A- A A+
logoumkmerdeka2017

Oleh : Syarimi Wosley   Foto : Al Azam Razi

KONTINGEN Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  sekadar mampu menyumbang satu pingat perak dan tiga gangsa pada kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2016 (SukIPT 2016) yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 25 Januari sehingga 5 Februari 2016.

Pingat perak itu diraih oleh Kalaikumar Vijaya melalui acara karate-do kategori Kumite-75 manakala tiga pingat gangsa diperoleh melalui acara pencak silat dan boling padang.

Pada acara pencak silat, Mohd Amir Muizz bin Shaharuddin memenangi pingat gangsa dalam  Kategori Putra kelas I manakala bagi acara boling padang diperoleh melalui Muhammad Fahmi Mahsuri  bagi kategori Men Single dan kategori Women Triple  dibarisi oleh Nor Fatihah Nasmy, Wan Nur Kamaliah Wan Abdul Wahid dan Nor Ezzati Syahirah Sulham.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Alumni), YBhg. Prof. Abd. Aziz Ab. Latif,  kontingen UMK  telah menghantar 126 atlet untuk menyertai 12 acara  sukan pada tahun ini iaitu Badminton, Bola Tampar, Karate-Do, Taekwondo, Basikal, Boling Padang, Skuasy, Ragbi 7’, Pencak Silat, Catur. Bola Jaring dan Ping Pong.

Katanya, sebagai persediaan kesemua atlet telah menjalani sesi latihan diadakan selama satu minggu bagi memberi penekanan kepada kemahiran, motivasi dan ketahanan mental sebelum ke kejohanan SukIPT.

“Sepanjang sesi latihan itu, beberapa perlawanan persahabatan telah diadakan sebagai persediaan menghadapi cabaran sukan tersebut,” katanya.

Prof. Abd. Aziz, berkata, kejohanan ini adalah sebagai salah satu platform dan medan bagi para pelajar untuk memupuk minat dan bakat untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Atlet yang diberi peluang membawa bendera UMK perlu menunjukkan displin yang tinggi merangkumi skop yang luas terutamanya displin dan kejohanan ini juga dapat membantu membentuk sahsiah diri pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Abdul Aziz berkata,  atlit yang berjaya memenangi pingat sama ada emas, perak dan gangsa akan menerima imbuhan berbentuk wang tunai dan sijil penghargaan.

“Insha Allah, cadangan insentif itu telah dibawa ke peringkat pengurusan universiti dan ini berharap imbuhan yang belum ditentukan jumlahnya itu  dapat memberi suntikan semangat kepada atlit untuk memberi kejayaan yang lebih cemerlang pada kejohanan atau pertandingan akan datang,” katanya.  

Secara keseluruhan UMK telah menduduki tangga ke-57 senarai pungutan pingat daripada 76 IPT yang bertanding pada kejohanan yang  membabitkan  25 acara sukan dengan penyertaan  lebih 8,000 atlet daripada 117 kontinjen.

Sementara itu, Muhammad Fahmi Mahsuri, berkata, berpuas hati dengan pencapaian sulung dalam kejohanan SukIPT walaupun sekadar meraih pingat gangsa untuk acara boling padang walaupun kali pertama beraksi dalam kategori individu.

Katanya, kejayaan itu membuktikan kemampuan skuad boling padang UMK untuk menyahut cabaran  dan memberi saingan kepada pasukan lain walaupun kekurangan kemudahan infrastruktur sukan.

“Namun, hasil latihan dibawah bimbingan jurulatih, En. Mohd Salam Deraman, saya berusaha untuk meraih kejayaan  yang lebih baik walaupun menerima tekanan untuk memberi- kan persembahan yang baik,” katanya. 

Published in Latest News

Oleh : Aiman Syazwan   Foto : Al Azam Razi

GRADUAN SME@Universiti Malaysia Kelantan (UMK) perlu memanfaatkan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang program dan kursus dengan mempraktiskannya untuk meningkatkan produktiviti perniagaan masing-masing.

Timbalan Ketua Eksekutif I SME Corp, YBrs. En. Isham Ishak, berkata, program dalam bentuk kursus jangka pendek selama tiga bulan yang diikuti oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpilih itu berupaya membantu menaik taraf prestasi perniagaan yang diusahakan.

Katanya, sesebuah perniagaan memerlukan asas dan struktur yang kukuh dan apabila usahawan-usahawan yang tidak mempunyai pendidikan khusus ini dibawa ke universiti dan diberi pendedahan tentang bagaimana meningkatkan produktiviti, jualan dan pengurusan, ternyata ia mampu membantu mengembangkan lagi perusahaan yang dijalankan.

“Sepanjang tempoh kursus itu peserta telah didedahkan kepada lapan modul iaitu melibatkan aspek pengurusan syarikat seperti kewangan dan pemasaran.

“Setakat ini, program SME Corporation Malaysia (SME Corp)@Universiti telah berjaya membantu meningkatkan produktiviti 444 usahawan pelbagai bidang di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2010,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Graduasi SME@UMK 2016 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 21 Februari 2016.

Seramai 26 peserta Program SME@UMK Batch 3 berjaya menamatkan latihan mereka apabila menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut.

Program SME@Universiti ini dilaksanakan bersama lima buah universiti iaitu UKM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UMK.

Menurut En. Isham, tahap pembelajaran peserta program berkenaan bukan sahaja di peringkat nasional dan kebangsaan, sebaliknya sehingga ke luar negara, sekali gus membantu melahirkan ketua-ketua pegawai eksekutif bertaraf antarabangsa.

"Di luar negara, mereka didedahkan mengenai tatacara perniagaan yang berlainan daripada yang terdapat di Malaysia dan seterusnya membuka peluang kepada mereka supaya dapat memikirkan bahawa terdapat ilmu terbaik di sana bagi meningkatkan kecekapan syarikat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Osman, berkata, program SME@UMK adalah kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang memberi fokus kepada penerapan kepada nilai-nilai keusahawanan di kalangan usahawan PKS di negeri ini.

Beliau berkata, program ini menyediakan peluang kepada Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan kemahiran keusahawan dan insaniah dalam bidang perniagaan,

“Selain daripada program SME@Universiti, UMK telah merangka beberapa program lain antaranya program yang berbentuk pensijilan dan program untuk jangka pendek,”katanya.

Menurut Prof. Dr. Mohd Hassan, untuk memastikan kesinambungan program ini ke peringkat yang lebih tinggi, SME Corp Malaysia dan PSMB turut memberi peluang kepada peserta melaksanakan program lanjutan (Advance Leadership Program) dan Advance Course for SME University di Jepun.

“Program yang berasaskan model SME University of Japan itu dirangka untuk membantu membangunkan keupayaan modal insan dikalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

“UMK juga akan terus menyokong aktiviti keusahawan dan perniagaan serta bersedia untuk menjadi pusat rujukan kepada usahawan-usahawan dan agensi-agensi yang terlibat di seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/51 

Published in Latest News

Oleh : Syarimi Wosley   Foto : Al Azam Razi

APLIKASI CITRA MERDEKA RAIH EMAS DI MTE 2016

APLIKASI Interaktif Citra Merdeka 57 (CM57) yang memuatkan infografik-infografik berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia sejak tahun 1946 hingga 2014 berjaya merangkul pingat emas dan anugerah khas Special Compliment From Panel Jury pada  Malaysia Technology Expo (MTE) 2016, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 18 hingga 21 Februari 2016.

Aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Android dan Apps. Store tersebut telah  dibangunkan secara usaha sama di antara Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan Multimedia Development Corp (MdeC) dan Arkib Negara.

Pelancaran aplikasi CM57 telah disempurnakan oleh mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, pada Ogos 2014 sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 57.

Menurut Timbalan Pengarah, Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Dr. Mohd Hafiz Jamaludin, secara keseluruhannya, pencapaian UMK pada MTE  2016 amat memberangsangkan menerusi penyertaan 12 produk reka cipta dan inovasi pada MTE 2016.

Katanya, selain aplikasi CM57 UMK  turut meraih dua pingat perak dan tujuh pingat gangsa serta anugerah khas Foreign Special Award-Japan Intellectual Property Association (JIPA) menerusi produk Handy Z Spray.

“Produk ciptaan Prof. Dr. Palsan Sannasi Abdullah  daripada Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) yang bertajuk A Bio C dan produk bertajuk Imbang ciptaan pensyarah FTKW, En. Muhammad Ezran Zainal Abdullah berjaya menyumbang dua pingat perak.

“Manakala pingat  gangsa  menerusi produk Purple Y Edible Colorant adalah hasil penyelidikan inovasi oleh Pensyarah  FIAT, Dr. Mohammed Arifullah dan Dr. Suhaimi Othman, produk Box Bench oleh Pensyarah FTKW, Tn. Hj. Fauzi Ab. Llah dan produk Tuber Tech oleh Dr. Suhaimi dan Cik Siti Narbiha Mat Jusoh.

“Turut meraih gangsa ialah produk Aplikasi Mudah Alih Flood Rescue Versi 1.0 (Fres V 1.0) hasil ciptaan En. Ahmad Tarmizi Azizan, produk Handy Z Spray (Injury Healing Spray) oleh Pensyarah Fakulti Sains Bumi (FSB), En Zulhazman Hamzah, produk G Tech Propagation oleh Pensyarah Kanan FIAT, En. Mohamad Amizi Ayob dan produk Astech Tool oleh Pensyarah FTKW, Pn Darliana Mohamad,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Hafiz, menyifatkan produk penyelidikan inovasi UMK berpotensi  dan mampu dikomersialkan.

MTE1Beliau berharap lebih ramai penyelidik dikalangan pensyarah muda melangkah ke hadapan mengkomersilkan produk ciptaan mereka seterusnya membentuk hasil cipta yang berinovasi tinggi di negara ini.

“Saya juga berharap Pejabat Pengurusan Penyelidikan Inovasi dan Pengkomersialan (RIMC) lebih agresif mendaftarkan produk serta reka cipta oleh penyelidik UMK sebagai harta intelek bagi memastikan  produk mereka mendapat pendaftaran harta intelek.

“Langkah itu perlu terutamanya seperti product industrial design dan biological product yang telah mendapat pengiktirafan daripada pihak luar contohnya produk Handy Z Plus yang mendapat pengiktirafan oleh JIPA,” ujarnya.

Sementara itu,  Ketua Program Penyelidikan CM57, YBrs. En. Ahamad Tarmizi, berkata, aplikasi Citra Merdeka 57 ini merupakan sebuah aplikasi ringkas dan mudah dibahagikan kepada tiga fasa iaitu info tentang perjuangan kearah kemerdekaan (1946 – 1957), maklumat berkaitan membina negara bangsa (1958 – 1963) dan nikmat kemerdekaan (1964 – 2014).

Katanya, aplikasi ini dibangunkan adalah hasil kejayaan daripada projek Komik Digital Android dan produk E-Gamelan yang dibangunkan dengan hasil kerjasama MDeC pada tahun 2014.

“Aplikasi ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada setiap rakyat Malaysia untuk memahami sejarah di sebalik kemerdekaan negara kita.

“Paparan program dalam bentuk info grafik lebih berkesan dan cepat dan selaras dengan trend generasi muda pada hari ini untuk mendapatkan maklumat dengan mudah menerusi aplikasi telefon mudah alih,” katanya.

“Projek ini mengambil masa dua bulan untuk disiapkan dengan sebahagian besar masa yang diambil oleh penyelidikan di Arkib Negara Malaysia,” ujarnya lagi.

Menurut En. Ahamad Tarmizi, aplikasi Citra Merdeka 57 boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Pelancaran aplikasi CM57 ini sebagai perintis bahawa UMK terus komited untuk memperkasa program pembangunan dalam industri digital terutamanya dalam ekosistem industri aplikasi mudah alih dalam negara,” katanya.

Link to UMK Emedia Gallery : http://emedia.umk.edu.my/gallery/index.php?/category/80

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley             Foto : Al Azam Razi

INSTITUT Penyelidikan dan Pembangunan Kemiskinan (INSPEK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sekali lagi diberi kepercayaan oleh pihak Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) bagi melaksanakan projek kecemerlangan akademik melalui program pembangunan akademik melibatkan 1,800 pelajar di seluruh Kelantan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata,  InsPeK dan rakan strategik akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan amanah dalam menjayakan misi pembasmian kemiskinan dengan pelbagai pendekatan yang berkesan berasaskan penyelidikan dan tindakan susul yang pantas.

Katanya, projek kecemerlangan akademik itu bakal melibatkan anak-anak keluarga miskin yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Sepanjang tahun 2014 dan 2015  hampir 2,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini mendapat manfaat menerusi program Sains On Wheels:'Science In Action Inspiring The New Scientist.

“Manakala pada program Kelantan Arts Vocational Camp  yang diadakan dengan kerjasama Majlis Adat Istiadat Islam Kelantan (MAIK), Fullbright Scholars  dan agensi lain telah memberikan kelainan dalam memperkasakan Bahasa Inggeris khususnya kepada 100 pelajar sekolah bantuan kerajaan dan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK),” katanya pada Majlis Makan Malam Penghargaan InsPeK Bersama Rakan Strategik, di Bangunan Canselori, UMK Kampus Bachok, pada 31 Januari 2016.

Turut hadir Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr. Mortaza Mohamed, Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Ab. Aziz Abdullah, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti) selaku Pengarah InsPeK, Prof. Rosdi Abdul Rahman dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, pada tahun ini dua daerah iaitu Jeli dan Bachok juga telah dipilih sebagai lokasi tumpuan program pembangunan keusahawanan untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah bermula bulan Mei depan.

Beliau berkata, secara keseluruhan program pembangunan keusahawanan ini akan melibatkan seramai 400 peserta daripada kedua-dua daerah berkenaan.

“Program ini akan memberi penekanan kepada latihan kemahiran dan proses bimbingan (hand holding)  untuk memastikan keberkesanan dan kelestarian aktiviti ekonomi serta keusahawanan peserta,” ujarnya.

Tambah beliau, pada program peningkatan kemahiran Juru Perancah yang dilaksanakan bersama Human Architecture Technologies di bawah naungan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), telah berjaya menampilkan 69 orang dalam kalangan anak muda Kelantan daripada keluarga miskin mendapat latihan dan sijil yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan tetap dengan gaji yang lumayan.

"Manakala, Projek Agropolitan Kelantan Selatan (SKA) bersama dengan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) dan KESEDAR sebagai agensi pelaksana telah dilaksanakan untuk tiga tahun berturut-turut dengan merekodkan peningkatan dalam pencapaian akademik anak keluarga miskin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah memberitahu bahawa InsPeK ditubuhkan selaras dengan hasrat Pro Canselor UMK, YTM Tengku Mahkota Kelantan untuk memikul  tanggungjawab bagi memainkan peranan bersama dengan agensi-agensi lain dalam menanggani masalah yang wujud terutama di kalangan masyarakat di Kelantan.

Katanya, InsPeK dan rakan strategik seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan terus menggerakkan perjuangan membasmi kemiskinan masyarakat selain menjadi sumber rujukan berhubung kaedah membangunkan ekonomi dan paradigma  kumpulan sasaran.

“Staf  yang menganggotai institut ini adalah penyumbang utama dalam pembentukan dasar, membangunkan model, memberi idea dan alternatif serta menjana pendekatan penyelesaian yang kreatif dan inivatif bagi penambahbaik dan meningkatkan tahap keberhasilan aktiviti pembasmian kemiskinan ang dilaksanakan.

Menurutnya, beberapa program yang telah dilaksanakan sebelum ini adalah melibatkan aspek peningkatan kemahiran, sahsiah dan akademik keluarga miskin memberi impak yang positif kepada golongan miskin yang dikenalpasti.

"Kajian yang dilaksanakan di bawah naungan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPPK) dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) yang kini berada dalam peringkat akhir akan membantu usaha pembasmian kemiskian dilaksanakan secara tersusun dan berkesan," katanya 

Published in Latest News

Foto : Ab. Halim Ab. Aziz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan Business Ventures (UMKBV), sayap perniagaan UMK,  menyumbangkan keuntungan perniagaan berjumlah RM 3 juta yang diperoleh  tahun 2015 kepada UMK pada  satu majlis yang diadakan di UMK Kampus Jeli. 

Majlis disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMKBV, YB. Dato Hanafi Mamat kepada Naib Canselor UMK, Prof. Dato Dr Mortaza Mohamed. Turut hadir ialah  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar.

Menurut Dato Hanafi, sumbangan tersebut membuktikan keupayaan sayap perniagaan UMK mampu mengukuhkan kegiatan perniagaanya dan seterusnya membantu menjayakan agenda universiti bagi menjamin kelestarian kewangan.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata sumbangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk menterjemahkan hasil penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan melalui kerjasama dengan industri kecil dan sederhana tempatan.

“Kini sebanyak 12 produk penyelidikan sedang dalam pertimbangan untuk dikomersialkan, “ katanya.

“Ia juga digunakan untuk mewujudkan syarikat yang akan  bekerjasama dengan UMKBV bagi menghasilkan produk pertanian yang bernilai komersial di tanah milik UMK dan selebihnya  akan digunakan untuk membantu menghasilkan sekurang-kurangnya 200 usahawan pelajar dan  alumni UMK berasaskan syarikat pelajar dalam kampus,” katanya.

Sumbangan itu dilihat sebagai satu usaha yang memantapkan  tujahan keusahawanan bagi UMK dengan strategi kerjasama pintar dalam mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan bagi menjayakan kecemerlangan

Pada majlis sama, dua syarikat pelajar telah menanda tangani Memorandum Persetujuan dengan syarikat luar untuk memulakan perniagaan bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan.

Syarikat Mekar Permai Enterprise menanda tangani Memorandum Persetujuan dengan Syarikat Vega West Sdn Bhd membabitkan pemasaran makanan ternakan ikan ke seluruh Negara dengan kadar 80 tan sebulan HyperGlory Enterprise dengan Syarikat Sonar Sdn Bhd untuk meningkatkan pemasaran produk bahan pencuci serba boleh.

Dengan menjayakan perniagaan dalam kampus ini, pelajar mampu memperoleh pendapatan sehingga RM5000 sebulan.

Ini merupakan matlamat UMK untuk menghasilkan graduan yang bukan mencari pekerjaan tetapi menyediakan peluang pekerjaan untuk orang lain. UMK mensasarkan sebanyak  20 peratus daripada graduan menjadi usahawan berjaya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, UMKBV adalah sayap perniagaan bagi universiti dan matlamatnya adalah untuk menjayakan aktiviti-aktiviti perniagaan dalam usaha menjana pendapatan yang boleh di manfaatkan oleh universiti.

Katanya, majlis penyerahan sumbangan ini membuktikan bahawa UMKBV telah mampu membantu dengan memberi sumbangan selain daripada keuntungan yang diperolehi untuk menjayakan aktiviti-aktiviti di universiti.

“Melalui sumbangan ini kita akan membantu syarikat-syarikat yang mahu memulakan perniagaan atau membesarkan perniagaan dengan suntikan modal permulaan bagi perniagaan yang dijalankan.

“Kita juga akan memberi peluang kepada usahawan-usahawan dengan kerjasama staf universiti untuk memulakan perniagaan khususnya membabitkan penggunaan aset yang ada di universiti,” jelas beliau.

Published in Latest News

YB Menteri Pendidikan  Tinggi telah bersetuju melantik Pengarah Kampus UMK Kampus Jeli, Prof Dato Dr Ibrahim Che Omar, FASc  sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 16 Jan 2016.

Prof Dato Ibrahim, anak jati Negeri Kelantan memulakan perkhidmatannya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebelum dipinjamkan ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada tahun 2007. Beliau adalah staf perintis di UMK yang terlibat secara langsung dalam  mewujudkan UMK.

Selama berada di UMK beliau adalah Dekan Pengasas dan terakhir, Fakulti Agro Industri dan Asas Tani, dan Pengarah UMK Kampus Jeli sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor.

Berkelulusan Ijazah Doktor Kejuruteraan dalam bidang Kimia Industri dari Universiti Hiroshima, Jepun, beliau bertanggung jawab mewujudkan Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Industri Asas Tani, Fakulti Sains Bumi, Pusat Kecemerlangan ECER IPTA, Program Persediaan Keusahawanan Sains, Institut Penyelidikan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Regional Network on Poverty Eradication (RENPER) dan pelbagai unit, garispaduan dan peraturan sama ada hal ehwal akademik, pengajian siswazah, penyelidikan dan inovasi, pembangunan sumber manusia  dan perancangan strategik Universiti serta menganggotai puluhan jawatan peringkat Universiti dan kementerian.

Sepanjang penglibatan dalam dunia akademia, Prof Dato Ibrahim telah menghasilkan lebih daripada 13 buku, 350 artikel dengan 5 paten khususnya dalam bidang Bioteknologi Industri. Beliau juga adalah Felo Akademi Sains.

Published in Latest News

HOT TOPIC