A- A A+
logoumkmerdeka2017

distinctlegacy

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                                Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah tersendiri menjadi Universiti Awam (UA) pertama menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan Distinct Legacy Sdn. Bhd. (DLSB), sebuah syarikat makanan dan minuman terkemuka yang berteraskan gaya oriental ‘kopitiam’ bagi melaksanakan pelbagai program kerjasama melibatkan pelbagai bidang akademik dan keusahawanan.

Majlis memeterai MoA itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK,  Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar manakala Distinct Legacy Sd. Bhd., diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan DLSB, Dato’ Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang UMK, En. Nor Azli Ahamed, Ketua Unit Khas Perniagaan UMK, En. Rooshihan Merican Abdul Rahim Merican, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK, Dr. Mohd Nazri Zakaria dan Pengarah DLSB, En. Muhamad Zaki Muhamad Nor.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim berkata, dengan kerjasama ini membolehkan FKP memainkan peranan strategiknya dalam konteks menjayakan agenda keusahawanan universiti dalam konteks kerjasama dengan pihak industri.

distinctlegacy2Beliau berkata, syarikat DLSB selaku pemegang francais induk Killiney Kopitiam di Malaysia dan memiliki outlet di sembilan buah negara  akan memberi peluang kepada program penempatan pelajar untuk mengikuti program latihan industri (Internship Programme) selama satu semester untuk memberi pendedahan mengenai suasana sebenar alam pekerjaan.

“Selain itu, kerjasama ini turut melibatkan program 2u2i dan 3+1 untuk membimbing pelajar supaya lebih kompetitif, berdaya saing dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Kerjasama dua hala ini bukan sahaja melibatkan latihan kepada pelajar malah turut memberi peluang kepada peningkatan staf FKP khususnya dalam pembangunan pembelajaran, penyelidikan dan bidang perundingan dalam perkara-perkara berkaitan industri,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian MoA tersebut di Galeri Pembangunan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 24 Julai 2017.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, syarikat DLSB adalah sebuah syarikat pelaburan yang berpengalaman serta mempunyai kemahiran serta berkepakaran dalam pengoperasian restoran makanan dan minuman di peringkat global telah dipilih sebagai ahli Majlis Action Group for Entrepreneurship (AGE) di peringkat  FKP berkuatkuasa 1 Mei 2016 sehingga 30 April 2019.

Katanya, kerjasama ini juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada pelajar untuk memiliki syarikat sendiri melalui peniagaan Harumi Chiken yang dimiliki oleh Distinct Legacy Sdn Bhd, melalui bantuan kewangan daripada agensi kerajaan yang berpotensi.

“Kiosk Harumi adalah jenama produk ayam goreng tempatan yang telah dilancarkan pada bulan April lepas dengan 100 kiosk di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

“Dalam pada itu,  pihak DLSB  telah bersetuju menyediakan peruntukan untuk pertandingan pelan perniagaan pelajar (Student Business Plan) dimana  pemenang untuk pertandingan ini akan menerima pembiayaan kewangan berjumlah RM 50,000 bagi dijadikan modal permulaan perniagaan kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Dr. Ahmad Ramzi berkata tujuan kerjasama ini  adalah untuk membantu bagi melahirkan lebih ramai pemberi kerja (job creator) berbanding pencari kerja (job seekers) terutamanya graduan universiti yang terpaksa berdepan dengan cabaran utama mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Beliau berkata, pihaknya juga berhasrat untuk menjayakan jihad ekonomi dengan penglibatan ramai  usahawan muslim menerusi pengembangan bisnes yang bukan sahaja di peringkat Negara malah di peringkat antarabangsa.

“Ini selaras dengan konsep dalam Islam itu sendiri bahawa perniagaan merupakan satu bidang yang mempunyai 9/10 daripada sumber rezeki. Oleh itu, kerjasama ini amat mengalu-alukan pelajar menyertai bidang perniagaan bagi memberi lebih banyak kesedaran bahawa cabaran utama graduan tidak bergantung kepada pekerjaan di sektor awam pada masa hadapan,” katanya.

Published in Latest News

raya1

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                   Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) disaran memainkan peranannya sebagai pusat ilmu, pemikiran dan penyelidikan dengan menjalankan kajian terhadap produk seni warisan serta makanan tradisional yang terdapat di negeri ini untuk diketengahkan dan dikomersialkan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, melalui kepakaran UMK yang ada maka lebih banyak kajian bersifat pengkomersialan terhadap warisan budaya masyarakat Melayu dan makanan tradisi boleh memberi sumber baharu untuk menambah pendapatan masyarakat setempat.

raya2

Beliau berkata, antara warisan yang boleh dikomersialkan ialah makanan tradisional seperti nasi kerabu, nasi dagang dan pelbagai kuih-muih yang unik dan menarik terdapat di negeri Kelantan.

"Justeru, kajian yang dihasilkan itu boleh dikomersialkan supaya lebih menarik dan tahan lebih lama serta mampu bersaing di pasaran sekurang-kurangnya di dalam negara.

“UMK memiliki pelbagai kepakaran termasuklah penubuhan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan serta Fakulti Hospitaliti,  Pelancongan dan Kesejahteraan yang membolehkan pelbagai kajian dijalankan untuk memberi nilai tambah kepada peningkatan pendapatan penduduk tempatan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMK 2017 anjuran Kelab Kebajikan Staf Universiti (KKSU) dengan kerjasama semua PTj, bertempat di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Kelantan, pada 20 Julai 2017.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Azmi Mohd Ali, En Zulkifli Mohd Zan, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar, Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu, Penyelaras Parlimen Bachok, Dato’ Dr. Ilias Husain dan Presiden KKSU, Mohd Adzwan Kamaruzaman.

raya3

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat universiti itu  membabitkan kerjasama jabatan dan fakulti dengan menghidangkan juadah yang berbeza bagi menyemarakkan kemeriahan Syawal.

“Penganjuran majlis ini  dapat mengukuhkan hubungan warga kampus, agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta masyarakat setempat yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada UMK selama ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Adzwan berkata, seramai 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis Aidilfitri UMK 2017 yang menyajikan 15 menu juadah termasuklah hidangan 'Rusa Golek' oleh Fakulti Perubatan Veterinar (FPV).

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin setempat dan pelbagai agensi kerajaan di sekitar daerah Bachok.

Published in Latest News

teconvenx2

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat      Foto : Pejabat Pendaftar

KECEKAPAN sistem E-Medical iaitu projek inovasi dalam me­­­ngendalikan urusan staf universiti untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik panel berjaya meraih pingat emas dalam Konvensyen Mini Team Excellence 2017 Wilayah Pantai Timur anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 24 dan 25 Julai 2017.

teconvenx1

Kejayaan produk ciptaan Kumpulan Medixin daripada Pejabat Pendaftar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu berjaya menarik perhatian juri dengan mengetengahkan produk bertajuk Kesukaran Staf UMK mendapatkan rawatan perubatan di Klinik Panel UMK.

Projek inovasi  yang dibangunkan menerusi proses sistem E-Medical itu bertujuan untuk kemudahan urusan staf mendapatkan akses rawatan perubatan di mana-mana klinik panel UMK yang berdaftar dibawah universiti.

Sementara itu, Kumpulan Ad HOC daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) turut meraih Anugerah Emas menerusi projek Lukisan Pelajar yang tidak berkualiti dalam konvensyen yang mendapat penyertaan daripada 44 kumpulan daripada pelbagai agensi swasta, industri dan awam.

Menurut Penolong Pendaftar, Pejabat Pendaftar, Encik Mohd Zulfadli Mat Husin, pencapaian cemerlang dua kumpulan yang mewakili UMK ini adalah kesinambungan daripada penganjuran konvensyen Konvensyen Inovatif dan Kreatikf (KIK) Peringkat UMK yang julung kali diadakan pada Mei lepas.

Katanya, Kumpulan Medixin sebelum ini telah menjadi johan keseluruhan dan Kumpulan Ad Hoc Berjaya meraih Anugerah Inovasi Terbaik dalam konvensyen yang sama.

“Kejayaan Medixin dan Adhoc dalam Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur ini merupakan satu kejayaan cemerlang bagi UMK selepas penyertaan sulung dalam konvensyen tersebut,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah Konvensyen Mini Team Excellence 2017 Wilayah Pantai Timur, baru-baru ini.

teconvenx4

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC Malaysia, Tuan Haji Abdul Rahim Yusoff .

Turut hadir, Pengarah MITI Wilayah Kelantan dan Terengganu, En. Nik Mohd Fahim Muhaimin dan Pengarah Wilayah PantaiTimur , MPC, Tn. Haji Adnan Abdullah.

Mohd Zulfadli berkata, Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur ini merupakan platform mengiktiraf projek inovatif dan kreatif yang dilaksanakan di organisasi masing-masing dan diadakan setiap tahun sebagai medan untuk memilih 10 pasukan terbaik ke Konvensyen Team Excellence Peringkat Kebangsaan.

“Pada konvensyen kali ini, jumlah terkumpul penjimatan yang berjaya dicatatkan daripada semua kumpulan yang bertanding adalah berjumlah RM 30 juta.

teconvenx3

“Kejayaan Kumpulan Medixin dan Adhoc ini melayakkan pasukan tersebut menyertai Konvensyen KIK peringkat UA kali ke 13 yang berlangsung di UNIMAP bermula 2 Ogos 2017. Selain itu, dua kumpulan iaitu Kumpulan Adrenalin daripada Pejabat Pengurusan Infrastruktur Dan Aset (PPIA) dan Kumpulan Legasi 19 daripada Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI) juga akan mewakili UMK pada konvensyen tersebut, ” katanya.

Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur ini turut mendapat penyertaan daripada Petronas, DRB Hicom, Perkeso, Felda, Modenas dan Lembaga Tabung Haji.

Manakala, universiti awam  terdiri daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam dan Machang. 

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                         Foto : Al Azam Razi

 

FAKULTI Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) dan De’ Viana Hotel and Apartment menandatangani surat hasrat (LOI) dalam usaha membentuk jaringan hubungan rakan strategik dua hala khususnya dalam bidang pengurusan pelancongan dan perhotelan di negeri ini.

LOI ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed manakala pihak De’ Viana Hotel & Apartment diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cik Norhayati Ghazali.

Majlis menandatangani LOI itu disaksikan oleh Dekan FHPK, Prof. Madya Dr. Ghazali Ahmad di Bilik Mesyuarat Eksekutif, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 19 Julai 2017.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) FHPK, Dr. Wan Mohd Nazdrol Wan Mohd Nasir dan Pegawai Akaun De’ Viana Hotel & Apartment, Siti Aini Mohd Suzami

Menurut Prof. Madya Dr. Ghazali, kerjasama antara UMK dan De’ Viana Hotel & Apartment, adalah bertujuan untuk memastikan pelajar FHPK mempunyai peluang untuk menjalani latihan amali, makmal latihan dengan fasiliti yang lengkap seperti yang diperlukan.

Katanya, pemilihan hotel tersebut adalah amat bertepatan, memandangkan kedua-dua pihak mendapat manfaat memandangkan lokasi hotel terletak di kawasan strategik iaitu di Wakaf Che Yeh dan hanya mengambil masa selama 20 minit dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“De’ Vianna Hotel & Apartment mempunyai 72 buah bilik dari pelbagai kategori seperti Superior Room, Deluxe Room, One Bed Room Apartment, Two Bed Room Apartment dan juga Executive Superior Suite malah hotel ini turut menawarkan penginapan yang selesa dengan kemudahan-kemudahan yang mewah.

“Kerjasama ini adalah satu peluang keemasan bagi merealisasikan matlamat universiti yang berteraskan keusahawanan, yang mana sentiasa meninjau dan mengadakan program-program keusahawanan yang bersesuaian dengan objektif yang termaktub dalam Piagam UMK,” katanya.

Tambah beliau dengan termeterainya surat ini sebagai satu platform perancangan dan pertukaran kepakaran yang dapat dilaksanakan dengan kadar segera dalam masa tempoh durasi program tiga tahun itu.

“Bagi pihak FHPK, ini membolehkan penerapan kemahiran pensyarah-pensyarah FHPK sebagai tenaga pengajar profesional dan berkemahiran kepada pelajar-pelajar sebagai asas memulakan kerjaya kemahiran serta membimbing mereka untuk berdikari.

“Selain itu, kerjasama ini juga dapat meningkatkan daya produktiviti pensyarah-pensyarah sedia ada dalam menyediakan kemahiran asas kepada pelajar melalui latihan berbentuk intensif dan praktikal,” jelas beliau.

Prof. Madya Dr. Ghazali berkata, FHPK adalah salah satu fakulti baru yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Ogos 2016 dimana kursus yang ditawarkan di FHPK adalah melalui penyerapan tiga program sedia ada dari Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).

Beliau berkata, selari dengan tujuan UMK yang memfokuskan kepada pendedahan ilmu keusahawanan serta pengurusan perniagaan melalui pengajaran dan perundingan, penulisan dan perkhidmatan kepada komuniti, disamping mahu melahirkan mahasiswa yang berketerampilan dan berdaya saing.

“Bagi mencapai hasrat tersebut,  pelajar harus didedahkan kepada pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan industri agar dapat membantu dalam meningkatkan fizikal, mental dan kendiri pelajar.

“Program ini memfokuskan kepada objektif untuk melahirkan graduan yang mempunyai pemahaman yang luas mengenai semua bidang pengurusan pelancongan di samping dapat mengenalpasti, meneroka dan merebut peluang dan ruang perniagaan serta berani merealisasikan peluang dalam bidang industri secara global,” katanya.

 

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                     Foto : Al Azam Razi

 

DELEGASI Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia telah mengadakan lawatan ke Lembangan Sungai Pengkalan Datu yang terletak di Mukim Sering, Kota Bharu, Kelantan, bagi mendapatkan maklum balas positif untuk dimajukan sebagai hab pelancongan baharu berasaskan warisan dan alam semulajadi.

Delegasi lawatan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar telah diberi taklimat ringkas mengenai pelbagai usaha penyelidikan dan kerja lapangan yang sedang dipergiatkan oleh UMK bagi memastikan pembangunan LSPD dilaksanakan seperti yang dirancang.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, pihak UMK dengan kerjasama Persatuan Warisan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) telah memulakan usaha penyelidikan untuk mengemukakan lebih banyak bukti-bukti yang berkaitan LSPD bertujuan untuk dokumentasikan tarikan, bahan-bahan sejarah dan warisan yang terdapat di kawasan tersebut.

Katanya, tugas utama ialah dengan menempatkan pelajar UMK khususnya pelajar daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan berkaitan tarikan-tarikan yang terdapat di kawasan ini.

“LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan memandangkan kawasan ini amat strategik dan merupakan kawasan bersejarah serta pernah menjadi penempatan terawal Kesultanan Melayu Kelantan.

“Selain itu, terdapat pelbagai keunikan di kawasan itu termasuk pembuat wau dan artifak muzikal yang masih kekal di samping mewujudkan pasar terapung yang boleh meningkatkan sumber sosio ekonomi penduduk setempat,” katanya selepas lawatan River Cruise Timbalan Naib Canselor  (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia, di Cerana Villa Resort, Sering, Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Julai 2017.

Turut hadir, Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Madzlan Aziz, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan  dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof.  Dr. Hadariah Bahron dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Mashitah Mohd Yusoff

Hadir sama, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Bin Azizan dan Pengerusi WASPADA, Tn. Hj. Mohd Asri Hj. Husin.

Tambah Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, lawatan itu juga untuk melihat sejauh mana potensi untuk pihak universiti mendapatkan maklum balas, khidmat nasihat serta rujukan untuk tujuan penambahbaikan bagi projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Lokasi ini mampu memainkan banyak peranan dalam meningkatkan sosiekonomi dan memperkenalkan budaya masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Tn Hj. Mohd Asri berkata, LSPD memiliki keunikan dan sejarah serta merupakan sumber yang perlu dikekalkan dan dipulihara sebagai budaya tarikan pelancongan di Kelantan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai produk pelancongan di sekitar LSPD seperti produk sejarah, alam semulajadi, agro pelancongan dan kesenian serta kebudayaan.

“Pihak WASPADA dengan kerjasama UMK berusaha untuk merealisasikan perancangan projek tersebut kerana LSPD mempunyai potensi besar untuk dibangunkan kerana kawasannya strategik malah terdapat industri pembuatan kuih tradisional dan perusahaan madu kelulut.

“Kita amat berharap LSPD yang dikordinasikan oleh semua agensi untuk membangunkan LSPD sebagai produk pelancongan baharu khususnya di bandar Kota Bharu untuk membantu penduduk disini dalam aspek pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                      Foto : Al Azam Razi

PROGRAM Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dilaksanakan oleh Institut Perusahaan Kecil Sederhana (ISME) dengan kerjasama  Syarikat Nera Infocom (M) Sdn Bhd merupakan salah satu strategi berkesan bagi melonjakkan kadar penembusan jalur lebar ke seluruh negara khususnya di kawasan pendalaman dan luar bandar.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar berkata, pihak universiti selaku institusi pengajian tinggi di negeri ini  sentiasa memainkan peranan membantu kerajaan dalam mengurangkan isu jurang digital di kalangan masyarakat .

Beliau berkata, perkembangan teknologi maklumat dan digital yang begitu pantas pada hari ini ini menjadi cabaran serta isu utama di kalangan masyarakat khususnya di pendalaman dan luar bandar.

“Justeru itu, program latihan dengan kerjasama yang dijalankan oleh pihak ISME dan industri ini adalah bertujuan untuk mengurangkan jurang digital dimana program ini dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat untuk sama-sama menikmati perkembangan teknologi maklumat.

“Pelaksanaan program latihan ini antara sebahagian usaha yang mampu menyumbang kepada merapatkan jurang digital melalui perancangan program yang dibekalkan dan latihan dalam meningkatkan pengurusan teknologi digital kepada Pengurus dan Penolong Pengurus di 16 Cawangan PI1M di negeri ini,” katanya pada Majlis Graduasi Program Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi PI1M (Kelantan), di Bukit Keluang Beach Resort, Terengganu, pada 15 Julai 2017.

Turut hadir, Ketua Projek PI1M Kelantan, Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Pemangku Pengarah ISME, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff dan Ketua Bahagian Pembangunan Modal, NERA Infocom (M) Sdn Bhd, Cik Mardziyah Wahab.

Seramai 32 Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M telah berjaya menamatkan program latihan dan diraikan dengan meriah pada Majlis Graduasi selepas berjaya menamatkan latihan selama dua tahun bermula 1 Julai 2015 sehingga 31 Jun 2017 melibatkan latihan dan business coaching.

PI1M yang terlibat adalah PI1M Kg Jeram, PI1M Kg Gong Kulim, PI1M Kg Selising, PI1M Kg Kajang Sebidang, PI1M Bukit Tandak, PI1M Kg Lawang, PI1M Batu Gajah, PI1M Kg Cengal, PI1M Kg Semuba, PI1M Kg Repek, PI1M Kesedar  Lebir, PI1M Kesedar Chalil, PI1M Kesedar Jeram Tekoh, PI1M Felda Perasu, PI1M Kg Karangan dan PI1M Kusial.

Menurut Prof. Dr. Mohamed Dahlan, Nera Infocom (M) Sdn. Bhd. telah bersetuju melantik ISME sebagai konsultan atau training provider bagi program pembangunan usahawan berprestasi tinggi PI1M bagi negeri Kelantan untuk tempoh dua tahun.

Katanya, pihak ISME menyediakan latihan kepakaran kepada Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M yang dilantik dengan melaksanakan program latihan selama dua (2) tahun bermula pada tahun 2015 menerusi  empat siri latihan keusahawanan dan empat siri latihan lestari.

“Objektif utama program latihan ini adalah sebahagian daripada hasrat kita untuk menjadikan Pengurus dan Penolong Pengurus ini sebagai agen perubahan kepada masyarakat di PI1M masing-masing.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada 32 peserta program ini yang berjaya  menamatkan latihan mereka dan berharap mereka menggunakan kemahiran ini untuk membimbing dan memberi motivasi kepada masyarakat di sekitar PI1M yang sewajarnya untuk berkongsi maklumat ini untuk mereka mahir dalam bidang digital,” jelas beliau.

Sementara itu, Cik Mardziyah berkata NERA merupakan sebuah syarikat pembangunan telekomunikasi dan bertindak sebagai penyelaras projek bagi menyediakan infrastruktur dan program pembangunan staf bagi PI1M di bawah pengurusan pihak Maxis Berhad.

Beliau berkata, Nera Infocom (M) Sdn Bhd telah melantik ISME sebagai konsultan atau Training Provider bagi Program Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi Pusat Internet 1Malaysia di negeri Kelantan.

“Pihak kami berharap melalui kerjasama ini, Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M dapat memberi komitmen dan beriltizam untuk melaksanakan amanah serta tugas dengan baik bagi pembangunan sosio ekonomi kepada penduduk setempat.

“Selain universiti awam, pihak Nera Infocom juga tururt mejalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), SME Corp dan Lazada bagi melahirkan lebih banyak usahawan digital di kawasan komuniti yang disasarkan,” katanya.

Published in Latest News

HOT TOPIC