A- A A+
logoumkmerdeka2017

Oleh : Syarimie Wosley      Foto  : Al Azam Razi & Pusat Pengajian Siswazah

LIMA pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengikuti Japan Outreach Mobility Program  (JOM-P) di Oita Prefectural College of Arts and Culture (OPCAC) dan Baiko Gakuin University (BGU) teruja dan kagum dengan teknologi serta keunikan budaya masyarakatnya yang menjadikan negara matahari terbit itu istimewa dan menarik.

Negara Jepun bukan sahaja terkenal dengan pembangunan dan teknologi maju malah sangat kaya dengan budaya yang lemah lembut serta sopan santun yang menjadi sebahagian tata cara kehidupan seharian masyarakat di sana.

Kunjungan selama sebulan itu telah diadakan sempena program mobiliti  pergerakan pelajar antara universiti dan industri di peringkat tempatan atau antarabangsa itu dijalankan secara berkredit atau tidak berkredit.

Delegasi pelajar yang terlibat adalah terdiri daripada empat pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) iaitu Catherine Lim Zhi Ying, Pavitira A/P Manogaran, Tan Chern Yee, Wardah Abd Walid dan seorang pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Fatin Amira Mohd Hanafiah.

Manakala Pegawai Pengiring adalah  Guru Bahasa Jepun, Pusat Pengajian Bahasa Dan Pembangunan Insaniah  (PBI), En.Toshiharu Shinohara dan Mantan Pengarah UMK International, Prof. Dr. Farok Zakaria.

Pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Pavitira A/P Manogaran, berkata, sepanjang mengikuti program JOM-P kami telah banyak belajar dalam beberapa perkara mengenai Jepun seperti budaya, gaya hidup, sejarah, tabiat dan amalan masyarakat Jepun.

Katanya, masyarakat Jepun sangat sopan santun dan sikap itu ditunjukkan melalui keramahan mereka apabila rombongan kami melawat beberapa tempat ketika berada di sana.

“Masyarakat Jepun juga sangat terkenal dengan budaya tunduk atau Bow  sebagai sebagai tanda hormat dan menyapa tetamu ketika bertemu dengan individu lain dengan cara yang baik dan sopan.

“Budaya tunduk sedikit kepala bersama badan merupakan adat yang telah diterima pakai dengan baik dan menjadi sebahagian tata cara kehidupan rakyat yang perlu diketahui masyarakat luar,” katanya.

Tambah Pavitira, selain itu perkara yang paling mengujakan ialah kebersihan kerana masyarakat Jepun tidak sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata.

“Masyarakat Jepun sangat menjaga kebersihan jika pertama kali anda tiba disini anda pasti terkejut kerana tidak akan jumpa satu pun tong sampah, manakala tandas awam mereka juga sangat bersih dimana kita akan berasa selesa untuk berada di dalam bilik air di Jepun berbanding di Malaysia,” katanya.

Turut bersama-sama Pavitira pada lawatan itu ialah Catherine Lim Zhi Ying yang turut diberi peluang mengadakan program mobiliti JOM-P di Baiko Gakuin University.

Kedua-dua mereka adalah pelajar daripada kursus Sosial Dan Pembangunan Ekonomi (USK 4012) di UMK telah diberi peluang untuk mengikuti kelas bahasa Jepun serta Kemahiran dan Prinsip Keusahawanan sepanjang program itu berlangsung dibawah bimbingan pensyarah BGU, Prof. Yoshi Fujiwara.

Menurut Catherine, perkara yang paling menarik perhatiannya ialah cara dan kaedah restoran mempamerkan sampel makanan kerana hampir semua restoran terdapat rak paparan yang meletakkan replika atau sampel makanan yang sama dengan saiz makanan yang sebenar, rupa, struktur dan juga warnanya.

“Kami sangkakan bahawa sampel makanan itu adalah makanan sebenar tetapi sebenarnya adalah sample menu yang perlu anda pesan.

“Antara makanan Jepun paling menyelerakan ialah takoyaki yang diselaputi dengan sotong segar malah kami juga berpeluang menikmati makanan lain seperti udon, salmon aburi, dorayaki, soba, sushi, okonomiyaki,, taiyaki dan  teh hijau.

Manakala delegasi lain terdiri daripada Wardah Abd Walid, Tan Chern Yee dan Fatin Amira Mohd Hanafiah yang mengikuti lawatan ke OPCAC yang terletak di Oita City iaitu sebuah bandar yang terkenal dengan daya tarikan sejarah dan budaya di Jepun.

Menurut Wardah, kami bertiga diberi peluang melawat beberapa bandar lain seperti Taketa City, Usuki City, Bungotakata City, Saiki City dan Nakatsu City oleh Pesnyarah Kanan OPCAC, Dr. Naoki DN Abe.

Katanya, kami juga  melawat sebuah universiti swasta di Oita iaitu Ritsumeikan Asia Pacific University atau lebih dikenali sebagai APU yang mula dirasmikan pada April 2000.

“Sepanjang berada di sana, pelbagai pengisian aktiviti yang dijalankan oleh kami bertiga antaranya kami perlu menghadiri kelas daripada jam 10 pagi hingga 12 tengahari dimana kami diberi peluang beramah-mesra dan berkomunikasi dengan pelajar Jepun untuk menambah kenalan.

“Kami juga berkesempatan menyertai Geitan College Festival di mana kami diberi peluang menjalankan perniagaan gerai yang menjual cekodok pisang yang sangat menyeronokkan kerana kami dapat mencedok pengalaman bagaimana tips dalam bahasa atau frasa Jepun untuk menarik pelanggan,” katanya.

Tambahnya, selain itu kami berkesempatan untuk berkunjung ke beberapa tempat ibadat dan keagamaan masyarakat Jepun yang terletak di bandar Beppu.

Sementara itu, Prof. Dr. Farok berkata, program mobiliti pelajar atau JOM-P adalah salah satu agenda utama UMK selaras dengan teras pembangunan UMK untuk mengantarabangsakan program pengajian serta aktiviti-aktiviti akademik bagi menyokong pertumbuhan Universiti.

Beliau berkata, program ini adalah dibawah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Bahagian Education Malaysia (BEM) yang bertujuan menggiatkan usaha meningkatkan program mobiliti di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Pada program kali ini, lima pelajar UMK yang terpilih akan menjalankan program mobiliti berkredit (outbound) di OPCAC dan BGU, Jepun untuk membolehkan mereka mengambil kursus yang ditawarkan di universiti tersebut dan seterusnya membawa kredit yang diperoleh ke UMK.

“Program ini adalah hasil daripada kerjasama yang telah dijalinkan di antara UMK dengan OPCAC dan BGU sejak tahun 2011 dan seterusnya berhasrat untuk mengeratkan lagi hubungan dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Prof. Dr. Farok, program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti kursus atau aktiviti di universiti lain di peringkat antarabangsa menerusi pendedahan kepada proses pembelajaran dan kepelbagaian pengalaman budaya dalam persekitaran yang berbeza sebagai persediaan untuk dunia pekerjaan.

Selain itu, secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang yang berkaitan disamping membina atribut keusahawanan pelajar agar berpandangan jauh dan memahami isu-isu merentasi sempadan.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley & Eiap Coon Choon    Foto :  Ab Halim Hafiz Ab Aziz

ALUMNI graduan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Nur Nazlia Taufiqah Azmy atau lebih mesra dengan sapaan Nur Nazlia kini sudah boleh tersenyum lebar apabila produk kecantikan yang diusahakan sejak berusia 14 tahun kini telah membuahkan hasil dan setaraf dengan jenama produk kosmetik tersohor di pasaran.

Nur Nazlia anak jati kelahiran Sungai Petani, Kedah, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik ini sudah meminati dunia perniagaan sejak kecil lagi apabila beliau banyak membantu menguruskan aktiviti menjual produk kecantikan dan kesihatan di kedai milik ibunya, Pn. Norly Hanif, 44.

Semangat berniaga itu terbawa-bawa ke alam pengajian di universiti bahkan setiap kali cuti semester Nur Nazlia, lebih seronok untuk memberi fokus kepada perniagaan produk kecantikan dan kesihatan di kedai ibunya berbanding rakan-rakan lain yang mengambil peluang melancong di tempat-tempat menarik atau bercuti bersama keluarga di kampung halaman.

Amanah dan kepercayaan oleh kedua ibu bapanya turut dimanfaatkan oleh Nur Nazlia untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan produk kecantikan dibawah jenama  RAUDAH yang didaftarkan dibawah Dlyla Multicare Beauty Enterprise pada 2014.

Menurut Nur Nazlia, semangat yang suka berniaga itu menyebabkan beliau berusaha bersungguh-sungguh biarpun  kesibukan dengan rutin harian sebagai pelajar menghambat dirinya untuk mengatur masa belajar dan berniaga.

Namun,dengan kesabaran itu akhirnya perniagaan yang diceburi ini telah berjaya membuka mata semua orang termasuklah rakan-rakan di kampus bahawa bidang ini mampu memperoleh pulangan tinggi.

“Minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan itu juga mendorong saya untuk meneruskan pengajian di UMK dan Alhamdullilah berkat kesabaran akhirnya saya berjaya bergelar graduan ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) dengan kepujian,” katanya dalam temuramah di premis perniagaannya yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

Nur Nazlia memberitahu, minat berniaga dalam dirinya telah bermula sejak di bangku sekolah lagi dimana pernah membantu ibunya menjual jeruk buah-buahan yang dibuat sendiri oleh air tangan ibu untuk dijual kepada rakan-rakan di sekolah.

“Malah, di awal penglibatan dalam dunia produk kecantikan saya amat teruja apabila pertama kali diberikan kepercayaan oleh ibu untuk bertindak sebagai ‘pemilik penuh’ perniagaan pada umur 16 tahun dimana ketika ibu dan ayah saya iaitu Azmy Othman, 60, ke Mekah untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun 2008.

“Pada masa itu, semuanya memang saya yang uruskan dan pengalaman sedemikian sangat berharga untuk saya dalam menjalani kehidupan,” jelasnya

Di sebalik kejayaan jenama tersebut, Nur Nazlia juga memberitahu bahawa produk RAUDHAH bukan sahaja boleh dibeli menerusi kaedah pembelian secara runcit dan borong melalui ejen tetapi jenama ini telah berjaya di bawa ke tahap global menerusi penjualan secara talian di laman sesawang.

Tambah beliau, sungguh pun diberi peluang menguruskan produk jenama RAUDAH beliau tidak pernah meletakkan dirinya dalam keadaan zon  selesa  sebaliknya sentiasa berusaha mempelajari pelbagai selok belok dalam menghadapi pelbagai rintangan yang  bakal dihadapi dalam dunia perniagaan.

“Sepanjang menguruskan perniagaan kecantikan dan kesihatan  ini, saya akui terdapat pelbagai cerita pahit dan manis antaranya  ialah pernah menerima aduan daripada pelanggan yang merungut bahawa produk yang dihantar lambat sampai dan mudah rosak.

“Ini berlaku kerana pada awal perniagaan, produk pesanan oleh pelanggan dihantar menggunakan kereta api dan bagi menyelesaikan isu tersebut saya mengatur strategi baharu iaitu penghantaran secara pos laju untuk memastikan produk berkeadaan baik serta selamat sampai ke tangan pelanggan,” jelas beliau.

Manakala  dari segi pengurusan sumber manusia dan pentadbiran, Nur Nazlia sentiasa memberi tunjuk ajar dan motivasi kepada pekerja-pekerja bagi meningkatkan hasil jualan produk dan kebajikan seperti menawarkan pelbagai insentif kepada kakitangan yang berjaya meningkatkan jualan produk.

“Malah, pada setiap hujung bulan, saya dan ibu akan melawat kelima-lima cawangan kedai bagi menguruskan pentadbiran atau menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku,” ujarnya.

Menurut Nur Nazlia, selain ibu bapa sebagai pendorong beliau juga mendapat inspirasi daripada bapa saudaranya iaitu Pengasas Rania Marketing Sdn Bhd, Dato’ Suhaimy Hj Othman atau lebih dikenali sebagai Pencetus Jutawan Rania Marketing (RM).

“Kejayaan bapa saudaranya sedikit sebanyak memberi inspirasi dan dorongan bagi dirinya untuk turut sama berjaya pada suatu hari nanti.

“Pencapaian yang dikecapi pada hari ini tidaklah semudah yang disangka kerana untuk menjadi usahawan hendaklah memiliki ciri-ciri seperti perlu kuat semangat, tidak mudah putus asa, rajin, konsisten, fokus dan tetapi paling mustahak ialah perlu mempunyai matlamat dan perancangan yang berterusan,” katanya.

Walaupun sudah layak bergelar usahawan berjaya dengan menghasilkan enam produk yang telah menembusi pasaran tetapi Nazlia tetap merendah diri dan tidak menafikan  terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.

Katanya, beliau dan ibu juga mengikuti kursus-kursus dalam meningkatkan diri dalam dunia perniagaan disamping membina rangkaian usahasama (networking) dengan para pengusaha perniagaan yang telah berjaya.

Beliau juga bertindak sebagai Pengurus Kewangan dan Pemasaran Dlya Multicare Beauty (DMB) Enterprise dan sentiasa berharap perniagaan yang diceburi ini akan sentiasa maju jaya serta mendapat kepercayaan daripada para pelanggan.

“Saya berharap dapat meningkatkan hasil jualan walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai jenama produk-produk lain di pasaran,” katanya yang menyimpan cita-cita untuk memiliki sebuah Butik Café pada suatu hari nanti.

Sebelum mengakhiri sesi temubual, Nazlia berharap segala pengalaman yang telah beliau alami ini dapat dikongsikan sebagai suntikan motivasi kepada para pelajar dan graduan UMK yang lain untuk turut berjaya dalam perniagaan seperti beliau.

Bagi beliau, kesempatan untuk menimba ilmu di UMK sememangnya merupakan suatu peluang yang tidak patut dilepaskan oleh para pelajar kerana secara praktikalnya segala ilmu yang dipelajari di Universiti sangat membantu beliau dalam dunia perniagaan kini.

Nur Nazlia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada dua pensyarah FKP iaitu mendiang En.Ong Soon Chuan dan Cik Rabiah Bujang yang merupakan mentor yang telah banyak mengajarnya tentang selok belok dunia perniagaan yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan sebenar. 

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley         Foto : Al Azam Razi

PENDERITAAN 500 keluarga mangsa banjir di Tumpat dan Rantau Panjang sedikit sebanyak terubat dengan keprihatinan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Celcom Axiata Berhad yang tampil menyampaikan sumbangan kit bantuan makanan dan keperluan dapur bernilai RM100 untuk meringankan beban akibat banjir pada Disember 2016.

Kesemua 500 keluarga  itu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed dan Pengarah Perhubungan Kerajaan, USP & Pembangunan Vendor Celcom Axiata Berhad, Encik Saiful Bahrin Abd. Ghaffar.

Majlis itu diadakan sempena Program Misi Bantuan Pasca Banjir UMK dan Celcom Axiata Berhad yang mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat dan Pasir Mas telah berlangsung di Sekolah (SK) Simpangan, Tumpat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, pada 16 Januari 2017.

Turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Tumpat, Dato’ Mohd Rosdi Ab Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, YB. Mat Razi Mat Ail,  Timbalan Naib Cansleor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Abdul Aziz Abd. Latif,

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza,  bantuan tersebut membuktikan keprihatinan UMK dan Syarikat Celcom Axiata  Berhad yang tampil untuk meringankan beban walaupun sumbangan yang diberikan ini kecil dan tidak ternilai dengan keperitan dan kesusahan yang dialami oleh mangsa banjir.

Beliau berkata, UMK sentiasa menjalinkan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk pelbagai program bantuan kemasyarakatan khususnya untuk turun ke kawasan yang terjejas banjir.

“Manakala Celcom Axiata Berhad adalah salah satu program yang dilaksanakan dibawah program tanggungjawab sosial korporat  (CSR) bagi meringankan beban mangsa banjir.

“Program misi bantuan pasca banjir ini terbahagi kepada dua lokasi iaitu di Tumpat dan Rantau Panjang  yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan kerana hilang punca pendapatan dan sumber ekonomi ekoran banjir baru-baru ini,” katanya.

Tambah Prof. Dato’ Dr. Mortaza, pihak UMK juga sentiasa bersiap sedia dalam membantu mangsa-mangsa banjir dengan menggerakkan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan staf untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan dari pelbagai sudut sama ada semasa mahupun pasca banjir.

“Setakat ini, kita mempunyai kekuatan kira-kira 1,000 sukarelawan yang terdiri daripada Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis), Pasukan Askar Wataniah UMK dan Pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KORSISPA).

“Insha Allah,  pihak UMK dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad serta pihak-pihak lain  sentiasa prihatin untuk berbakti kepada masyarakat untuk membantu petani, penternak dan nelayan khususnya dengan kepakaran yang ada di universiti,” katanya.

Sementara itu, En. Saiful Baharin berkata sumbangan ini adalah bantuan susulan kepada mangsa banjir kerana kita yakin kerajaan menerusi pelbagai agensi yang ada telah mengagihkan bantuan yang sepatutnya ketika banjir dan bantuan lain dari semasa ke semasa.

Katanya, pihak Celcom Axiata Berhad amat berbesar hati  melaksanakan misi bantuan pasca banjir ini yang telah bermula selama dua hari dimana turut melibatkan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Berang dan Besut di Terengganu.

“Kami amat berterima kasih diatas kerjasama para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UMK yang telah bertungkus- lumus menjayakan misi bantuan pasca banjir yang telah menjadi sebahagian tanggungjawab CSR syarikat kami.

“Selain misi bantuan ini, pihak telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi memastikan pengguna di talian kawasan bencana banjir tidak terjejas untuk  terus mendapat liputan untuk berhubung terutama di kawasan Pantai Timur.

Dalam pada itu, Dato’ Mohd Rosdi berkata sumbangan pasca banjir oleh UMK dan Celcom Axiata Berhad ini tepat pada masanya kerana sebahagian mangsa banjir ini masih memerlukan bantuan kerana masing-masing masih terputus pendapatan selepas tanaman dan haiwan ternakan turut terjejasekoran banjir baru-baru ini.

Beliau berkata, kita amat bersyukur kerana di sebalik musibah itu, pelbagai hikmah diperoleh termasuk kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun padang untuk turut sama merasai kesan banjir di Kelantan selain meluluskan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi masalah banjir setiap tahun," katanya.

Published in Latest News

PROGRAM Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M)  yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama dan penglibatan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan syarikat swasta berjaya memberi manfaat kepada 300 siswazah di Kelantan sejak diperkenalkan pada Februari tahun lepas.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMK, Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif berkata,  SL1M bukan hanya membantu mengurangkan kadar pengangguran malah membantu meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran graduan lepasan ijzah.

Beliau berkata, menerusi skim itu juga siswazah menganggur diberi latihan sewajarnya terutama mengukuhkan kemahiran komunikasi dan pengalaman kerja.

“Usaha tersebut membolehkan keupayaan daya saing siswazah lebih tinggi kerana SL1M memberi pelbagai latihan dan pendedahan yang pratikal.

“SL1M juga menjadikan siswazah lepasan ijazah sebagai bakat yang dieperlukan oleh syarikat-syarikat di negara ini,” katanya pada Temuduga Terbuka SL1M dengan kerjasama Britay Asia Sdn Bhd dan Khazanah Nasional kali keempat anjuran Bahagian kaunseling Kerjaya dan Alumni UMK, di Hotel Sutera Inn, Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Januari 2017.

Tambah Prof. Dato’ Abdul Aziz, temuduga ini terbuka kepada semua lepasan ijazah dan alumni UMK amat dialu-alukan untuk menyertai skim tersebut.

“Sepanjang berlangsungnya program ini hari ini, sambutan amat menggalakkan dan kita akan meneruskan usaha-usaha ini pada masa akan datang,” katanya.

Program SL1M yang telah dilancarkan pada 1 Jun 2011 adalah bertujuan untuk membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley Foto : Mohd Hafis & Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan sebanyak 7,000 tempat kepada pelajar tanpa had umur untuk pengambilan Februari dan September tahun ini bagi mengikuti Program Pengajian Sesi Akademik 2017/2018 menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang akan diterajui oleh satu-satunya universiti keusahawanan di negara ini.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, daripada jumlah pengambilan calon-calon pelajar tersebut ialah mereka yang berjaya memenuhi syarat kelayakannya dan memilih kursus yang sedang dan telah ditawarkan oleh UMK.

Beliau berkata, calon pelajar PSH ini bakal mengikuti pengajian yang berfokus kepada bidang keusahawanan, perdagangan, penternakan dan pertanian yang turut mendapat bimbingan Persekutuan Asia Timur Pembelajaran Dewasa (EAFAE) yang diasaskan Korea Selatan.

“Program bukan konvensional ini memberi peluang kepada masyarakat mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi, menambah kemahiran dan sekali gus meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka melalui pendidikan," katanya selepas menyempurnakan perasmian persidangan East Asia Federation For Adult Education (EAFAE) 2017 di Bilik Mesyuarat Lembaga Senat, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 11 Januari 2017.

Turut hadir, Presiden EAFAE, Prof. Choi Donmin, Penasihat EAFAE, Prof. Emeritus Dr. Gary J. Confessore,  Naib Canselor INTI-Laureate International Universities, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid dan Pengarah Program EAFAE, Prof. Dr Ng Siew Foen.

UMK buat julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah untuk persidangan EAFAE bertemakan Extending Universities Roles in Adult and Lifelong Learning: East Asia Perspective and Practices yang  telah diadakan selama dua hari bermula pada 10 dan 11 Januari 2017.

Persidangan EAFAE menampilkan lapan kertas kerja dan dua ucaptama mengenai pendidikan sepanjang hayat yang dibentangkan oleh pembentang kertas kerja akan memberikan banyak manfaat kepada industri, akademia, kerajaan serta masyarakat keseluruhan.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, persidangan EAFAE adalah sebagai platform yang ideal untuk meningkatkan rangkaian dengan rakan-rakan negara Asia Timur bagi menanggani isu-isu dan cabaran dalam pendidikan sepanjang hayat.

Beliau berkata, ini adalah bertujuan untuk membuka peluang kerjasama di kalangan ahli termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi dengan mengukuhkan persefahaman dan meningkatkan kesedaran sosial melalui pembentang dan peserta pertukaran idea, nilai dan isu-isu pendidikan dewasa.

“Konsep pembelajaran dewasa dan pembelajaran sepanjang hayat merangkumi matlamat pengetahuan dan kemahiran penguasaan pekerjaan, penyertaan rakyat yang aktif untuk sumbangan kepada pendidikan inklusif untuk pembangunan diri.

“Meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam kalangan orang awam supaya dapat memanfaatkan potensi kendiri melalui PSH agar dapat menghasilkan impak positif dari segi produktiviti, daya saing dan kebolehpasaran melalui peningkatan promosi PSH,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Prof. Choi Donmin berkata, EAFAE telah ditubuhkan pada 1993 dengan keahlian daripada sembilan negara seperti Korea Selatan, Japan, Singapura, Taiwan, Hong Kong (SAR), Macau, China, Malaysia dan Thailand.

Katanya, EAFAE ialah sebuah badan yang menerajui dasar pembelajaran pendidikan sepanjang hayat di negara-negara Asia Timur yang membuka keahliannya terbuka kepada semua pentadbir, guru-guru dan kakitangan lain seperti ceramah; pensyarah pengajar, tutor, jurulatih atau sebagainya.

“Tujuan utamanya adalah untuk memberi kesedaran dan latihan kepada masyarakat dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang boleh diikuti oleh semua peringkat umur tanpa mengira jantina, kaum dan agama untuk  pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berupaya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Malaysia mewujudkan bandar ilmu atau Learning City seperti yang terdapat di Koera Selatan yang akan membantu mewujudkan masyarakat berilmu.

Katanya, UMK juga diharapkan menjadi peneraju yang boleh menyumbang dalam berkongsi pengalaman demi kepentingan serantau untuk mengembangkan model atau konsep pembelajaran sepanjang hayat di negara ini.

“Program PSH sangat penting bagi mengubah negara ke arah lebih baik dan maju melalui kesedaran pendidikan, seperti di Korea Selatan, kita dapati hanya tiga peratus daripada rakyat yang tidak tahu membaca yang terdiri daripada warga emas,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim berkata, menerusi model PSH , pendidikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada usia muda malah perlu difahami bahawa pendidikan itu perlu dilakukan sepanjang hayat.

Beliau berkata, Konsep pendidikan ini boleh menjadi satu budaya oleh semua lapisan peringkat umur dan tidak bermakna pendidikan ini akan tamat apabila seseorang itu tamat persekolahan ataupun universiti.

“Pembelajaran PSH ini  bukan sekadar retorik tetapi realiti dan setiap pemimpin kena faham bahawa ini adalah usaha untuk membantu individu meningkatkan taraf ekonomi mereka setanding dengan negara-negara maju laian seperti di AS dan Eropah,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Syarimie Wosley      Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menerima sumbangan zakat daripada Syarikat Insuran Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM120,000 dan Maybank Islamic Berhad berjumlah RM15,000 pada satu Majlis Penyerahan Mock Cheque Bagi Sumbangan Zakat Kepada Pelajar UMK, di Laman Siswa, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 8 Januari 2017.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Cawangan Etiqa Takaful Berhad, Encik Sham Suhaimi Mohamad dan Ketua Perbankan Pengguna, Region Pahang / Kelantan / Terengganu, Maybank Berhad, Tuan Haji Razuki Abdul Rauf yang menyerahkan replika cek tersebut kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Eksekutif Etiqa Takaful Berhad, Encik Rhemie Mohammad Ali dan Pengurus Cawangan Kota Bharu, Maybank Islamic Berhad, Tuan Haji Arime Md Ariffin.

Menurut Prof. Dato’ Abdul Aziz, majlis penyerahan sumbangan zakat ini adalah merupakan sumbangan pertama yang diterima oleh pihak kami pada tahun ini daripada institusi insuran dan kewangan untuk dana bantuan kewangan Tabung Amanah Pelajar yang diwujudkan oleh UMK.

Beliau berkata, sumbangan ini membolehkan ramai pelajar UMK  mendapat faedah serta manfaat daripadanya  dalam usaha pihak universiti untuk membantu membantu pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan.

“Melalui sumbangan zakat ini dapat membantu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan kewangan sepanjang tempoh pengajian mereka di UMK.

“Saya mengambil peluang untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Etiqa Takaful Berhad dan Maybank Berhad di atas sumbangan zakat ini,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini UMK pernah menerima sumbangan zakat daripada beberapa institusi yang lain seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Takaful Ikhlas Berhad dan Bantuan Pelajaran Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) didalam bentuk biasiswa secara one-off.

“Pihak universiti amat mengharapkan semakin ramai lagi pihak swasta mahupun institusi kewangan yang bermurah hati membantu menyediakan sumbangan untuk membantu para pelajar-pelajar UMK yang kurang berkemampuan,” jelas beliau.

Published in Latest News
Halaman 1 dari 2

HOT TOPIC