A- A A+
logoumkmerdeka2017

FESTIVAL Maghi Gegar UMK 2015 menjadi platform dalam usaha Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memacu kecemerlangan bagi melahirkan graduan usahawan yang berminat menceburi bidang perniagaan melalui pengalaman dalam bidang keusahawanan.

Justeru itu, selaku universiti beteraskan keusahawanan, program yang berkonsepkan hari terbuka dengan tema Back To School anjuran Fakulti Keusahawanan Perniagaan (FKP) telah berlangsung dengan jayanya di Kolej Kediaman UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, selama tiga (3) hari bermula 7 Mei sehingga 09 Mei 2015.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),YBhg. Prof. Abd. Aziz bin Ab Latif berkata, festival maghi gegar UMK adalah antara usaha universiti untuk mengentengahkan nilai-nilai dan ciri-ciri keusahawanan di dalam diri mahasiswa/mahasiswi.

Beliau berkata, melalui program ini, nilai-nilai keusahawanan dapat di terapkan dalam diri pelajar-pelajar UMK dan secara tidak langsung dapat menyemai minat mereka secara serius untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan yang dianjurkan.

“Program seperti ini akan memberi pendedahan kepada pelajar khususnya tentang dunia pengurusan dan kepimpinan yang berkesan serta melahirkan individu yang berpotensi dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Penutup Maghi Gegar UMK 2015.

Tambah beliau, program ini juga bermatlamatkan  usaha UMK mempromosikan universiti ini sebagai salah sebuah destinasi Universiti Awam (UA) yang menjadi pilihan pelajar.

“Festival ini juga memainkan peranan penting dalam membangunkan sahsiah diri pelajar khususnya dalam pengurusan kepimpinan dan penyelenggaraan dalam menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Menurut Penasihat Program Maghi Gegar UMK 2015, En. Fauzan Hafiz bin Muhammad Safri, berkata, program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan membawa konsep hari terbuka.

Katanya, program ini menjadi ruang interaksi yang meluas di antara warga UMK, usahawan dan pengunjung yang berada di tapak karnival.

“Alhamdulillah, program ini menepati sasaran dan objektif penganjuran iaitu bagi melahirkan pelajar – pelajar yang berpengalaman dari aspek keusahawanan dan rata-rata pelajar sangat teruja serta berpuas hati sepanjang 3 hari program ini berlangsung,” jelas beliau.

Kebanyakan pelajar dan peniaga kecil-kecilan dari luar mengambil peluang berniaga meliputi jualan makanan dan minuman, pakaian, buku-buku terpakai dan dianggarkan 39 buah gerai telah dibuka sepanjang program tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya pameran dari setiap wakil kursus, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, sukan, Running Man UMK, Ceramah, Colour Runs & Colours Run Mini Concert dan Pameran dari Kelantan Motorbike Club.

Selain gerai jualan yang mendapat sambutan, Colours Runs & Colours Run Mini Concert merupakan program utama dan terbesar sepanjang program ini kerana dapat mengumpulkan pelbagai golongan serta kaum untuk menyertai larian warna warni dan secara tidak langsung menyokong serta mengaplikasikan konsep 1Malaysia.

Published in Latest News

PROGRAM Khidmat Komuniti Perdana:Pendidikan Teras Kemajuan Negara anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Puteh, Kelantan, diadakan seiring dengan misi dan visi universiti dalam usaha memasyarakatkan universiti, memacu kecemerlangan melalui pendidikan dan pembudayaan ilmu di dalam masyarakat.

Selain itu, UMK turut dipertanggungjawabkan untuk memperkayakan budaya melalui warisan serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai nilai kesenian dan warisan yang terdapat di Negeri Kelantan.

Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr’ Mortaza bin Mohamed berkata, adalah menjadi hasrat dan harapan kami hubungan menerusi kerjasama strategik ini antara UMK dan SMK Gaal akan berterusan melalui program-program seperti ini.

Beliau berkata, SMK Gaal telah dipilih sebagai sekolah angkat UMK berdasarkan kepada potensi SMK Gaal yang sememangnya mempunyai keunikan tersendiri serta dapat berkembang maju dalam pendidikan dan percambahan ilmu.

“Melalui kerjasama dan melibatkan kepakaran yang dimiliki oleh UMK ini juga dapat meningkatkan impak lagi aktiviti sosioekonomi dan kemasyarakatan komuniti di sekitar Gaal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Program Khidmat Komuniti Perdana : Pendidikan Teras Kemajuan Negara dan Program Transformasi Pusat Sumber, anjuran bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Perpustakaan & Pengurusan Ilmu UMK dan Persatuan Ibubapa & Guru SMK Gaal, di SMK Gaal, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh merangkap ADUN Semerak; YB. Zawawi bin Othman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Abdul Aziz bin Ab. Latif, Pengetua SMK Gaal, Pasir Puteh,YBrs. Tn. Hj. Zawawi bin Ali dan Ketua Pustakawan UMK, YBrs. En. Azman bin Hashim.

Program Khidmat Komuniti Perdana ini telah disertai oleh seramai 180 orang pelajar UMK (Kampus Bachok, Kampus Kota dan Kampus Jeli) dan penglibatan seramai 80 keluarga angkat yang mempunyai anak di tingkatan tiga (3) dan tingkatan lima (5).

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, objektif utama penganjuran program ini sebenarnya untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa/mahasiswi di dalam menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat di samping menyumbangkan khidmat bakti serta kepakaran yang mereka miliki.

Jelas beliau, secara tidak langsung program ini memberi peluang kepada mahasiswa/mahasiswi UMK untuk membantu pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah untuk mempertingkatkan tahap pendidikan dan mutu pendidikan pelajar sekolah dengan perkongsian kaedah pembelajaran yang dilaksanakan di peringkat universiti.

“Memberikan kemahiran kepada golongan yang berminat bagi memastikan seni budaya dan warisan dengan memperkenalkan seni warisan asli yang diwujudkan oleh pihak sekolah iaitu seni ukiran gasing (ukiran kayu dan logam) kepada mahasiswa, dalam usaha memartabatkan warisan asli Negara.

“Projek Dokumentasi Gasing Tradisi ini akan melibatkan kepakaran dokumentasi bahan sejarah oleh UMK dan sumber rujukan utama adalah mereka yang terlibat secara langsung dalam Seni Permainan Tradisi Gasing ini,” ujarnya

Selain itu, program memastikan kepakaran yang terdapat di UMK dapat disalurkan kepada golongan sasaran tertentu melalui kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan yang tertentu.

Pada masa yang sama dapat memberi motivasi dan sokongan kepada golongan pelajar samada di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Sementara itu, pada majlis sama Prof. Dato’ Dr. Mortaza turut menyempurnakan perasmian Pusat Sumber SMK Gaal melalui Program Transformasi Pusat Sumber oleh Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK.

Menurut En. Azman, pihak Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu sentiasa mencari peluang dan ruang bagi membantu sekolah-sekolah yang terdapat di Kelantan melalui Program Transformasi Pusat Sumber.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak tiga buah sekolah telah dipilih menyertai program ini dan SMK Gaal adalah yang baharu ditranformasikan dan pihak kami berhasrat untuk melaksanakan program seumpamanya di beberapa lokasi di seluruh negeri kelantan.

“Kerjasama antara UMK dan SMK Gaal tercetus sejak hampir setahun yang lalu bagi melaksanakan Projek Transformasi Pusat Sumber SMK Gaal,” katanya.

Tambah En Azman, pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan sepanjang setahun bersama SMK Gaal melalui lima siri Pemantapan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah, Bengkel Pustakawan Muda, Projek Transformasi PSS, dan beberapa sesi konsultasi pengurusan pusat sumber.

Katanya, melalui program ini, UMK menyalurkan bantuan bagi memberi nafas baharu kepada perpustakaan sekolah tersebut dengan melalui peruntukan untuk susun atur perabot, sistem komputer, khidmat nasihat pengurusan perpustakaan dan sebagainya

“Bukan itu sahaja, pada masa yang sama Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK telah mengambil peluang bagi mendokumentasikan satu cabang warisan tradisi yang jarang didendangkan iaitu seni tradisi Gasing Uri yang menjadi kebanggaan masyarakat Kelantan khususnya di Gaal,” beritahu beliau.

Published in Latest News

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) berhasrat untuk memperluaskan lagi hubungan dan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan memberi keutamaan dalam program pengajian akademik  dan skop universiti bagi mencapai universiti berstatus autonomi.

Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed, berkata, hubungan dan kerjasama ini adalah daripada susulan kunjungan hormat delegasi pengurusan tertinggi UNIMAS ke UMK dan hubungan baik yang telah wujud antara kedua-dua universiti sebelum ini.

Beliau berkata, UNIMAS merupakan universiti awam (UA) ke-8 yang diberi status autonomi dan ini memberi lebih ruang dan peluang kepada UMK berhubung perkongsian pelaksanaan status autonomi dalam aspek tadbir urus kepada universiti.

“Kami daripada pihak UMK amat berbesar hati dengan kunjungan delegasi daripada Bumi Kenyalang ini dalam meningkatkan hubungan strategik di antara kedua-dua buah universiti dalam meneroka bidang penyelidikan baharu yang dapat diusaha bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Kerja Lembaga Pengarah Universiti dan Jawatankuasa Eksekutif (JKE) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke UMK, bertempat di Bilik Mesyuarat Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.

Lawatan selama dua  hari delegasi UNIMAS itu diketuai oleh Pengerusi LPU UNIMAS, YBhg. Datu Dr. Hatta Sothi, Ahli LPU, YBhg. Datu Hjh. Jabidah Monsari,  YBrs. Dr. Hj. Mohammad Ritom Abdullah, YBrs. En. Micheal Wong Sing dan Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Mohd Fadzil Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Kopli Bujang, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim dan Bendahari, YBrs. Tn. Hj. Mazlan Kiflie.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, dalam aspek hubungan UMK dan UNIMAS telah lama wujud khususnya diatas keperihatinan dalam memberi bantuan dan sokongan kepada universiti ini dalam menghadapi musibah banjir pada tahun 2014.

Tambah beliau, keperihatinan itu  amat kami hargai dan hari ini UNIMAS sekali lagi hadir  ke UMK Kampus Kota untuk sama- sama berkongsi pengalaman sebagai sebuah universiti awam yang ada di Sarawak yang terkenal di mana biodiversiti dan warisannya yang amat tinggi.

“Saya percaya banyak perkara yang ingin dan dapat di kongsikan bersama membolehkan kedua-dua pihak berbincang untuk mengadakan kerjasama dalam menyediakan pelbagai program dan aktiviti  serta dapat bertukar-tukar pandangan mengenai pengurusan universiti masing-masing,” jelasnya.

Dalam ucapan balas, Datu Dr. Hatta menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada UMK kerana sudi menerima kunjungan UNIMAS dan menjadi tuan rumah pada majlis makan malam yang diserikan dengan makanan Melayu Kelantan dan persembahan tarian Menghadap Rebab serta Mak Yong.

Beliau berkata, objektif utama kunjungan ini yang merupakan kunjungan kali kedua ke UMK oleh delegasi daripada LPU dan pengurusan tinggi UNIMAS selepas berkunjung ke beberapa universiti awam lain seperti  Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia. 

Selain itu, tujuan lawatan tersebut adalah untuk menjalinkan hubungan silaturrahim serta berkongsi pengalaman dan maklumat di dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Menerusi hasil perkongsian itu juga nanti diharap akan menjadi garis panduan kepada Amalan Terbaik (Best Practice) di antara UNIMAS dan UMK,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Kadim, hasil  usahasama dan lawatan yang terjalin ini membolehkan kedua-dua universiti dapat bertukar pengalaman, pendapat serta idea pentadbiran dan pengurusan UMK yang menyasarkan untuk mencapai sebuah universiti berstatus autonomi.

“Melalui kerjasama ini juga, kedua-dua universiti berhasrat untuk mewujudkan hubungan kerjasama strategik dan program pertukaran pelajar dalam pelaksanaan pelbagai program pengembangan ilmu dan peningkatan kualiti pendidikan.

“Pada masa yang sama, UMK dan Kelantan memiliki tarikan tersendiri,” jelas beliau lagi.

 

Published in Latest News

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) cipta kejutan pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-26 (ITEX 2015), menerusi produk inovasi Corm Nursery Technique For Mass Propagation of Banana Seedlings (version 2) atau Com-Tech 2.0, apabila merangkul anugerah Gold Medal dan turut menerima anugerah Malaysia Innovative Product Award 2015.

Produk penyelidikan dan inovasi UMK bertajuk Com-Tech 2.0 adalah kaedah baharu pembiakbakaan anak benih pokok pisang  daripada kajian awal Com Nursery Technique (version 1), yang telah diberi penambahbaikan oleh kumpulan penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), UMK yang diketuai oleh En. Ahmad Yusuf bin Mohd Kamil, En. Wong Kah Fei, Dr. Fatimah Kayat, dibawah bimbingan Dr. Suhaimi bin Othman.

Turut menyumbang pingat emas ialah produk hasil kreativiti dan inovasi pereka di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), En. Muhammad Najibul Muthiie bin Che Yaacob yang berjaya mencipta alat senaman yang dikenali sebagai Creative Exercise Kit.

Pada majlis itu, secara keseluruhan UMK  memperolehi dua pingat emas, sembilan pingat perak dan satu pingat gangsa pada majlis Malam Budaya Cipta sempena  ITEX 2015 yang telah disempurnakan  oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada 22 Mei 2015.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, YB. P. Kamalanathan dan Presiden Persatuan Reka Bentuk dan Reka Cipta Malaysia (MINDS), YBhg. Tan Sri Dr. Augustine Ong.

Produk Com –Tech 2.0, sebelum ini pernah merangkul Gold Medal pada ITEX 2014 dan  pameran Pharma+Bio Manufacturing 2014 dan Biotechnology Asia 2014.

Manakala pingat perak disumbangkan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar menerusi produk  produk Natural Fruit Vinegar dan produk aplikasi telefon mudah alih bertajuk Teman Kembara  hasil ciptaan Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FTKW, YBrs. En. Ahamad Tarmizi bin Azizan.

Seterusnya menerusi produk Inovation of Enviromen Pollutant & Allergic Weed, Pathenium Hysterophorus (Prof. Dr. Sarker Mohamad Rezaul Karim), produk Bio Composite Particle Board (BioPab) From Oil Palm Fronds Mixture With Kenaf Bast Fibers (En. Mohd. Sukhairi bin Mat Rasat), produk Thermal Interface Material Made of Nano-Carbon Tube Embaded With Graphine (En. Mazlan bin Mohamed) dan produk GMS Adhesive (Dr. Mohd Hazim bin Mohd Amini).

Selain itu, produk Microwave Char From Mill’s Waste (En. Muhammad Iqbal Ahmad), produk Potential of Self Disruptive Bio-Polymer Film Using Waste Banana Peel For Agricultural Application (Cik Nik Alnur binti Nik Yusuf) dan produk TisC – Tech (En. Wong Kah Fei dan Dr. Suhaimi bin Othman@Osman).

Sementara itu, pingat gangsa disumbangkan menerusi produk Ubi Sepikul atau Fine-E: The Under – Explored Cassava oleh Dr. Suhaimi bin Othman dan En. Ahmad Yusuf bin Mohd Kamil.

Pada tahun ini, lebih 1,000 pempamer daripada 21 buah negara menyertai pameran ITEX 2015 yang diadakan bermula pada 21 Mei hingga 23 Mei 2015.

Pameran itu mempamerkan 23 kategori, antaranya aeroangkasa, bioteknologi, alam sekitar dan proses pembuatan.

Pameran ITEX 2015 turut membabitkan pereka muda yang bertanding untuk Anugerah Pameran Pereka Cipta Muda Malaysia dan Anugerah Pameran Pereka Cipta Muda Asia.

Menurut En. Ahmad Yusuf, projek Com-Tech 2.0 (Corm Nursery Technique For Mass Propagation of Banana Seedlings) adalah projek penyelidikan yang telah dimulakan pada April 2014 dibawah seliaan Pensyarah Kanan, Dr. Suhaimi untuk pengeluaran anak benih pisang secara mudah, ringkas dan berkos rendah untuk membantu petani berskala kecil.

Beliau berkata, penyelidikan dan pengeluaran anak pisang yang pertama melalui  teknik umbisi (Corm Technique) ini telah dimulakan oleh UMK sejak tahun 2012 dan diberi penambahbaikan pada 2014.

 “Projek Com Tech 2.0 ini telah berjaya merangsangkan dan meningkatkan pertumbuhan menghasilkan anak benih dengan jumlah kuantiti yang tinggi, mudah, berkualiti dan tempoh yang singkat untuk memberi kemudahan petani kecil untuik membeli anak benih dengan kos yang mahal.

“Teknik ini ringkas dan mudah serta murah untuk membantu petani menghasilkan anak benih sendiri dan boleh menjana pendapatan dengan menjadi usahawan nurseri,” katanya .

Dalam pada itu, Mohd Najibul Muthiee, berkata, produk Creative Exercise Kit ialah produk yang diterjemahkan oleh beliau sendiri dan kumpulan penyelidik FTKW berdasarkan idea oleh Dekannya, YBhg. Prof. Madya Abdul Aziz bin Shuaib.

Jelas beliau, idea untuk menghasilkan alamat senaman ini adalah berdasarkan daripada kajian mendapati setiap pergerakan anggota badan manusia yang berlawanan iaitu dari arah kiri ke memberi kesan dan merangsangkan minda menjadi kreatif.

“Alat ini dihasilkan untuk memaksa pergerakan manusia berlaku secara berlawanan dengan pergerakan normal dan alat ini boleh membantu manusia melakukan pergerakan di luar kebiasaan manusia,” katanya.

Katanya, penggunaan alat senaman ini “mudah dibawa kemana-mana sahaja  dan boleh  digunakan oleh sesiapa sahaja guna dalam dua posisi iaitu untuk pergerakan bahagian kaki dan pergerakan tangan.

“Tujuan utama produk kami ialah dihasilkan membantu manusia melakukan pergerakan diluar kebiasaan berdasarkan kajian oleh tokoh mendapati bahawa untuk menjana pemikiran kreatif perlu melakakukan pergerakan secara abnormal,” jelas beliau lagi.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley  Foto : Abdul Halim Hafiz Abdul Aziz & Mohd Hafriez Aiman Ibrahim

PENGALAMAN menjejakkan kaki ke perkampungan orang asli di Kampung Redip, Pos Hau,  yang terletak kira-kira 56 kilometer daripada bandar Gua Musang, Kelantan, adalah sesuatu pengalaman paling bermakna bagi 50 pelajar yang terdiri daripada mahasiswa/i Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan murid Sekolah Kebangsaan Kuala Betis.

Malah, peluang menjayakan program Eksplorasi Seni Budaya 2015 selama empat hari tiga malam, pada 11 hingga 14 Mei 2015 , turut menjadi kenangan indah dan manis sepanjang hayat mereka.

Lebih menariknya, perjalanan masuk ke Kampung Redip peserta bukan sahaja diuji dengan laluan ekstrem malah peserta terpaksa merentasi jalan tidak berturap  (off road)  serta berlopak malah dengan perjalanan sejauh itu memakan masa lebih kurang hampir dua jam.

Masih segar dalam ingatan, para peserta juga terpaksa mengharungi laluan berkerikil, berbatu, berlubang dan bertembung dengan sekumpulan lori balak yang keluar masuk sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal perserta sebelum tiba ke destinasi yang dituju.

Laluan perjalanan yang mencabar itu juga melambatkan pergerakan ekspedisi kami dengan menggunakan pacuan empat roda (4x4) dengan had laju purata hanya 30 kilometer sejam.

Namun, perjalanan dua jam itu sedikit terubat apabila kami disajikan dengan  keindahan alam semulajadi dan suasana ketenangan air terjun sebaik sahaja kami tiba di lokasi.

Demikian antara cabaran yang terpaksa ditempuhi peserta yang menyertai program Eksplorasi Budaya 2015 anjuran Unit Kesenian dan Kebudayaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

Program ini turut mendapat kerjasama SK Kuala Betis, Syarikat Seru 9 Sdn Bhd, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Gua Musang.

Menurut Pengarah Program Eksplorasi Seni Budaya 2015, YM Raja Fadhilah binti Raja Ahmad, program ini  menjadi platform kepada peserta dikalangan pencinta seni menonjolkan bakat dan kreativiti daripada pelbagai cabang seni untuk menjalankan kajian yang terperinci tentang pembuatan alat muzik tradisional untuk tujuan dokumentasi.

Beliau berkata, ini merupakan program pelopor bagi mengenengahkan bakat-bakat generasi muda mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam bidang muzik terutamanya sepanjang proses pembuatan alat muzik tersebut.

“Justeru, program ini juga bermatlamatkan untuk memberi pendedahan sebenar kepada pelajar menerokai hutan rimba untuk membentuk bakat kepimpinan, kerja berpasukan dan berkreatif secara lasak disamping dapat berinteraksi dan berkomunikasi secara lisan bersama orang asli di penempatan Kampung Redip, Pos Hau.

“Secara tidak langsung, suasana dan persekitaran di pendalaman tanpa bekalan air paip dan tenaga elektrik yang hanya bersumberkan set generator atau sel bateri basah serta tidak ada perkhidmatan komunikasi memberi peluang kepada peserta bereksprimentasi dengan alam semulajadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Eksplorasi Seni Budaya 2015, yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, YB. Abdul Aziz Yusoff, di Kampung Redip, Pos Hau, Gua Musang, Kelantan, pada 13 Mei 2015.

Hadir sama, Ketua Bahagian Kebudayaan HEP, YBrs. Dr. Wan Mohd Nazdrol bin Wan Mohd Nasir, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, YBrs. En. Sheikh Razali bin Sheikh Hamad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Gua Musang,YBrs. Norfadzlete Aryani binti Mat Rosli.

Dalam pada itu, YM Raja Fadhilah, berkata, program ini bermula dengan hari pertama peserta telah diberi pendedahan terperinci tentang proses pembuatan alat muzik dengan meneroka kawasan hutan untuk mencari bahan (kayu-kayan, buluh, rotan dan sebagainya) serta proses pembuatan bahan sehingga menghasilkan sebuah alat muzik.

Jelas beliau, para peserta pada program ini telah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar khusus daripada tokoh budaya dan Penerima Anugerah Guru Inovasi Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan,  iaitu En. Mohd Asmawi Isa, yang juga Pensyarah Seni Persembahan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan di UMK.

“Melalui bimbingan dan tenaga pengajar ini dapat mendekatkan generasi baharu dalam seni pembuatan alat muzik tradisional bersumberkan khazanah alam menerusi sesi perbengkelan yang diadakan sepanjang program tersebut.

“Pada bengkel itu, kami melakukan kajian dan penyelidikan yang menyorot secara lebih terperinci dalam proses serta tatacara pembuatan alat muzik tersebut sehingga peserta dapat menguasai kemahiran menghasilkan alat muzik yang dapat digunakan untuk persembahan kebudayaan pada malam majlis penutup program,” jelas beliau.

Raja Fadhilah menjelaskan antara peralatan muzik yang dapat dihasilkan seperti rebana, kecapi, seruling, centong, gambang buluh dan ukiran kayu hanyut.

Tambahnya, melalui kejayaan itu pihak kami dapat mendokumentasikan hasil kajian dan buku yang terhasil kelak dapat dijadikan sebagai rujukan yang berasaskan fakta untuk tatapan generasi muda.

Sementara itu,  YB. Abdul Aziz berterima kasih kepada pihak UMK dan pihak agensi kerajaan yang menyokong serta menjayakan program Eksplorasi Seni Budaya 2015 yang berlangsung di Kampung Pos Redip, Pos Hau, ini.

Menurut beliau, masyarakat di sini sememangnya terkenal dengan kemahiran dan mempunyai kreativiti bukan sahaja dalam bidang seni malah memiliki bakat seni dalam membina rumah dan pondok yang unik serta bernilai ekstetika.

Katanya, di kampung ini juga terdapat inap desa yang menyediakan tempat menginap ala rumah Orang Asli yang dibina khas untuk tarikan pelancongan bagi menyelami cara kehidupan masyarakat itu selain menikmati keindahan alam semulajadi khususnya air terjun yang masih belum dicemari.

“Kawasan Pos Hau memang cantik dan suasananya sejuk malah lokasinya juga berhampiran dengan Cameron Highlands," katanya.

Tambah YB Abdul Aziz, penubuhan rumah inap desa itu dapat merubah kehidupan dan ekonomi kaum Orang Asli selain memajukan kawasan kampung itu.

"Pihak kami dan Kesedar Travel juga merancang untuk memasukkan Pos Hau dalam kalendar pelancongan dan sebagai destinasi pelancongan yang memberi tarikan kepada pelancong luar negara serta pelajar-pelajar universiti yang boleh menjadi punca pendapatan sampingan kepada penduduk di sini,” jelasnya.

Published in Latest News

GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu berusaha merebut peluang mengaplikasikan ilmu dalam  bidang keusahawanan kreatif  yang bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada diri sendiri tetapi mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza bin Mohamed, berkata, negeri Kelantan memiliki banyak daya tarikan dan keunikan yang tersendiri yang  kaya dengan kebudayaan, kepelbagaian jenis makanan, corak kehidupan, permainan, dan sebagainya.

Beliau berkata, negeri ini juga memiliki aset besar dalam sektor seni warisan yang memberikan kelebihan berbanding negeri lain  contohnya daripada segi persembahan Mak Yong, persembahan “main teri” dan wayang kulit.

Tambah beliau, malah Kelantan juga hebat daripada hasil bumi dan kemajuan dalam bidang penternakan, yang boleh memberi peluang mencipta atau menjana pendapatan serta pekerjaan yang menguntungkan kepada penduduk di negeri ini.

“Bidang keusahawanan kreatif berasaskan seni dan warisan ini jika diceburi secara serius serta penuh komitmen mampu memberi pulangan dan pendapatan memuaskan untuk memastikan masa depan lebih cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Minggu Keusahawanan Kreatif  (CREW) 2015, di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Kelantan, pada 11 Mei 2015.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Abdul Aziz bin Ab Latif, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti), YBhg. Prof. Rosdi bin Ab Rahman Pemangku Pendaftar, YBrs. Encik Pauzi Bin Pak Chu dan Dekan FTKW, YBhg. Prof. Madya Ab. Aziz bin Shuaib.

Pada majlis itu, Naib Canselor UMK pertama, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai bin Mohamed, diberi penghormatan bagi menyampaikan ucaptama bertajuk Creative Technology and Entrepreneurship Education, dihadapan lebih 500 pelajar. 

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, UMK sentiasa memberi banyak peluang pelajarnya menceburi bidang keusahawanan dengan memiliki daya saing untuk bekerja sendiri selepas menamatkan pengajian mereka berasaskan ilmu dan kepakaran yang diperolehi sebelum ini.

Katanya, pihak universiti juga memberi kesedaran kepada pelajar untuk membina empayar  sendiri dalam dunia pekerjaan yang merangkumi persediaan awal dari aspek perancangan, strategi dan matlamat.

"Saya yakin graduan UMK mampu melakukannya dengan memanfaatkan kepakaran yang dipelajari dan tidak menganggur selepas tamat pengajian," katanya.

"Bidang Teknologi dan Warisan pula merupakan satu modal yang besar pada masa hadapan yang akan memberi kelebihan kepada graduan UMK bangkit bersaing dalam menjana ekonomi yang berskala besar sama ada di dalam atau di luar negara," katanya.

Program CREW2015 turut memberi penekanan dan galakan untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa supaya terlibat dalam aktiviti keusahawanan dan perniagaan yang lebih beretika.

Sementara itu, Prof. Madya Ab.Aziz, berkata melalui program ini dapat menyerlahkan lagi kreativiti dan inovasi warga FTKW  dan industri dalam meningkatkan imej dan halatuju FTKW berasaskan keperluan dan kehendak dalam sektor industri kreatif negara.

Beliau berharap, program CREW 2015 dapat merealisasikan hasrat FTKW untuk muncul sebagai pusat akademik yang mengeluarkan graduan-graduan dalam bidang keperluan industri kreatif negara di negara ini dan peringkat antarabangsa.

“Menerusi kerjasama strategik dengan pemain besar industri kreatif negara, FTKW mampu menjadi peneraju dan hub pendidikan keusahawanan kreatif di negara ini,” jelas beliau.

Sempena program CREW 2015, turut berlangsung Majlis Anugerah Cemerlang Dekan (MACD) yang bertujuan untuk memberi suntikan semangat serta motivasi kepada pelajar yang telah berjaya menunjukkan pencapaian yang cemerlang di dalam bidang akademik pada Semester Februari 2013/2014 dan Sesi September 2014/2015.

CREW2015 turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS), Multimedia Development Corporation (MDEC), Perdana Ekspress, Animagis Sdn.Bhd dan The Touhunter Dot Com.

Published in Latest News
Halaman 1 dari 2

HOT TOPIC