bersifat pembangunan komuniti yang melibatkan pelajar-pelajar dari luar negara seperti Social Enterprise For Economic Development (SEED).

“Pembabitan UMK secara langsung dalam ECER juga menjadikan UMK sentiasa relevan dengan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat khususnya di Pantai Timur.

“Selain itu, UMK turut mengadakan program Sains On Wheels yang bertemakan Science In Action Inspiring The Next Scientist, Projek Profiling Kemiskinan di Kelantan, Program Empower ECER Bachok dan Jeli dan program Empowerment – Scaffolding/Pemasangan Perancah,” katanya.  

  

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley   & Aiman Syazwan    Foto : Al Azam Razi

PENUBUHAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bukan sahaja memberi fokus kepada aspek pembangunan akademik semata-mata  namun institusi ini turut mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat dengan memberi impak positif terhadap komuniti khususnya di negeri Kelantan melalui program-program yang dilaksanakan.

Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertitah, pendekatan yang diambil oleh UMK itu menjadi asas kepada universiti untuk membina keupayaan dan strategi tertentu bagi memastikan limpahan manfaat kepada masyarakat.

Baginda yang juga Pro-Canselor UMK percaya bahawa universiti itu telah membuktikan kewujudannya khususnya dalam pelaksanaan program Profiling, Agropolitan 3M, Empower ECER dan Sains On Wheel serta program bersifat pembangunan komuniti yang melibatkan pelajar-pelajar dari luar negara seperti Social Enterprise For Economic Development (SEED).

Titah Tuanku, pembabitan UMK secara langsung dalam pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur atau East Coast Economic Region (ECER) juga menjadikan UMK sentiasa relevan dengan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat khususnya di Pantai Timur.

“Malah, UMK turut terlibat dan menjadi pusat operasi, bagi program pemulihan serta penyaluran bantuan terhadap mangsa-mangsa banjir yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini.

“Beta berharap, inisiatif dan komitmen sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” titah baginda pada sidang kedua Istiadat Konvokesyen Ke-5 UMK di Kota Bharu, Kelantan, pada 6 Disember 2015.

Pada istiadat itu, seramai 441 graduan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP)  dan 31 graduan Fakulti Perubatan Veterinar menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen tersebut.

Dalam titah baginda, sesungguhnya UMK memikul amanah yang sangat besar untuk menjayakan agenda “Pendidikan Keusahawanan”.

Baginda yakin, UMK mampu melahirkan graduan yang mempunyai nilai kepimpinan, berdikari, sedia mengambil risiko, berkomunikasi secara berkesan, mempunyai jati diri yang ampuh dan nilai spiritual yang mantap.

“Graduan yang dilahirkan mampu memenuhi keperluan pekerjaan, dan mereka juga mempunyai keupayaan serta keinginan yang tinggi untuk menceburi bidang baharu sebagai usahawan, bagi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat atau sebagai  job creator,” titah baginda.

Dalam pada itu, YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, menasihatkan graduan UMK supaya tidak menghampakan harapan universiti dan ibu bapa setelah tamat pengajian kerana anda umpama permata dan duta kepada universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Beta berharap gunakanlah segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang pengajian di universiti untuk memberi khidmat bakti kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan agama,” titah Tuanku Pro-Canselor.

Dalam pada itu, baginda berpandangan, pihak UMK juga telah berusaha bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti kemudahan prasarana yang memenuhi keperluan warga universiti supaya seiring dengan pembangunan nilai dan akademik.

Baginda bertitah, selain kemudahan dan pembangunan infrastruktur di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Kota, Kampus Jeli dan Kampus Bachok, aspek pembelajaran dan pengajaran secara maya turut diberi penekanan bagi memastikan UMK terus releven dengan arus pendidikan terkini.

“Sebagai contoh, aplikasi My-edu Online Learning dan Massive Online Open Courses (MOOC) telah menjadikan sistem pembelajaran dan pengajaran semakin efektif dan menarik minat mahasiswa," titah baginda.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley & Aiman Syazwan    Foto : Al Azam Razi

GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Ke-5 kali ini dinasihatkan supaya menjadi anak yang bertanggungjawab dan tidak melupakan jasa serta pengorbanan kedua ibu bapa yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan yang diperoleh hari ini.

Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed berkata, majlis hari ini menjadi bukti kepada usaha ibu bapa yang tidak pernah jemu mendidik graduan dan mencurah kasih sayang selama ini.

Beliau berkata, kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan ibu bapa dan keluarga dalam membantu para graduan sehingga berjaya perlu dibalas dengan penghargaan yang setimpal. 

“Pastinya merekalah insan paling gembira menyaksikan kejayaan anak mereka menerima segulung ijazah selepas berpenat lelah dan bergelumang dengan cabaran mendapatkan ilmu sepanjang tiga hingga lima tahun,” katanya pada Istiadat Konvokesyen ke-5 UMK di Kota Bharu, Kelantan, pada 5 Disember 2015. 

Pada majlis itu, UMK meraikan 1,063 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen yang berlangsung sebanyak lima sidang bermula 5 hingga 7 Disember 2015.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, daripada jumlah itu, tiga graduan adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah, 19 graduan Ijazah Sarjana, 59 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 982 graduan Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, seramai 20 graduan Ijazah Sarjana Muda turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik UMK diatas pencapaian cemerlang dalam bidang dan kategori masing-masing. Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V selaku Tuanku Canselor UMK.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, UMK  merupakan universiti keusahawanan yang meletakkan agenda keusahawanan sebagai teras utama visi dan misi universiti.

Justeru itu, beliau berkata, dalam menerajui agenda keusahawanan negara UMK telah melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan untuk memastikan kewujudannya sentiasa relevan dan berdaya saing dalam arus pendidikan negara dan global.

Katanya, dalam usaha mencapai status autonomi  UMK telah mempersiapkan diri ke arah itu untuk membolehkan universiti bergerak lebih pantas dalam mencapai kecemerlangan.

“Hasrat ini memerlukan sokongan warga UMK yang komited dan kompeten bagi menggerakan program akademik yang terbaik dan membentuk sistem kerja yang lebih agresif, dinamik dan berdaya saing.

“Ini adalah berasaskan kepada pencapaian Pulangan Pelaburan (Return of Invesment) dan Key Performance Indicator (KPI) yang dipandu oleh budaya kerja berprestasi tinggi,” katanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan bahawa bilangan enrolmen pelajar UMK pada masa ini ialah seramai 9,042 pelajar pra-siswazah di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Kota, Bachok dan Jeli.

Beliau berkata, manakala enrolmen pelajar pasca siswazah mencatakan jumlah seramai 338 orang.

“Dalam usaha memastikan kualiti akademik cemerlang, semua program pengajian yang ditawarkan akan dipastikan mengikut piawai dan standard yang telah ditetapkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sehingga kini, 10 program Ijazah Sarjana Muda UMK dan kesemua program pasca siswazah mod penyelidikan telah mendapat pengiktirafan pengakreditasian penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualification Agency (MQA),” ujarnya.


KonvoSidangKetiga4Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, dari segi kebolehpasaran graduan atau Graduate Employability, UMK telah menunjukkan suatu pencapaian yang boleh dibanggakan apabila 72 peratus graduan pada tahun 2014 telah memperoleh pekerjaan.

Beliau berkata, daripada peratusan itu terdapat juga graduan yang menjadi usahawan atau menguruskan perniagaan sendiri.

“Manakala, pecahan sektor pekerjaan graduan pula melibatkan 76 peratus sektor swasta dan multinasional, 8 peratus sektor kerajaan, 5 peratus sektor GLC dan selebihnya 11 peratus dalam sektor-sektor lain,” katanya.

Tambah beliau, pada tahun ini juga UMK dipilih antara universiti awam sebagai perintis sistem penilaian pelajar baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA).

“Ini merujuk kepada penilaian aspek akademik dan kemahiran insaniah bertujuan untuk melahirkan graduan yang holistik, mempunyai ciri keusahawanan yang seimbang dan sesuai dengan kehendak majikan.

“Seramai 39 mahasiswa Fakulti Sains Bumi (FSB) dipilih sebagai pelajar perintis pelaksanaan iCGPA itu,” jelas beliau.

Prof. Dato’ Dr. Mortaza turut memberitahun bahawa sejak tahun 2013 hingga 2015 , UMK telah memperoleh sebanyak 210 geran penyelidikan yang bernilai RM23 juta.

Dalam pada itu, UMK telah berjaya mendapat 32 anugerah di peringkat antarabangsa seperti International Ivention and Innovation Exhibition (ITEX),  Malaysia Technology Expo (MTE), Bio Malaysia dan PENCIPTA.

“Selain itu, UMK turut melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa melalui koloborasi jaringan dengan beberapa universiti di peringkat ASEAN, Kazakhstan, China, Jepun, Timur Tengah, India, Australia dan Eropah.

“Bagi memantapkan aspek pendidikan keusahawanan, UMK juga mengambil pendekatan melaksanakan model keusahawanan di universiti seperti University of Montdregon di Sepanyol, Babson College di Amerika Syarikat dan Asia.

“Sehingga kini, UMK telah mempunyai seramai 78 pelajar antarabangsa dalam program sarjana muda dan pasca siswazah dari pelbagai negara seperti Afrika Selatan, Iraq, Yaman, Libya, Nigeria, Uzbekistan, Thailand, Kemboja, China, India, Bangladesh dan Pakistan,” katanya.

Published in Latest News
Halaman 1 dari 2

HOT TOPIC