A- A A+
logoumkmerdeka2017

Oleh : Syarimie Wosley & Siti Nur Fatihah Binti Che Rostman   Foto : Al Azam Razi

SKUAD Karate Do dan Pencak Silat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertekad memberi aksi terbaik dalam usaha memburu emas dalam kedua-dua acara tersebut di Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM ) 2015 yang sedang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, bermula pada 27 Julai hingga 7 Ogos 2015.

Meskipun sasaran yang diletakkan terlalu tinggi berbanding pencapaian pada MASUM tahun lalu namun ini satu sasaran paling realistik memandangkan sukan pencak silat dan karate do antara acara sukan yang mampu menyumbang emas kepada kontingen UMK.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abdul Aziz bin Ab. Latif berkata, keyakinan itu berlandaskan kepada pencapaian terbaik kedua-dua acara sukan di beberapa kejohanan pada tahun 2014.

Beliau berkata, kontingen UMK mampu menyumbang dan meraih emas pada acara tersebut selepas dapat melihat semangat mereka (atlet) begitu berkobar-kobar pada latihan persediaan dan  majlis penyerahan bendera MASUM pada hari ini.

“Saya yakin, dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh kedua-dua acara tersebut kita sasaran pingat emas itu mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bendera Karnival MASUM 2015, di Dataran Siswa, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 27 Julai 2015.

Turut hadir, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum, YBrs. En. Mohammad Nizamuddin bin Abdul Rahim dan Ketua Unit Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, YBrs. En Wan Ahmad Khairul bin Wan Ahmad Najib.

Menurut Prof. Abdul Aziz, pencapaian terbaik atlet pencak silat UMK, Kasmaidayu binti Kamaruden, ialah pernah memenangi pingat perak dalam temasya SUKMA 2014 dan Kejohanan Silat Piala Timbalan Perdana Menteri 2014 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) itu juga pernah menerima anugerah pesilat terbaik Kejohanan Silat Piala Timbalan Perdana Menteri 2014, penerima Anugerah Atlet Terbaik MASUM 2014 dan atlet terbaik di peringkat UMK.

“Manakala, atlet Karate Do UMK, Kalaikumar a/l Vijayakumar, pernah memenangi pingat perak pada Karnival MASUM 2014 dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 serta pernah menyertai pertandingan di  peringkat antarbangsa iaitu Hayashi-ha World Championship 2012,” jelas beliau.

Sementara itu, Prof. Abdul Aziz, berkata, pada MASUM 2015 UMK telah menghantar 10 acara untuk disertai seperti bola sepak, futsal, basikal bukit, boling padang, tenpin boling dan sebagainya yang melibatkan 132 atlet dan 27 pegawai termasuk jurulatih.

Beliau berharap, atlet dapat menggunakan peluang menyertai karnival  sukan ini untuk membina sahsiah diri, membina artribut yang lebih kepada disiplin, merancang strategi, menilai kelemahan dan kekuatan diri dan kekuatan lawan.

“Melalui sukan kita dapat menghayati ciri-ciri positif sebagai seorang pelajar universiti dan yang kedua ialah dapat membina hubungan baik dan  berinteraksi antara universiti awam lain untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi kemahiran dalam sukan,” ujarnya.

Prof. Abdul Aziz juga berpendapat melalui sukan juga ibarat para atlet ini adalah red carrier atau pembawa bendera UMK yang akan membawa nama, identiti  dan imej universiti.

“Kita jangan rasa rendah diri dan tanamkan sifat dalam diri bahawa kita boleh dalam semua perkara samada dalam bidang sukan atau bidang lain sekalipun. Harapan terhadap kita pada tahun ini lebih cemerlang dan mendapat kilauan emas,” kata beliau lagi.

Published in Latest News
Khamis, 30 Julai 2015 00:00

200 USAHAWAN SME TERIMA MANFAAT PPRN

Oleh : Syarimie Wosley & Siti Nor Fatihah binti Che Rostman    Foto: Al Azam Razi

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT)  mensasarkan lebih 1000 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan projek daripada pelbagai bidang mendapat manfaat dengan menyertai programPublic-Private Research Network (PPRN) pada tahun ini.

Penolong Setiausaha KPTM, Unit Keusahawanan (Sektor Pendidikan Tinggi), YBrs. En. Abdol Razak bin Abdul Aziz, berkata, program ini bertujuan meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara melalui pendidikan bagi membantu industri berkembang dengan lebih baik.

Program yang dijalankan di bawah unit PPRN telah menjalankan kolaborasi bersama-sama dengan beberapa pusat keusahawanan di seluruh Malaysia yang terdiri daripada 20 universiti awam, Politeknik dan Kolej Komuniti.

“PPRN diwujudkan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan usahawan dengan memberi ruang kepada penggiat SME untuk menyatakan keperluan dan masalah yang dihadapi untuk dikaji oleh para penyelidik di peringkat institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Demand-Driven Innovation Project by PPRN di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada  30 Julai 2015.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Mohd. Hassan bin Mohd. Osman.

Menurut En. Abdol Razak, UMK merupakan universiti yang kedua dipilih selaku tuan rumah selepas Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi untuk menjalankan kerjasama dengan Unit Keusahawan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jelas beliau, program pada hari ini menjurus kepada industri yang bertaraf SME yang mempunyai masalah dalam produk dan perkhidmatan seperti industri berkaitan biologi, chemical, mechanical dan industri makanan serta teknologi.

“Menerusi program ini, pihak PPRN dapat menjejaki sendiri pihak industri yang berisiko dan bermasalah bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan mereka supaya boleh meningkatkan jualan, hasil pendapatan, pembayaran cukai serta meningkatkan ekonomi dalam negara.

“Berdasarkan input yang diperoleh, para penyelidik akan membuat kajian dan inovasi bertujuan mengatasi segala kekangan yang dihadapi sekali gus meningkatkan keberhasilan produk dan menjana pendapatan yang lebih tinggi,” jelasnya.

Public-Private Research Network (PPRN) telah dilancarkan pada 24 Februari 2015 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang merupakan satu model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, industri dan agensi-agensi kerajaan bagi menggalakkan program inovasi yang berasaskan permintaan dalam memacu pembangunan produktiviti dan inovasi negara.

Objektif utama PPRN adalah untuk mewujudkan Knowledge-friendly Ecosystem iaitu di mana pengetahuan dihasilkan dan disebarkan dari mereka yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran (Universiti) kepada pihak yang memerlukan pengetahuan dan kepakaran berkaitan (industri/SME).

Published in Latest News


BAGI menceriakan golongan warga emas menyambut Aidilfitri, Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan hari raya kepada 120 penguni  Rumah Seri Kenangan (RSK), Taman Seri Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 9 Julai 2015.

Sumbangan itu adalah sempena Majlis Iftar dan Solat Tarawikh Bersama Warga Penghuni RSK yang diadakan dengan kerjasama Alumni SME@UMK, Kelab PascaSiswazah UMK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hadir menyempurnakan majlis dan menyampaikan sumbangan hamper makanan dan duit raya kepada 120 penghuni SRK ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Mohd. Hassan bin Mohd. Osman.

Hadir sama, Pengarah ISME, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Dahlan bin Ibrahim, Pengerusi Alumni SME@UMK, YBrs. En. Mohd. Zufpe bin Jusoh, Pengerusi Kelab Pasca Siswazah, YM. Tengku Mohd Azizudin bin Tengku Mahmood dan Penguasa RSK Taman Seri Kemumin, YBrs. En. Wira bin Mahmood.

Menurut YBhg. Prof. Dr. Mohd Hassan, program ini merupakan sebahagian daripada agenda kerjasama dan strategi keserakanan yang ingin dilaksanakan oleh pihak UMK khususnya bersama usahawan dengan komuniti masyarakat setempat.

Beliau berharap kerjasama strategik ini tidak hanya terhenti disini malah akan diteruskan dan disusuli dengan program-program lain.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa satu lagi program berbentuk karnival akan menyusul dan dianjurkan secara kerjasama antara ISME bersama Alumni SME @UMK yang akan dijadualkan pada bulan depan,” katanya.

Prof. Dr. Mohd. Hassan berkata, majlis ini merupakan program yang mengajak kita sebagai umat Islam untuk mengeratkan ukhawah dan perpaduan dengan sesama saudara Islam.

“Alhamdullilah, kehadiran kita pada majlis ini bukan sahaja kerana kita staf UMK tetapi apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan mengajak kita tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain.

“Pihak universiti mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program pada hari ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Mohamad Dahlan berkata, koloborasi yang dilaksanakan secara sinergi antara usahawan dengan pihak universiti merupakan mekanisme terbaik kepada pengukuran yang berkesan dalam menilai sama ada program yang dilaksanakan itu berjaya mencapai objektifnya.

Beliau berkata, program ini merupakan satu peluang terbaik bagi membina perspektif serta keyakinan satu peluang bagi membina persepktif serta keyakinan masyarakat setempat bukan hanya terhadap universiti ini secara umumnya bahkan terhadap ISME secara khususnya.

“Hal ini selaras dengan peranan yang dimainkan oleh ISME sebagai antara institut yang akan membantu dalam meningkatkan keupayaan PKS/IKS di negara ini.

“Saya juga mengharapkan kerjasama yang diberikan oleh alumni SME @UMK, saya juga mengharapkan kerjasama yang diberikan oleh alumni SME@UMK dan kalangan para pelajar pascasiswazah UMK akan dapat diperluaskan pada skala atau ruang lingkup yang lebih luas lagi iaitu mungkin melibatkan hubungan/jalinan kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan yang berteraskan keusahawanan seperti MITI, SME Bank dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, penghuni warga emas SRK Taman Seri Kemumin, yang ditemui melahirkan perasaan gembira dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dan sudi menghulurkan sumbangan tatkala tibanya hari raya aidilfitri.

Menurut En. Mohamad bin Salleh, 65, berasal daripada Pasir Puteh, Kelantan, berkata, dengan bantuan sedikit sebanyak ini dapat mengembirakan kami untuk bersama-sama menyambut hari raya.

Katanya, terima kasih kepada yang sudi memberi bantuan kepada saya dan saudara-saudara saya yang lain," ujarnya.

Manakala Bakaruddin bin Ahmad, 42, yang berasal dari Kampung Palekbang, Kota Bharu, Kelantan, yang cacat penglihatan baharu sahaja seminggu menjadi warga penghuni SRK bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak UMK.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM kerana bersedia menempatkannya di SRK Taman Seri Kemumin.

“Saya rasa amat berterima kasih dan bersyukur kerana ada yang hadir beri sumbangan kepada kami dan inshallah saya akan pulang berhari raya bersama keluarga tidak lama lagi, ” katanya.

Published in Latest News

DUA penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan), YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mohd Nadzmi bin Mohd Salleh  dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan), YBhg. Tan Sri Dato’ (Dr) Abdul Aziz bin Abdul Rahman dipilih sebagai penghias muka depan edisi sulung Majalah Caknawan.

Majalah Caknawan Edisi Khas 2014 terbitan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berkonsepkan gaya santai merangkumi pelbagai aspek seperti wawancara ekslusif bersama tokoh, buletin aktiviti, tips kejayaan usahawan, tips di dapur,  dan banyak lagi.

Pemilihan dua tokoh tersohor yang diketengahkan di dalam majalah ini bertepatan sekali kerana kedua-dua mereka memiliki kehebatan dan kejayaan boleh dijadikan motivasi serta inspirasi yang boleh  menjadi pemangkin kepada generasi akan datang.

Dekan FKP, YBhg. Prof. Dr. Mohd Rosli bin Mohamad, berkata, jawatankuasa pengurusan fakulti telah sebulat suara bersetuju untuk memilih nama Caknawan sebagai nama buletin FKP yang bakal menjadi gerbang informasi fakulti kepada warga universiti dan warga di luar kampus.

Beliau berkata, pemilihan nama Cakna adalah bermaksud perihal mengambil berat atau keperihatinan dan dalam bahasa yang lebih mudah difahami adalah ambil berat akan sesuatu perkara manakala Wan adalah bermaksud usahawan.

“Mengikut kamus dewan edisi keempat, DBP cakna berasal daripada perkataan Terengganu yang bermaksud ambil peduli  dan ambil berat.

“Bertepatan dengan nama Caknawan ialah mengambil serius tentang perkara yang berlaku di sekeliling kita. Mengambil berat adalah suatu perbuatan yang jarang-jarang manusia mampu lakukan dengan sempurna seperti cakna pada agama, diri sendiri, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buletin Caknawan dan Majlis Iftar Ramadan yang disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan Koporat & Pengurusan Kualiti), YBhg. Prof. Rosdi Abdul Rahman, di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Julai 2015.

Menurut Prof. Dr. Mohd Rosli, penerbitan majalah ini akan diterbitkan sebanyak tiga kali setahun dengan kandungan yang memberi fokus kepada pelbagai aktiviti dan peristiwa akademik dan bukan akademik yang dilaksanakan atau berlaku di FKP dari semasa ke semasa.

Justeru itu, beliau berharap penerbitan majalah rasmi FKP segala pandangan dan sumbang saran daripada masyarakat pembaca adalah sangat dialu-alukan supaya kandungan serta persembahan Caknawan ini dapat ditambah baik pada masa akan datang.

“Inshallah, banyak lagi bahan menarik berkaitan usahawan dan perniagaan turut akan kami paparkan dalam setiap edisi penerbitan bulan,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Editor Majalah Caknawan, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohammad bin Ismail berkata, kandungan majalah ini bukan sekadar melaporkan aktiviti bergambar yang dijalankan oleh warga fakulti tetapi ianya juga merupakan satu wadah kepada warga FKP untuk menyumbang artikel.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2014, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuklah penglibatan dalam aktiviti masyarakat.

“Selepas tertangguh penerbitannya sejak tahun lalu ekoran beberapa masalah teknikal akhirnya ‘Caknawan’ itu berjaya dilancarkan pada hari ini.

“Dalam menghasilkan penerbitan ini pelbagai cabaran yang dilalui oleh pasukan sidang editorial dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya

Published in Latest News

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) akan terus memberi keutamaan kepada Program Empower Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) – UMK dalam usaha membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar secara berkesan khususnya di sekolah luar bandar dan pendalaman di negeri ini.

Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti) UMK, YBhg. Prof. Rosdi  bin Abdul Rahman, berkata, program dibawah Empower ECER UMK sejak 2009 hingga 2015 telah terbukti menunjukkan pencapaian luar biasa dalam  bidang akademik apabila mencatat kenaikan peningkatan dalam peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM.

Beliau berkata, pencapaian itu terbukti dengan jumlah peningkatan peratus pelajar yang mendapat ‘A’ sebanyak 400 peratus pada tahun 2013 telah meningkat sebanyak 462 peratus pada tahun 2014.

“Bagi pencapaian keputusan peperiksaan PMR bagi tahun 2013 mencatatkan  dapatan 1‘A’ dalam kesemua subjek dan ini satu pencapaian yang amat baik kerana sebelum program Empower ECER ini dilaksanakan ramai pelajar yang gagal mendapat gred ‘A’ mahupun gred ‘B’ dalam mana-mana pelajaran sekalipun.

“Pada tahun 2014, keputusan peperiksaan PT3 menunjukkan prestasi amat baik apabila seorang pelajar mencatat dapatan 5 ‘A’ yang merupakan pelajar cemerlang jajahan Gua Musang. Manakala, peperiksaan SPM bagi tahun 2013 dan 2014 juga telah menunjukkan peningkatan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ifftar Ramadan Empower ECER 2015 anjuran Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) dengan kerjasama Majlis Pembangunan  Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selantan (KESEDAR), di Kesedar Inn, Gua Musang, Kelantan, pada 2 Julai 2015.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, YB. Dato’ Nozula Mohd Diah, Timbalan Pengarah InsPeK, YBrs. Dr. Nur Azuki bin Yusuff dan penceramah jemputan, Iman Muda Najdi.

Menurut Prof. Rosdi, program Ifftar Ramadan Empower ECER 2015 adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturahim diantara pelajar, staf,mahasiswa serta agensi lain yang terlibat dalam menjayakan program empower ECER 2015.

Jelas beliau, program ini untuk penghargaan kepada usaha dan kejayaan para peserta empower ECERC 2015.

Dalam pada itu, Prof. Rosdi, program Empower ECER merupakan program yang bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar di sekolah luar bandar.

Jelas beliau, program Empower ECER 2015 ini  telah dilaksanakan  di Projek Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang, bermula daripada 2013 sehingga  2015.

 “Pada tahun 2014 seramai 222 orang anak-anak peserta (darjah 5 dan 6, Tingkatan 2,3,4,5) manakala bagi tahun 2015 jumlah peserta meningkat kepada 264 orang (darjah 5 dan 6, Tingkatan 2,3,4,5). Pelbagai program akademik telah dilaksanakan seperti kelas-kelas tambahan, kem motivasi, teknik menjawab soalan dan penyediaan set ulangkaji cuti sekolah,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Nozula , berkata, program Empower ECER-UMK adalah satu tindakan proaktif yang diambil oleh UMK membantu golongan pelajar yang tidak berkeupayaan membiayai tusiyen sendiri.

Tambah beliau, melalui program ini para peserta yang dilibatkan dengan aktiviti dalam kelas latih tubi yang melibatkan tenaga pengajar yang di syorkan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang.

“Selain meningkatkan pencapaian akademik, para peserta juga dapat meningkatkan kemahiran menguruskan diri, berfikir secara kreatif dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi,” ujarnya.

Menurut Dato’ Nozula, keberhasilan daripada program ini ialah peningkatan pencapaian akademik terutamanya dalam keputusan peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM.

Published in Latest News

HOT TOPIC