A- A A+
logoumkmerdeka2017

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                          Foto : Al- Azam Razi

PRIHATIN dengan nasib golongan kurang bernasib baik, Institut  Perusahaan Kecil Dan Sederhana (ISME), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Alumni SME@University menganjurkan Majlis Ifftar Ramadhan Bersama-Sama Anak Yatim Tunas Harapan Pakatan Kasih dan Pusat Jagaan Mumtahanah dalam usaha menceriakan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah ISME. Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim berkata, seramai 30 anak-anak yatim telah terpilih untuk menerima sumbangan berupa duit raya serta diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama-sama dengan pihak pengurusan ISME, persatuan Alumni SME@University dan para penyumbang.

Beliau berkata, menerusi program ini adalah bertujuan untuk memberikan sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada anak-anak penghuni rumah Tunas Harapan serta Pusat Jagaan Mumtahanah supaya mereka sentiasa diingati dan disayangi setiap masa.

“Saban tahun, pihak ISME berusaha menjadikan majlis berbuka puasa sebagai program amal bakti dengan kerjasama pelbagai pihak ini dalam usaha untuk membela nasib anak-anak yatim secara giliran dengan mengadakan aktiviti seperti ini.

“Persatuan Alumni SME@University sentiasa aktif melaksanakan pelbagai program kepada ahlinya.Daripada maklumat yang saya terima  bahawa persatuan alumni SME@University-UMK adalah salah satu daripada persatuan alumni yang paling aktif berbanding universiti lain,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan, di Hotel Crown Garden, Kota Bharu, Kelantan, pada .

Turut hadir, Timbalan Pengarah ISME, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff dan Timbalan Presiden Alumni SME@University, En. Mohd. Fazlan Ghazali.

Menurut Prof. Mohamed Dahlan, program ini adalah  aktiviti  tahunan yang dianjurkan dan merupakan tradisi yang diadakan bagi membantu mengurangkan penderitaan anak-anak yang tidak bernasib dan berharap sumbangan itu dapat menggembirakan mereka.

Sebelum ini, program ini telah diadakan di pusat jagaan warga emas di Rumah Sri Kenangan Taman Kemumin, Pengkalan Chepa dan Penghuni Rumah Anak Yatim Salimah (RAYS), Bachok, Kelantan.

Sementara itu, En. Mohd. Fazlan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak ISME yang menjayakan program ini dengan kerjasama persatuan Alumni SME@University yang sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi membantu setiap majlis dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti.

Katanya, sempena mengambil keberkatan Ramadan Al Kareem adalah sewajarnya kita berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Objektif majlis ini untuk menggalakkan kehadiran dan penyertaan ahli persatuan yang terdiri daripada usahawan-usahawan dengan cara memberikan sokongan menerusi sumbangan zakat kepada anak-anak yatim.

“Program ini tidak berhenti pada hari ini sahaja kerana aktiviti seperti ini adalah sebahagian daripada proses kepada masyarakat yang lebih prihatin dan saling sayang menyayangi,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                            Foto : Ab. Halim Hafiz Ab Aziz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) perlu meningkatkan komitmen dengan berusaha untuk memastikan program-program keilmuan dan program kemasyarakatan yang dilaksanakan dapat mendekatkan masyarakat dengan universiti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Menteri Mentor UMK, YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, adalah menjadi tanggungjawab Universiti untuk sentiasa mendekati masyarakat di Jeli khususnya ibu bapa, guru-guru, ketua-ketua masyarakat dan sebagainya.

Beliau berbangga dengan usaha dan perhatian yang diambil oleh UMK dan sememangnya nama UMK sentiasa meniti di bibir dan mendapat perhatian masyarakat di Jeli.

“Saya  amat berbangga dan sentiasa mengikuti perkembangan UMK serta berharap mereka dapat meneruskan usaha murni ini.

“Melalui langkah itu,  UMK dapat bersama-sama  menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Program Tranformasi Pendidikan menerusi Jihad Pendidikan di Jeli untuk melihat ruang pendidikan parlimen ini lebih ceria dan gemilang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMK Bersama Masyarakat Jeli, di Masjid Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, UMK Kampus Jeli, Kelantan,  pada 18 Jun 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato' Azmi Mohd Ali, En. Zulkifli Mohd Zan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab.Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Dato' Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Mustapa turut menyempurnakan majlis penyampaian wang sumbangan daripada Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) menerusi program Dermasiswa Universiti BAKTI kepada 65 pelajar UMK daripada kalangan asnaf.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 24 golongan kurang bernasib baik sekitar Jeli dan dan lima penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, UMK sentiasa bertindak memasyarakatkan universiti menerusi pelbagai program dengan tujuan utama membuka mata masyarakat khususnya dalam menganjurkan program ilmu yang meningkatkan taraf pendidikan penduduk setempat.

Beliau berkata, pihak Universiti sentiasa prihatin kepada masyarakat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memastikan memastikan mahasiswa dan mahasiswi  UMK menjadi relevan dan selaras dengan hasrat kita untuk mengabadikan diri kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan, harapan saya amat besar untuk melihat UMK Kampus Jeli ini menjadi  menjadi permata UMK dan sudah banyak perkara-perkara serta aspek yang kita laksanakan untuk memajukan kampus ini.

“Program pada hari ini, merupakan salah satu cara untuk menghayati bulan Ramadan dan salah satu aktiviti universiti untuk mendekati masyarakat di Jeli ini,” jelas beliau

Published in Latest News

Oleh : Noor Alizam Shafie                       Foto : Al Azam Razi

BAGI memberi pengiktirafan dan menghargai jasa staf, Pejabat Pendaftar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganjurkan majlis Anugerah Penghargaan & Majlis Berbuka Puasa dengan tujuan utama bagi meningkatkan tahap kualiti penyampaian pengurusan perkhidmatan kepada warga universiti.

Seramai 77 penerima anugerah kecemerlangan staf menerusi pelbagai kategori diraikan sebagai tanda penghargaan diatas  komitmen yang diberikan telah diadakan di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, pada 7 Jun 2017.

Penghargaan ini di diberikan kepada staf yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang serta mutu penghasilan yang maksimum melebihi tanggungjawab biasa bagi jawatannya supaya menjadi pencetus kepada agenda penting dan komitmen terhadap usaha-usaha menyemarakkan lagi budaya inovasi di kalangan staf UMK.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Penghargaan Kecemerlangan Staf, Anugerah Sukan, Anugerah Inovasi Kategori Kumpulan dan Individu, Anugerah Sosial, Anugerah Pengurusan Masa Terbaik dan Anugerah Staf Komited.

Menurut Pendaftar UMK, Mej. (K) Pauzi Pak Chu berkata, asas penilaian pemberian Penghargaan Kecemerlangan Staf adalah berpandukan kepada markah yang diperolehi dalam penilaian prestasi tahunan.

“Pemilihan staf cemerlang pada tahun ini adalah berdasarkan kepada keputusan markah 80 peratus dan lebih bagi tempoh dua tahun berturut-turut layak dipertimbangkan sebagai penerima anugerah.

“Manakala sekiranya staf Pejabat Pendaftar yang pernah mendapat APC atau AGU dalam tempoh dua tahun tidak layak menerima anugerah yang dipertandingkan,” katanya pada majlis perasmian Anugerah Penghargaan & Majlis Berbuka Puasa tersebut.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa),  Prof. Dr. Mohd Hassan  Mohd Osman.

Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Staf, Pn. Khadijah Al Hassany Al Kubra, penganjuran majlis pengiktirafan ini telah menyuntik semangat positif di kalangan kakitangan jabatan Pendaftar untuk lebih berusaha memberi perkhidmatan yang tebaik kepada Universiti.

“Majlis sebegini wajar dianjurkan oleh setiap jabatan bagi menghargai staf serta sebagai pedorong kepada staf yang lain untuk terus berusaha memberi komitmen yang maksimum terhadap setiap tugasan yang diberikan,” katanya. 

 

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                                Foto : Al Azam Razi

SERAMAI 3,600 anak tempatan bakal menjalani program latihan industri yang memfokuskan kepada keperluan kerja dalam pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ERCL) terutamanya dalam bidang pembinaan rel dan kereta api.

Program latihan industri Negaraku ini dibiayai sepenuhnya sebagai inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) oleh China Communications  Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama projek ECRL dan Malaysia Rail Link Sendirian Berhad (MRL), anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan selaku pemilik projek.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, program latihan ini memberi isyarat yang jelas bahawa projek ini mendatangkan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia di samping mengeratkan hubungan bilateral Malaysia dan China menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara MRL, CCCC dan Institusi Pengajian Awam (IPTA) di negara ini.

Beliau berkata, seramai 3,600 pelajar bakal menjalani latihan industri bersama projek ECRL tersebut seterusnya boleh diserapkan terus dalam projek ECRL kelak.

“Dengan kita menyediakan peluang latihan ini, maka salah satu komponen penting ialah peluang pekerjaan menjadi realiti. Apabila anak-anak kita ini yang kita latih dalam latihan, kita boleh serap masuk ke lapangan terus,” katanya ketika merasmikan Latihan Industri Projek ECRL Negaraku di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada 14 Jun 2017.

Dato’ Seri Mohd Najib  turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian sebanyak 13 memorandum MoU membabitkan kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif  MRL Sdn Bhd, Darwis Abdul Razak dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, Duta Besar China ke Malaysia Huang Hui Kang dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

MoU itu adalah untuk merealisasikan kerjasama industri dan pihak akademik untuk program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang akan mencetus perubahan serta membuka minda para penduduk di Pantai Timur tentang ketibaan era moden di kawasan mereka.

Kerjasama  itu termasuklah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM),Universiti Teknologi Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Kuala Lumpur (UNIKL), GIATMARA & IKBN dan juga CIDB sebagai rakan usaha sama dan rakan-rakan strategik program Latihan Kemahiran Industri ECRL.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed berkata, projek raksasa ini sebagai game changer (pencetus perubahan) yang akan membuka minda masyarakat di Pantai Timur khususnya masyarakat di Kelantan bahawa era moden telah tiba bagi rantau ini.

Katanya, masyarakat tidak dapat membayangkan bagaimana manfaat yang boleh dibawa pada projek ECRL ini dan sebagai contoh kita didepankan dengan teknologi  moden dan canggih ini yang boleh membawa manusia, barangan, dan kemudahan daripada Bachok ke  Kuala Lumpur dalam masa yang singkat.

“Dalam pembinaan projek ERCL ini, UMK akan lebih lihat kepada perkara-perkara logistik dalam pembinaan projek  ini terutamanya impak kepada masyarakat dan kesan terhadap pemikiran serta cara masyarakat akan melihat dunia.

“Ini juga akan mewujudkan kemudahan dan perkhidmatan baharu serta peluang-peluang pekerjaan terutamanya untuk masyarakat kita yang menjadi impian dan kemahuan kita selama ini. Ini secara tidak langsung akan merubah cara kita kita bekerja dan berfikir,” katanya.

Published in Latest News

HOT TOPIC