A- A A+
logoumkmerdeka2017

larian10tahun

LARIAN Perdana bersempena Sambutan 10 Tahun Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat sambutan hebat apabila lebih 500 peserta hadir menyemarakkan larian anjuran Pusat Ko-Kurikulum, Pejabat Hal Ehwal bertempat di UMK Kampus Bachok, Tangok, Kelantan, pada 29 April 2017.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 10 kilometer, 5 kilometer dan dan Fun Run 2.4 kilometer bermula di UMK Kampus Bachok yang telah disempurnakan pelancaran Flagg Off oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif.

Sebelum itu, kira-kira 500 peserta yang diketuai oleh Prof. Dato’ Abdul Aziz bersama-sama bersenamrobik sebelum memulakan larian pada kira-kira 8.30 pagi

Menurut Prof. Dato’ Abdul Aziz, larian perdana yang julung kali diadakan ini mendapat penyertaan daripada beberapa agensi yang dijemput di sekitar daerah Bachok termasuk penyertaan berkumpulan dan individu daripada negeri Perak, Selangor, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, program ini adalah medium terbaik dalam memperkenalkan UMK yang sinonim dengan 10 tahun penubuhannya di samping mengeratkan hubungan antara warga Institut Pengajian Tinggi dan pelbagai agensi kerajaan di sekitar kampus UMK Bachok.

“Sehubungan itu, program ini memberi peluang kepada universiti menjalinkan hubungan dengan masyarakat setempat dalam melaksanakan idea kreatif dan inovatif serta mempromosikan UMK sejajar dengan penubuhannya sekaligus membudayakan gaya hidup sihat di kalangan staf dan masyarakat.

"Larian ini juga sekaligus memberi kesempatan kepada peserta berlari sambil mengambil mengenal Kampus Bachok,” katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UMK,  En. Zulkifli Mohd Zan, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum, En. Mohammad Nizamuddin Abdul Rahim dan Pegawai Belia dan Sukan, En. Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib.

Pertandingan ini juga melibatkan beberapa agensi yang dijemput di sekitar daerah Bachok antaranya Institut Kemahiran Belia Negara Daerah Bachok, Pejabat Pendidikan  Daerah Bachok, Pusat Giat Mara Bachok, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bachok, Kolej Vaksional Bachok, Sekolah Menengah Badak dan juga beberapa buah sekolah yang berhampiran di sekitar UMK Kampus Bachok.

Larian ini menawarkan wang tunai keselruhan berjumlah RM1,000 bagi ketiga-tiga kategori.

Acara itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang di mana pelbagai aktiviti akan disediakan termasuk cabutan bertuah menerusi ruang promosi yang lebih hebat.

apc2017

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mahu memperluaskan lagi peranannya dalam bidang pendidikan keusahawanan melalui proses penjenamaan semula khususnya dalam pengurusan dan pembangunan aspek keusahawanan bagi memastikan jenama UMK bertapak kukuh dan menjadi rujukan serantau.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata, warga Universiti seharusnya mula merangka strategi dan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan jenama UMK diperkukuhkan.

Justeru, beliau berkata dengan genap 10 tahun usia penubuhannya di persada pendidikan negara program-program akademik yang ditawarkan haruslah menepati keperluan pasaran dan berdaya saing disamping melaksanakan penyelidikan-penyelidikan berkualiti yang mampu dikomersialkan.

“Selain itu, universiti sewajarnya membina jaringan yang kukuh dengan industri dan pemain antarabangsa dengan memperkasakan penglibatan pihak industri dalam usaha mengukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajarnya.

“Dengan kerjasama dengan pihak industri dalam penubuhan syarikat di peringkat universiti seharusnya sektor ini perlu diperkembangkan sejajar tranformasi dalam dunia perniagaan.

"Jadi, universiti sewajarnya mengambil pendekatan dengan membentuk pelajar menjadi paksi kepada perniagaan baharu agar bersedia dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan, sekali gus membolehkan mereka bukan setakat berniaga tetapi mampu kekal dan kukuh dalam perniagaan masing-masing," katanya pada perasmian Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2016, di Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Mei 2017.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Hj.Hanafi Hj. Mamat dan En. Zulkifli Mohd Zan.

Hadir sama,  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Abd. Aziz Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Hj. Ibrahim Che Omar dan Pendaftar UMK, En. Pauzi Pak Chu.

Pada majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah turut menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada 101 staf UMK yang menerima anugerah APC manakala 52 staf  menerima anugerah menerima Anugerah Gemilang Universiti (AGU).

Turut menerima ialah empat penerima Anugerah Jasa Universiti (AJU) dan empat lagi staf menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) manakala dua penerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftar UMK membuat kejutan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) sekali gus membawa pulang RM10,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, unversiti telah dipertanggunjawabkan untuk menghasilkan graduan yang bersifat holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dimana apabila menyebut graduan yang berciri keusahawanan, tidak lain tidak bukan bahawa UMK yang paling faham dan arif dengan objektif ini.

Katanya, keadaan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar dengan peluang pekerjaan yang terbatas dan persaingan yang semakin sengit ini menuntut dari kita pihak universiti agar sentiasa cakna akan tuntutan pasaran.

“Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, tugas kita di sini bukan sekadar melahirkan job seekers tapi misi besar kita adalah untuk melahirkan job creators.

“Daripada kajian terbaru menunjukkan bahawa hampir separuh daripada semua pekerjaan yang ada di dunia pada hari ini akan boleh diautomasikan menjelang tahun 2055, melibatkan sejumlah pendapatan keseluruhan sebanyak USD15 trillion,” jelas beliau.

Tambah beliau, bagi Malaysia sendiri, workforce automation potential adalah pada tahap 51 peratus dan ini dijangka memberi kesan kepada lebih 6.3 juta pekerja.

“Jelas sekali, tugas kita ini bukannya mudah dan pendekatan yang diambil juga mestilah sejajar atau pun lebih terkehadapan (forward looking) atau mungkin nasib kita sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi akan menjadi seperti syarikat- syarikat seperti Nokia atau Kodak kerana mereka tidak mampu bergerak seiring peredaran zaman untuk terus kekal relevan dalam memastikan visi dan misi nya dapat dicapai,” katanya.

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah berkata, dalam kajian yang dijalankan oleh MIT Skoltech Initiative yang bertajuk Creating University-based Entrepreneurial Ecosystems: Evidence from Emerging World Leaders merumuskan bahawa terdapat lima faktor utama yang telah menyumbang kepada kejayaan 10 buah universiti- universiti antarbangsa yang berjaya dalam aspek pembangunan ekosistem keusahawanan.

Katanya, pendekatan strategik yang dilaksanakan iaitu pihak pengurusan universiti memperjuangkan agenda keusahawanan yang bersifat responsif dan relevan dengan suasana keusahawanan setempat dan nasional.

“Kedua, pihak fakulti atau jabatan membudayakan bidang akademik yang menyokong dan memberi ganjaran terhadap penerokaan keusahawanan dalam konteks rentas disiplin (cross disciplinary context), ketiganya ialah kegiatan keusahawanan dipacu oleh pihak Universiti dengan jabatan atau unit dalam sesebuah universiti mengambil langkah proaktif dalam memastikan penyampaian sebarang kegiatan keusahawanan.

“Faktor keempat ialah gerakan keusahawanan yang diterajui oleh para siswazah sendiri dimana komuniti pelajar ini juga telah menggunapakai kelebihan ekosistem sedia ada seperti akses kepada mentor yang berpengalaman dan juga hubungan rapat dengan pihak pengurusan universiti,” katanya.

Tambah beliau, selain itu faktor kelima ialah peranan komuniti usahawan luar dimana semua universiti mempunyai hubungan yang teguh yang dibina berdasarkan kepercayaan dan faedah bersama antara universiti. 

“Universiti berperanan dalam menyediakan platform untuk individu-individu ini dengan memainkan peranan yang jelas dalam kehidupan universiti,” jelasnya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mortaza berkata,  universiti itu yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya terus mengorak langkah ke hadapan agar setanding universiti awam lain di seluruh negara.

Beliau berkata, universiti telah memanfaatkan sepenuhnya 1,300 kakitangan selain kekuatan 530 pensyarah yang kini kembali menyumbang bakti kepada universiti ini selepas menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Urus tadbir Universiti semakin hari kian kompleks dengan pelbagai cabaran yang dihadapi, termasuklah cabaran sumber kewangan, sumber manusia, infrastruktur dan pelbagai lagi termasuklah perubahan teknologi yang begitu pesat.

“Dalam menghadapi cabaran tersebut, kita tidak boleh leka dan hanyut dibuai angan-angan, kerana tanggungjawab untuk memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa memenuhi ekpektasi pelanggan harus tetap dipikul,” katanya.

Tambah beliau, semua staf disarankan untuk terus meningkatkan produktiviti kerja, melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dan sentiasa berkhidmat berpaksikan kepuasan pelanggan.

“Rebutlah peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing ke arah meningkatkan kecemerlangan Universiti,” jelasnya.                                                                                            

itex2017

PENYELIDIK UMK BOLOT DUA PINGAT EMAS DAN ENAM PERAK

PRODUK N-Macom: Nano Magnectic Adsorbent Composite yang dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan terbuang yang membolehkan teknologi nanomagnetik dihasilkan bagi kegunaan merawat air sisa industri memperoleh pingat emas dalam kategori Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-28 (ITEX 2017) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pada 11 hingga 13 Mei 2017.

Kajian itu adalah rekaan oleh penyelidik Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah dengan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada En. Rizki Wannahari dan Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin.

Menurut Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi, teknologi produk nano magnetik adalah penemuan penting dalam kajian penyelidikan ini bagi mengurangkan pencemaran air yang berpunca daripada bahan pencemar toksik seperti logam berat dan pewarna oleh kebanyakan pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan Pantai Timur.

Beliau berkata, produk NmaCom dibangunkan daripada bahan sisa agro dan tumbuhan yang terdiri daripada  kulit manggis, daun kering, jagung dan sebagainya yang melalui proses karbonisasi, pengaktifan serta pemagnetan khusus yang lebih mesra alam.

“Penghasilan produk ini bagi merawat air yang tercemar bagi pengunaan industri berikutan kebanyakan industri pembuatan batik menghadapi kekangan kos, kepraktikalan, teknikal, penyelenggaraan jika mengguna-pakai sistem perawatan fiziko-kimia yang sedia ada di pasaran yang lebih mahal mahal,” katanya

Sementara itu, turut menyumbang emas ialah produk Press (Palted Rubber System) hasil penyelidikan oleh  Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), En. Razman Hafifi Redzuan bersama Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim, Prof. Dr. Mohd Rosli Mohamad, Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, Dr. Mohd Zulkifli Muhammad dan Encik Ahmad Ridhuwan Abdullah.

Kajian yang dibuat oleh En. Razman Hafifi dengan memperkenalkan produk pengawalan identifikasi bagi menangani kes kecurian getah yang semakin berleluasa berikutan ekoran peningkatan harga getah yang tinggi di pasaran pada hari ini.

Beliau berkata, acuan identifikasi getah itu dihasilkan pada pembuatan bekas getah dengan secara makronya inovasi ini telah terbukti mampu mengurangkan kerugian yang tidak sepatutnya namun secara mikronya dengan mengunakan konsep ini ia mampu membantu perancangan penanaman getah yang lebih sistematik dan menghasilkan susu getah yang optimum.

“Produk ini membolehkan pihak kami mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah kecurian getah dengan mewujudkan identifikasi getah bagi setiap ladang dimana dengan pengawalan identifikasi yang dikeluarkan oleh pihak syarikat Agri’Pro dengan kerjasama RISDA Malaysia bagi pengawalan identifikasi setiap ladang.

“Setiap peraih dan pemborong getah mempunyai akses kepada data pemilik ladang. Identifikasi yang dinyatakan terdiri daripada huruf dan nombor dan dengan kemudahan ini digunakan sebagai pengenalan pekebun/pemilik, yang merupakan pengiktirafan UMK kepada pekebun kecil getah yang menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran getah negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, enam produk inovasi penyelidik UMK  menjadi penyumbang pingat perak di ITEX 2017.

Produk tersebut  ialah High Frequency Super Capacitor CCTO hasil penyelidikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Ir. Julie Juliewatty Mohamed, produk G Technique oleh Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), En. Mohammad Amizi Ayob dan            produk penyelidikan teknologi pembiakbakaan anak benih pisang bertajuk Tisc-Tech’ On-Farm Nursery Technique For Acclimatization Of Tissue-Cultured Banana Seedlings oleh Pensyarah Kanan FIAT, Dr. Suhaimi Othman.

Turut menyumbang pingat perak ialah produk rekaan aplikasi telefon pintar iaitu Entrepreneurial Characteristic Anndroid Mobile Game – Freezer ciptaan oleh Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya PM Dr. Mohamad Ismail, produk inovasi Pengajaran dan Pembelajaran bertajuk Designing Of Research Ideantion Canvas : Visualize Research Ideas From Strategic Perspectives oleh Ketua Bahagian Pusat Keusahawanan Global, Penyelidikan & Inovasi, Dr. Nik Zulkarnaen Khidzir  dan produk Herbal Rice Syrup oleh Dekan Fakulti Sains Bumi, Prof. Madya Dr. Aweng A/L Eh Rak 

ITEX 2017 adalah merupakan pameran ciptaan terbesar diperingkat antarabangsa bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat pelesenan dan orang awam.

Pameran itu dianjurkan oleh  Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS), mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 11 sehingga 13 Mei 2017.

Oleh : Syarimie Wosley      Foto : Al Azam Razi

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan sebanyak 200 tempat kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf secara bersyarat sebagai laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut untuk mengikuti program ijazah sarjana muda bagi sesi 2017/2018 pada September depan.

Penolong Pendaftar Kanan,  Bahagian Pentadbiran Akademik UMK, En. Mohd Zamri Ismail berkata, tawaran bersyarat ini diberikan kepada kumpulan isi rumah di bawah kategori B40 dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 (JPB).

Beliau berkata,  ini selaras dengan objektif program JPB yang bermatlamat menyediakan peluang kedua kepada golongan pelajar Melayu dan bumiputera yang miskin dan kurang berkemampuan serta tidak menerima sebarang tawaran atau tercicir ke universiti dan kolej kemahiran pada kemasukan UPU bagi sesi September 2017.

“Peluang ini masih dibuka kepada pelajar yang tergolong dalam kategori ini untuk hadir ke Bahagian Pentadbiran Akademik UMK Kampus Bachok untuk membuat semakan kelayakan masing-masing untuk mengisi kekosongan 200 tempat untuk mengikuti 24 program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Pelajar yang berminat boleh membawa kad pengenalan sendiri, ibu bapa dan salinan keputusan peperiksaan SPM, STPM, matriks/diploma, MUET serta slip pendapatan ibu bapa yang disahkan ke pejabat BPA sehingga bulan Ogos 2017,” katanya pada program JPB 2017 di Dewan Terbuka Tok Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, Kelantan.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Induk JPB 2017, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, TYT Dato’ Dr. Awang Adek Hussin,

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Abdul Aziz Ab. Latif dan Pengerusi Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Dato’ Mohd Faizal Daud.

Pada majlis itu, UMK turut menyerahkan surat tawaran kepada Siti Nuramalina Amran yang berjaya menerima permohonan untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK.

Booth UMK yang dibuka seawal jam 9.00 pagi dan berakhir 2.00 petang mendapat sambutan ramai yang yang membuka permohonan untuk kesemua 24 kursus yang ditawarkan mengikut ketiga-tiga kampus UMK.

Pada program itu sebanyak 20 IPTA dan 12 kolej kemahiran menyertai JPB 2017 dengan sokongan padu dari Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Tan Sri Ir. Prof Sahol Hamid berkata, program JPB 2017 menyediakan 50,000 kekosongan untuk pelajar yang layak bagi melanjutkan pelajaran di 35 IPTA termasuk kolej kemahiran, kolej komuniti dan sebagainya yang terlibat dalam jelajah  ini .

“Keseluruhan 55 lokasi jelajah yang terpilih untuk tahun ini dan sudah separuh lokasi yang kita selesaikan sejak 11 Mac keutamaannya untuk pelajar miskin dan dari luar bandar di mana mereka boleh masuk mana-mana IPTA atau kolej kemahiran bersesuaian dengan kelayakan mereka sama ada di peringkat sijil, diploma serta ijazah," katanya.

Menurutnya, pelajar miskin yang terpilih akan menerima wang pendahuluan, namun ada juga negeri yang beri peruntukan khas untuk anak negeri mereka seperti Perlis dan Negeri Sembilan.

“Kita beri sumbangan wang pendahuluan ini sebab kita dapati ramai yang tak dapat masuk IPTA sebab tak dapat sediakan wang pendahuluan,” katanya.

Oleh : Syarimie Wosley  & Liyana Zuki (Pelatih LI)                        Foto : Inspek UMK

LEBIH 234 keluarga di Perkampungan Baharu Nelayan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, menerima manfaat daripada program pemetaan potensi komuniti untuk Makmal Jaringan Sosial (SNL) anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai usaha membantu komuniti setempat meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi menerusi pelaksanaan program  pemindahan ilmu secara efisien serta tersusun.

Program anjuran bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 April 2017 dengan memberi tumpuan kepada elemen perkhidmatan untuk pengurusan kemiskinan.

Menurut Pengarah InsPEK, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, program itu adalah satu usaha pihak universiti bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara sesama penduduk kampung setempat melalui penglibatan staf dan mahasiswa UMK.

Beliau berkata, pendekatan InsPEK adalah dengan mengenalpasti potensi yang ada pada komuniti dan kita akan melakukan proses pemindahan ilmu maksudnya proses mengajar kepada komuniti dengan projek-projek yang sesuai dengan komuniti di sini.

“Pemilihan lokasi penempatan semula nelayan secara berkelompok itu adalah berdasarkan kepada jumlah peserta setempat yang  berpendapatan kecil dimana mereka ini terdiri daripada keluarga nelayan di empat jajahan iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

“Melalui program ini, pihak kami membantu kelompok miskin dengan kaedah tersendiri dimana fungsinya berbeza dengan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang lebih kepada membantu dengan memberi bantuan kewangan tetapi INSPEK mengenalpasti kebolehan komuniti untuk dibantu menerusi projek seperti pembangunan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Pemetaan Potensi Komuniti Untuk Makmal Jaringan Sosial (SNL) oleh Penolong Naib Canselor ((Pembangunan Korporat  dan Pengurusan Kualiti), Prof. Rosdi Abd. Rahman di Dewan Serbaguna Taman Perumahan Nelayan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, pada 5 April 2017.

Turut hadir, Penolong Pengarah LKIM Negeri Kelantan, En. Mohd. Azuwan Zahari dan  Pegawai LKIM Daerah Kelantan Selatan, En. Zainal Abidin.

Seramai 35 pelajar UMK terlibat untuk program kajian dan penyelidikan SNL membabitkanseramai 243 ketua isi rumah.

Tambah Pof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal, program makmal jaringan sosial atau SNL merupakan reformasi dari kelemahan Makmal Sosial dengan menambah baik dengan memastikan elemen inklusiviti dipraktikkan iaitu melalui SNL akan menggalakkan kolaborasi, kerja sama, penyertaan dari semua pihak pemegang taruh.

Katanya, pendekatan SNL ialah menguruskan kemiskinan secara berfokus berasaskan aspek lokaliti dimana InsPeK mengenal pasti komuniti miskin yang berada di lokasi yang sama, melaksanakan pemetaan potensi, menghubungkan potensi dan kepakaran staf akademik UMK dan melaksanakan aktiviti pemindahan ilmu dengan konsep berkerja bersama untuk mencapai pendayaupayaan ekonomi.

Sementara itu, Prof. Rosdi  berkata, program SNL ini adalah titik tolak hubungan kerjasama keberadaan UMK di Kelantan yang hadir ke tempat ini untuk membawa manfaat kepada masyarakat setempat melalui program kebersamaan yang dapat menjelmakan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.

Tambah beliau, keutamaan program diberikan kepada potensi komuniti melibatkan lebih 200 peserta dari kawasan Perkampungan Baharu Nelayan di Tok Bali ini.

“Para peserta yang terlibat akan mengenalpasti sesuatu bidang yang boleh menjana pendapatan kepada mereka seperti produk hiliran dan melalui impak program tersebut membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Sebelum ini, program-program yang sama seperti ini terdapat dikalangan peserta telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan sehingga mencecah RM5,000 sebulan dan telah berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, En Zainal Abidin, berkata, melalui kepakaran tenaga -tenaga akademik daripada UMK universiti yang begitu berkaliber dan berpengetahuan serta mahir dalam membuat kajian-kajian yang boleh memberi sumbangan idea kepada pihak kerajaan khususnya kepada LKIM untuk membangunkan aktiviti ekonomi komuniti nelayan.

Katanya, seramai 234 keluarga nelayan telah mendiami perumahan berkenaan dan melalui kerjasama dengan UMK untuk membangunkan projek hiliran seperti penternakan ikan air tawar dan sebagainya boleh membantu peningkatan pendapatan dan ekonomi masyarakat nelayan.

“Harapan LKIM, kerjasama ini tidak berakhir pada program ini sahaja kerana pelbagai program yang boleh dirancang bersama UMK untuk kita selaraskan dengan satu tujuan yang sama iaitu untuk memajukan  nelayan,” katanya.

Halaman 9 dari 64

HOT TOPIC