A- A A+
logoumkmerdeka2017
Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                    Foto  : Al Azam Razi

BACHOK 26 September 2017 - LEBIH 1100 warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hadir memeriahkan program Amazing Race bersempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Petron Peringkat Universiti atau dikenali sebagai Petron Road Safety Programme 2017 yang buat julung kali diadakan di UMK.
 
Majlis pelepasan peserta (flag off) telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed tepat jam 9 pagi di Laman Monsun, UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, pada 26 September 2017.
 
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato' Dr Ibrahim Che Omar,  wakil PETRON Malaysia, En. Dazreen Azmil Darus dan wakil Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Malaysia, Encik Mohd Faisal Bin Abdul Malik

Program dengan kerjasama UMK itu turut mendapat sokongan daripada JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Akademik Memandu Anda Sdn Bhd dan Syarikat tayar Good Years.
 
Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, seramai 1100 pelajar dan pensyarah yang terdiri daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dan Fakulti  Senibina dan Ekistik (FAE) terlibat dalam program Amazing Race dan 100 pelajar dan staf yang bermotosikal.
 

Katanya, PETRON Malaysia telah memilih UMK sebagai salah satu lokasi seterusnya antara tujuh buah Universiti Awam (UA) melalui program tanggungjawab social (CSR PETRON) bagi kempen keselamatan jalan raya ini.
 
“Menerusi program ini pelajar-pelajar belajar mengenai pengetahuan teori dan praktikal tentang keselamatan melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan. Pada pengakhiran program, kesemua pelajar terlibat turut menerima sijil dan memenangi hadiah dalam permainan interaktif.
 
“Objektif penganjuran program ini adalah bagi meningkatkan kesedaran pentingnya mengetahui  sama ada secara teori atau praktikal berkenaan Keselamatan Jalan Raya disamping menggalakan pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab, pencegahan kemalangan, mengetahui keadaan kenderaan dan sebagainya,” katanya.
 

Tambah beliau, melalui aktiviti ini dapat memberikan ilmu dan pengalaman kepada pelajar-pelajar UMK.
 
Katanya, melalui program sehari ini pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Amazing Race, Taklimat dan Kempen/Kaunter Keselamatan, demo dan pratikal penukaran minyak enjin motor secara percuma dan keadaan tayar yang boleh menyumbang kepada faktor kemalangan.
 
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pn Alifah Adnan berkata, Program Keselamatan Jalan Raya Petron adalah kerjasama UMK dan Petron Malaysia  dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

Katanya, pelancaran program ini  bermula pada bulan September hingga Oktober.  

Selain UMK, tujuh buah UA turut mengambil bahagian dalam program ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dan Universiti Kuala Lumpur. 
 
"Program ini  turut menggalakkan tabiat pemanduan dan penunggangan yang baik dalam kalangan pengguna jalan raya secara keseluruhan," katanya.
 
Dalam pada itu wakil Petron Malaysia berkata,  program ini menunjukkan komitmen kami dalam menekankan tentang kepentingan keselamatan, bukan hanya dalam operasi harian kami, malah juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat teras kami kepada masyarakat setempat termasuklah pelajar-pelajar sekolah dan universiti.
 
Katanya,  Petron berbangga menjadi syarikat ulung di Malaysia yang menganjurkan  Program Keselamatan Jalan Raya ini adalah untuk memberikan pendidikan tentang kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.
 
“Program yang berlangsung selama satu hari ini menggalakkan penggunaan jalan raya yang bertanggungjawab, pencegahan kemalangan, dan taklimat penukaran minyak enjin motosikal," katanya.
 
 
Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat         Foto : Al Azam Razi dan Abd. Halim Hafiz

PEMANGKU Raja Kelantan, Yang Maha Mulia, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baharu dalam satu Majlis Pemasyhuran Tuanku Canselor UMK yang berlangsung penuh istiadat dan gemilang di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota , Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 25 September 2017.

Pemasyhuran dan pelantikan baginda sebagai Canselor UMK telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM), Sultan Muhammad V, untuk tempoh lima tahun bermula 16 Februari lalu sehingga tahun 2022.

Keberangkatan tiba YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada jam 11.45 pagi diiringi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob  dan Naib Canselor UMK, Dato’ Dr Mortaza Mohamed.

Pengisytiharan pemasyhuran telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh.

Dalam Titah YMM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, UMK telah memberi impak terhadap perkembangan ilmu, minda dan kesejahteraan masyarakat dengan kewujudan tiga kampus pengajian iaitu di Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli.

Titah baginda,  UMK  telah pun menjangkau usia 10 tahun dan dalam tempoh tersebut, Beta percaya UMK  telah memberi sumbangan yang amat besar bukan hanya kepada dunia pendidikan tinggi negara, tetapi juga kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, khususnya di Negeri Kelantan.

“Beta melihat, UMK telah pun berjaya meletakkan batu asas dan berjaya menjamin peningkatan keupayaan dalam Hal Ehwal Akademik, pembangunan graduan yang seimbang dan holistik bercirikan keusahawanan, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan wilayah.

IptcUMK6

“Namun begitu, perjalanan UMK masih jauh untuk meletakkan kedudukannya sebaris dengan universiti-universiti tersohor di dalam dan di luar negara,” titah baginda.

Baginda bertitah,  pada dekad kedua, UMK sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha untuk menjamin kualiti dan kecemerlangan dalam semua aspek yang menentukan kekuatan serta penjenamaan UMK.

Titah Tuanku, negara ini dalam era revolusi industri keempat dengan perkembangan teknologi sangat pesat dan berharap UMK tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan sedia menyesuaikan diri dengan perubahan global.

"Sebagai sebuah universiti keusahawanan, UMK perlu melipat ganda usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utama bagi universiti.

"UMK perlu mempertingkatkan ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar," titah baginda.

YMM Dr. Tengku Muhammad Fai-iz Petra bertitah, dalam konteks di Negeri Kelantan bahawa UMK bukan hanya dilihat sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi turut memainkan peranan sebagai agen dan nadi perubahan kepada pembangunan komuniti dan wilayah.

“Peranan UMK adalah untuk membantu pihak kerajaan memperkasakan aspek ekonomi dan sosial masyarakat terutamanya di luar bandar adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

“Antara inisiatif kemasyarakatan yang telah dilakukan adalah seperti pelan tindakan pengurusan kemiskinan oleh UMK melibatkan jajahan Bachok, Pasir Puteh dan masyarakat orang asli di jajahan Jeli. Beta berharap usaha ini akan terus memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat yang memerlukan perhatian,” titah baginda.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata, pemasyhuran YMM Tuanku sebagai Canselor merupakan satu detik bersejarah dan bermakna buat UMK, untuk meneruskan kembara memartabatkan agenda pendidikan tinggi negara di negeri Kelantan khasnya, dan di Malaysia amnya

Beliau berkata, pemasyhuran ini turut memberi perangsang dan inspirasi kepada seluruh warga UMK untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin, bagi menjayakan hasrat dan visi Universiti, dan demi menjayakan halatuju Pendidikan Tinggi negara agar terus cemerlang dan berada di landasan yang tepat.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                    Foto  : Al Azam Razi

KONVOI Program Jelajah Kampus Universiti Malaysia kelantan (UMK)  disambut meriah dengan sorakan semangat  700 warga UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, tepat jam 4.10 petang, pada 25 September 2017.

Konvoi  yang diketuai oleh diketuai Pengarah Pusat Ko-Kurikulum, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mohd Nazri Muhaiyidin membabitkan 200 peserta Fun Walk, 30 buah pasukan Konvoi Bermotor dan 30 peserta Pasukan Berbasikal  itu disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, En. Zulkifli Mohd Zan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi PakChu.

JelajahUMK6Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, program Jelajah Kampus UMK ini adalah simbolik warga UMK dan masyarakat di atas pemasyhuran Tuanku Canselor UMK, Yang Maha Mulia (YMM) Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang diadakan pada hari ini.

Beliau berkata, program ini merupakan salah satu pendekatan UMK bersama masyarakat disamping menanamkan semangat kecintaan kepada Negara dengan membawa mesej sehati sejiwa.

“Program ini akan memberi hebahan mengenai Istiadat Konvokesyen UMK yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 Oktober 2017,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK, Puan Alifah Adnan berkata, program ini diadakan bertujuan untuk mempromosi dan menghebahkan berkaitan Pesta Konvokesyen dan Kerjaya (PESKOJAYA) sempena dengan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7.

Katanya, program ini juga mengambil kira sambutan 10 tahun UMK pada tahun 2017.

“Program Jelajah UMK ini telah bermula seawal pagi dari UMK Kampus Jeli membabitkan konvoi 30 buah motosikal manakala seramai 40 buah pasukan berbasikal memulakan kayuhan sejauh 30 kilometer daripada UMK Kampus Bachok ke UMK Kampus Kota.

“Selain itu, seramai 200 peserta berjalan kaki bermula di Sekolah Maahad Sains Tok Guru,” katanya.

Tambah Puan Alifah, PESKOJAYA 2017 akan menyediakan pelbagai aktiviti dan program menarik membabitkan aspek hiburan, ilmiah, kerohanian, keusahawaanan, sukan dan kesihatan

“Selain itu, seperti lazimnya program ini diselaraskan oleh Sekretariat PeskoJaya Pelajar 2017 dengan kekuatan 50 orang yang telah memulakan operasi sejak Julai lepas,” jelasnya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                    Foto : Al Azam Razi dan Abd. Halim Hafiz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd bagi penawaran program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Restoran, Fakulti Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan di UMK yang akan bermula pada tahun hadapan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed dan Pengarah Urusan QSR Brands, Dato’ Mohamed Azahari Kamil.

Turut diadakan ialah majlis menandatangani MoU antara QSR Brands dan SEGi Universiti & College yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Penjagaan Kualiti) SEGI University, Brigerd General Prof. Dato’ Dr. Shohaimi Abdullah (B).

MoU itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M), Holdings Bhd, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurut YB Dato’ Seri Idris, menerusi MoU itu program baharu berteraskan Dua Universiti Dua Industri (2U2i) yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi itu bakal ditawarkan di Universiti UMK dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, program 2U2i adalah program pembelajaran bersasaskan pekerjaan yang memberi pendedahan industri kepada pelajar sepanjang pengajian mereka.

“Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan ditempatkan di UMK selama dua (2) tahun sebelum ditempatkan dua (2) tahun dalam industri (QSR Brands) untuk menyempurnakan pengajian mereka.

“KPT dalam menjadikan graduan tempatan yang berkualiti dan holistik selain berciri keusahawanan dan seimbang, selaras dengan lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” katanya katanya pada majlis menandatangani MoU itu di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 25 September 2017.

Tambah YB Dato’ Seri Idris,  dalam memastikan program 2U2i ini berkesan dan memberi impak positif terhadap tahap kesediaan mahasiswa di Universiti untuk menempuh alam pekerjaan mahupun keusahawanan, KPT percaya program yang berasaskan work based learning seperti ini adalah platform terbaik dan tepat yang perlu diperluaskan.

Program 2U2i telah diperkenalkan oleh KPT pada tahun 2016 dan tujuh Universiti Awam (UA) telah menyertai program ini dengan menawarkan 16 program pengajian untuk sesi akademik 2017/2018.

Menerusi sokongan syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia adalah penting dalam memastikan kejayaan program 2U2i penting dalam memastikan kejayaan program tersebut dalam mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang dinamik dan fleksibel.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, kerjasama UMK dan QSR ini amat bertepatan dengan beberapa agenda tranformasi nasional khususnya bagi merealisasikan hasrat TN50 yang memerlukan pendekatan untuk menyediakan modal insan yang berbakat dan berdaya saing.

Katanya, program pengajian yang berasaskan kepada Program 2U2i yang diperkenalkan KPT ini adalah kaedah pembelajaran berkonsepkan Work-Based Learningdimana ia dilihat sebagai mampu memberi nilai tambah kepada pelajar.

“Selain itu, ini juga dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan graduate employbility (GE) di kalangan pelajar UMK.

“Kerjasama ini juga selari dengan inisiatif dalam majlis action Group of Entrepreneurship (AGE Council) yang menjadi penghubung antara industri dan akademik.,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Kamaruzzaman berkata, QSR Brands komited dalam menyediakan pembelajaran berterusan, khususnya kepada anggota pekerja di seluruh rangkaian restoran-restoran kami di Malaysia.

Katanya, Pekerja kami diberi latihan yang merangkumi pembelajaran di dalam kelas, latihan amali dan pembelajaran secara talian (E-learning).

“Pelajar di bawah program 2U2i di UMK dan SEGi University & College akan menjalani latihan yang serupa sepertimana apa kami sediakan kepada pekerja kami,” katanya.

Menurut  Dato’ Kamaruzzaman, QSR mempunyai 1,120 rangkaian restoran di seluruh negara dan di bawah MoU ini iaitu minimum untuk lima tahun dimana sebahagian pelajar yang mengikuti kursus ini akan mendapat pengalaman belajar di universiti dan pengalaman bekerja dalam industri.

Beliau berkata, program ini adalah perkara baharu, pelajar yang menjalani latihan ini .bukan untuk kerja dengan QSR tetapi dilatih untuk menjadi usahawan," katanya.

QSR Brands (M) Holdings (QSR Brands), merupakan operator restoran makanan segera terbesar di rantau ini menguruskan jenama seperti KFC, Pizza Hut dan Ayamas.

Published in Latest News

pijan

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat      Foto  : Al Azam Razi.

MAHASISWA Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhamad Rafizan Amran, 20, yang menghidap masalah ketumbuhan dalam hidung atau psammomatoid fibrous dysplasia, cukup teruja untuk memulakan kuliah pertamanya selepas impian untuk bergelar mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tercapai.

Lebih mesra dengan panggilan Pijan, beliau yang berasal daripada Pontian, Johor, mula mendaftar sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan dan Perbankan Islam), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 5 September 2017.

Menurut Pijan, peluang belajar di UMK akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membalas jasa kedua  ibu bapa yang selama ini bersusah payah memandangkan ibu hanya suri rumah manakala bapanya hanya berniaga menjual pisang goreng.

Katanya, melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah impian sejak kecil untuk berjaya mendapatkan segulung ijazah sebelum melangkah jauh dengan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Sebaik sahaja lulus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan keputusan CGPA 2.9, saya terus memohon UPU dan Alhamdullilah diterima ke UMK dengan mengambil program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang diminati.

“Walaupun berjauhan dengan keluarga namun dengan semangat baharu untuk meneruskan pelajaran dan demi mengejar cita-cita untuk bekerja dalam industri perbankan saya mengetepikan kekurangan dan penyakit yang dihadapi bagi mencipta kejayaan,” katanya.

Tambah Pijan, kedua ibu bapanya adalah orang paling gembira walaupun sedih untuk meninggalkan  berjauhan namun beliau perlu lebih berdikari dan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan keluarga untuk membiasakan diri dengan tempat baharu.

“Pada semester pertama ini, saya mengambil sebanyak tujuh subjek termasuk subjek ko-kurikulum dan sungguh teruja untuk memulakan kuliah pertama pada minggu ini.

“Seperti pelajar lain, saya datang dengan semangat baru untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Kini, Pijan juga dapat berbangga kerana impiannya untuk mengikuti jejak penceramah dan pakar motivasi terkenal seperti Raja Shamri Raja Hussin atau dikenali sebagai Abang Raja yang mengalami kecacatan kaki semenjak lahir yang berjaya dalam pendidikan memberikan inspirasi besar kepadanya.

Pijan merupakan bekas peserta program motivasi Raja Shamri mendapat semangat luar biasa selepas menyertai ceramah motivasi pada tingkatan tiga di SMK Ayer Baloi Pontian, Johor.

“Saya amat kagum dengan perjuangan Raja Shamri dan selepas mendapat suntikan pembakar semangat ketika itu daya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh mengikuti jejaknya yang berjaya dengan cemerlang disebalik segala kesukaran dan keperitan,” katanya yang meluahkan perasaan untuk bersua dengan Raja Shamri suatu hari nanti.

Sementara itu, Puan Rozaiti Samuri, ibu kepada Muhamad Rafizan berkata, Pijan adalah anak keempat daripada enam beradik sudah 22 kali menjalani pembedahan untuk rawatan penyakit yang dihadapinya dan kali terakhir ialah pada bulan Mei lalu.

Beliau menyifatkan Pijan seorang anak yang tabah dan rajin dalam pelajaran walaupun terpaksa menanggung penyakit yang dihidapinya.

“Pijan sewaktu dilahirkan normal seperti anak-anak yang lain namun pada usia tiga tahun penyakitnya mula dikesan apabila darah keluar daripada  hidung dan sebaik umur empat tahun Pijan kesihatannya semakin serius dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana pada masa itu Hospital Sultanah Amanah di Johor Bharu tidak mempunyai pakar.

“Pembedahan pertama ialah pada usia empat tahun dan diikuti pembedahan kedua pada usia yang sama, kemudian sejak itu Pijan terpaksa berulang-alik dari Pontian ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan sehinggalah  pembedahankali ke 22  pada bulan Mei lepas sebelum puasa,” jelasnya.

Menurut Puan Roziati, hanya Allah SWT sahaja tahun betapa sedihnya kami sekeluarga kerana setiap kali Pijan hendak mengambil peperiksaan  beliau terpaksa menjalani rawatan dan pembedahan pada masa yang sama.

“Bayangkan, ibu mana tidak sedih melihat kesakitan yang dialami ananknya kerana takut dia tidak lulus peperiksaan yang diambil namun ALLAH SWT itu berkuasa kerana Allah selalu beri Pijan yang terbaik.

“Pernah saya menangis melihat darah yang menitis diatas kertas jawapan peperiksaan akhir tahun pada tingkatan lima. Pada masa itu, Pijan kena buat dirumah kerana tidak dapat hadir ke sekolah tetapi Pijan adalah seorang anak yang kuat danberjaya menjawabnya dengan baik,” katanya.

Tambahnya, beliau amat bersukur kerana cita-cita Pijan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti tercapai dan berharap Pijan dapat belajar bersungguh-sungguh kerana fizikal sepertinya sukar untuk mendapatkan pekerjaan berbanding orang lain.

“Sebagai ibu, makcik pesan kepada Pijan supaya belajar rajin-rajin kerana Pijan tidak boleh kerja berat jadi kena berusaha lebih berbanding orang biasa dan cuba belajar sebaik-baiknya,” katanya.

Published in Latest News

Oleh : Pusat Hal Ehwal Korporat                Foto : Al Azam Razi & Abdul Halim Hafiz Ab Aziz

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menerima seramai 1,853 pelajar baharu untuk mengikuti 23 program pengajian yang ditawarkan di lapan fakulti  bagi sesi pengambilan September 2017/2018.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, berkata,  jumlah itu membabitkan seramai 1,060 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, 449 penuntut di Kampus Bachok dan 343 penuntut  di Kampus Jeli.

Katanya, daripada jumlah itu UMK menerima sebanyak 18 ribu lebih permohonan daripada calon atau lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Sehingga hari ini lebih kurang 1853 pelajar telah mendaftar dan daripada jumlah keseluruhan yang ditawarkan iaitu sebanyak 2315 tempat dengan menyaksikan sebanyak 70 peratus adalah penuntut perempuan dan selebihnya lelaki.

“Dalam pada itu, UMK masih memberi peluang dengan menawarkan tempat kepada pelajar menerusi permohonan rayuan  untuk mengikuti pengajian prasiswazah kali ini,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu sempena Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 6 September 2017.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Abd. Latif, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pakchu.

Pada majlis amanat itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza, berkata, UMK  komited untuk  menterjemahkan agenda keusahawanan dengan melahirkan graduan usahawan yang boleh menjana pekerjaaan bagi mengatasi isu dan masalah pengganguran di kalangan lepasan graduan Universiti Awam.

Beliau berkata, UMK memulakan operasi pada tahun 2007 dimana isu  pengganguran tinggi di kalangan lepasan graduan pada ketika itu namun ditubuhkan juga sebuah universiti seperti yang dihasratkan oleh kerajaan yang mahu sebuah universiti yang bukan sahaja melahirkan graduan tetapi menghasilkan usahawan yang boleh menjana pekerjaaan.

“Jadi,  tanggungjawab ini digalaskan  di atas bahu pelajar ini untuk menjadi usahawan bagi menjana pekerjaan kerana kita tidak mahu apabila sebut graduan UMK , mereka ini berbaris sama dengan graduan Universiti Awam lain memohon pekerjaan.

“Graduan UMK seharusnya ketika berlajar di Universiti telah menubuhkan syarikat siswa untuk menggerakan agenda keusahawanan kerana UMK sebagai Universiti Keusahawanan bukan hanya bersifat retorik semata-mata,” katanya.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mortaza, perkara paling penting pada pelajar UMK ialah mereka perlu meletakkan dalam hati, niat serta azam untuk menjadi usahawan kerana itu adalah tujuan utama universiti ini ditubuhkan.

Beliau berkata, untuk menjadi usahawan beberapa modul-modul disediakan selain meliputi khidmat nasihat, latihan, pembiayaan kewangan, inkubator dan sebagainya untuk memastikan  graduan berjaya menjadi usahawan.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 300 syarikat milik pelajar berdaftar dengan Syarikat Siswa Universiti (SSU) yang diiktiraf dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)  yang dikendalikan dibawah UMK Entrepreneurship Institute (UMKEI).

“Syarikat pelajar yang berdaftar di bawah SSU merangkumi bidang perkhidmatan, kosmetik dan pengangkutan dimana pihak universiti sentiasa memantau dan menyelia rekod jualan syarikat yang dikendalikan oleh pelajar.

“Saya yakin lebih banyak pelajar yang mengusahakan perniagaan di UMK yang belum mendaftar dan dianggarkan sebanyak 1500 pelajar terlibat dengan perniagaan online dan kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd. Hassan berkata, proses pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2017/2018 di ketiga-tiga kampus UMK iaitu UMK Kampus Bachok, Kampus Kota Pengkalan Chepa dan Kampus Jeli berjalan lancar.

Katanya, pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti 23 program yang ditawarkan di lapan fakulti iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan , Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Senibina Dan Ekistik, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Bumi, Fakulti Industri dan Asas Tani dan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi.

Menyentuh mengenai amanat Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Hassan memberitahu bahawa intipati amanat lebih menjurus kepada keusahawanan dimana pelajar tahun satu perlu diasuh dan dibimbing untuk melahirkan graduan yang memiliki minda keusahawanan dan seterusnya minat memulakan perniagaan.

"Dalam amanat yang disampaikan Dato’ Naib Canselor, beliau  mahu pelajar-pelajar baharu memahami hala tuju dan tujuan utama penubuhan UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan yang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Apa yang kita sasarkan ialah 60 peratus graduan UMK menjadi usahawan dan pendaftaran syarikat di kalangan siswa akan di tingkatkan,” jelasnya.

Published in Latest News

HOT TOPIC